Utusan Online - Utara |
Posted: Palapes UPSI hadapi ujianOleh ASLIZA MUSA ![]() Pasukan Latihan Pegawai Simpanan Universiti Pendidikan Sultan Idris mengikuti latihan kem tahunan siri kelima di hutan Hulu Selangor, baru-baru ini. IPOH 18 Jan. – Seramai 217 pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan dibantu 25 pegawai dan jurulatih telah mengikuti latihan kem tahunan siri kelima yang diadakan di sekitar kawasan hutan Hulu Selangor, baru-baru ini. Komandan Palapes UPSI, Kolonel (Kehormat) Prof. Dr. Mohd. Mustamam Abdul Karim berkata, kem yang diadakan setiap hujung tahun itu diwajibkan penyertaannya kepada semua anggota seperti yang termaktub dalam Akta Angkatan Tentera 1972. Menurutnya, melalui penyertaan itu, anggota dapat meningkatkan kemahiran dalam ilmu ikhtiar hidup dan aplikasi ketenteraan selain memenuhi keperluan latihan praktikal. "Ini masanya untuk setiap anggota mengaplikasikan ilmu-ilmu ketenteraan yang dipelajari semasa menjalani latihan tempatan yang diadakan setiap hujung minggu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Menurutnya, kem tahunan itu dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa kem dan fasa medan di mana ia diadakan di sekitar kawasan kampus dan hutan berdekatan. Katanya, melalui fasa kem, beberapa tumpuan khusus ditekankan kepada anggota seperti taktik peperangan gerila atau peperangan melawan insurgensi (CIW), ulang kaji ilmu ketenteraan, pengendalian senjata, membina pangkalan dan kawad serta ujian pembacaan peta. "Fasa medan pula diadakan untuk praktikal peperangan dengan negara luar atau peperangan terbuka di mana kadet diberi pendedahan dalam suasana peperangan di medan perang," katanya. Mohd. Mustamam berkata, ujian yang dibezakan mengikut peringkat asas, pertengahan dan atasan itu dikendalikan oleh pegawai dan kakitangan luar yang terdiri daripada anggota tentera tetap. Katanya, pada peringkat asas, antara ilmu ketenteraan yang diuji adalah ilmu medan perang, pengendalian senjata, membina pangkalan dan kawad. Menurutnya, pada peringkat pertengahan pula pasukan akan mara sejauh lebih 30 kilometer dengan membawa segala kelengkapan termasuk senjata persendirian dan senjata bantuan serta terpaksa merentasi hutan, paya, sungai dan bukit. Di sepanjang perjalanan, pasukan akan bertembung dengan pihak 'musuh' dan akan memusnahkannya. "Bagi peringkat atasan, ujian lebih lengkap dilaksanakan seperti membina kepimpinan dalam pasukan. Pada peringkat ini, anggota akan melakukan pertahanan dengan menggali kubu dan mempertahankannya daripada serangan musuh serta melaksanakan pengunduran," katanya. | ||
Posted: Naib Canselor UUM terima DSDK
ALOR SETAR 18 Jan. - Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak menerima Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan ke-83 Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di sini, kelmarin. Beliau adalah salah seorang daripada 48 orang yang menerima darjah kebesaran itu termasuk Toh Puan Laksamana Kedah, Datin Seri Nora Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Dr. Hamdan Mohamed Khalid; Penasihat Undang-Undang Negeri, Anas Ahmad Zakie; Duta Malaysia ke Mesir, Dr. Mohd. Fakhruddin Abdul Mukti. Mohamed Mustafa berkhidmat di UUM selama 25 tahun sebagai staf akademik di awal penubuhan UUM bermula dengan jawatan sebagai seorang tutor dan kemudiannya sebagai pensyarah sehinggalah dilantik profesor dalam bidang Politik dan Pengajian Antarabangsa. Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan pernah diamanahkan sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Pengalaman sebagai Timbalan Naib Canselor memberi kelebihan kepadanya untuk memahami budaya, sejarah, kekuatan dan seterusnya memacu kemajuan UUM ke arah Universiti Pengurusan Terkemuka. Di peringkat nasional beliau ialah Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara dan beliau juga ialah Presiden Persatuan Pengajian Antarabangsa. | ||
Pelatih GiatMara sertai Jom Gunting Rambut Posted: Pelatih GiatMara sertai Jom Gunting Rambut
TASEK GELUGOR 18 Jan. - Seramai 20 pelatih Pusat GiatMara Prima Tasek Gelugor yang sedang mengikuti kursus senireka gaya rambut menyertai program Jom Gunting Rambut anjuran UMNO Bahagian Bukit Mertajam, baru-baru ini. Pada program tersebut, mereka diberikan tugas menggunting rambut pelajar sekolah menengah dan rendah di sekitar Bukit Mertajam yang baru memulakan sesi persekolahan. Pegawai Tenaga Pengajar Senireka Gaya Rambut pusat tersebut, Mariana Othman berkata, penyertaan para pelatihnya dalam program itu cukup bermakna kerana ia memberi peluang kepada mereka mempraktik apa yang telah dipelajari. "Pendedahan sebegini boleh memberi keyakinan kepada mereka untuk membuka salon sendiri pada masa akan datang. "Kesemua pelatih sedang mengikuti kursus selama enam bulan di situ," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan