Selasa, 16 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Gempar lima ‘bom’

Posted: 15 Oct 2012 04:06 PM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang telefonis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Kuala Lumpur Bandar di Wisma Kumpulan Wang Simpanan Guru-Guru (KWSG), Kampung Attap, di sini, menggigil sebaik menerima panggilan menyatakan ada bom untuk meletupkan bangunan itu jam 10.30 pagi, semalam.

Panggilan bom palsu yang dibuat seorang lelaki jam 9 pagi itu menyebabkan lebih 300 kakitangan di bangunan 21 tingkat terbabit diarah keluar.


Kakitangan KWSG, Aishah Salim, 40, berkata, beliau mengetahui mengenai panggilan itu sebaik pengawal keselamatan mengarahkan semua kakitangan mengosongkan bangunan dan berkumpul di depan bangunan.

"Saya diberitahu pemanggil terbabit memberitahu dia benci LHDN dan sudah meletakkan lima bom dalam bangunan yang akan meletup tepat jam 10.30 pagi.


"Kami semua meninggalkan bangunan dan membawa barang berharga sementara menunggu polis menjalankan pemeriksaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.


Pengarah LHDN Cawangan Kuala Lumpur Bandar, Zulkifli Mohd Tahir berkata, seorang telefonisnya menerima panggilan daripada seorang lelaki memberitahu dia meletakkan lima bom dalam bangunan.

"Telefonis itu memaklumkan kepada pegawai keselamatan lalu menghubungi saya yang ketika itu sedang bermesyuarat di Wangsa Maju. Saya arahkan beliau menghubungi polis dan minta kakitangan kosongkan bangunan," katanya.


Menurutnya, selain LHDN, bangunan berkenaan turut menempatkan kakitangan jabatan kerajaan lain dan swasta.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.11 pagi dan sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian.


"Unit Pengesan Bom dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan dalam bangunan, namun selepas sejam, pemeriksaan tidak menemui bahan letupan dan bangunan terbabit disahkan selamat sebelum semua pekerja dibenarkan masuk," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16


Buru penyamun dapat 8 berpesta dadah

Posted: 15 Oct 2012 04:03 PM PDT

BRICKFIELDS: Polis yang menyerbu sebuah hotel di Jalan Kuchai Maju, di sini, minggu lalu, bagi menahan seorang lelaki yang terbabit kes pecah rumah, turut menahan lapan lagi, termasuk dua wanita ketika semua mereka asyik berpesta dadah dalam bilik hotel berkenaan.

Berikutan penahanan itu, seorang lagi wanita ditahan di rumahnya di Keramat, dekat sini, kerana dipercayai menyimpan barang curi hasil pecah rumah lelaki terbabit yang disembunyikan dalam sebuah bilik di rumah berkenaan, sehari kemudian.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, polis menyerbu bilik hotel berkenaan jam 3 pagi, 10 Oktober lalu, bagi menahan seorang lelaki yang dikehendaki kerana kes pecah rumah di Taman Desa, di sini, pada 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun, ketika serbuan, ada enam orang lagi termasuk dua wanita yang semua mereka asyik berpesta dadah.


"Selain menahan mereka termasuk penjenayah pecah rumah itu, polis merampas satu bekas plastik dipercayai berisi dadah jenis ketamin dan Eramin 5. Pemeriksaan lanjut menemui kereta Toyota Camry yang dilarikan dalam kejadian pecah rumah Taman Desa, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/16


Tiada ulasan:

Catat Ulasan