Ahad, 30 Januari 2011

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Pas diminta tidak berdalih

Posted:

Pas diminta tidak berdalih

Pas diminta tidak berdalih

Oleh AZRAN FITRI RAHIM
azran.rahim@utusan.com.my


MOHD. Fatmi Che Salleh (depan, tiga dari kiri) bersama sebahagian daripada penerima bantuan menunjukkan 1Malaysia di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Putera, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 30 Jan. - Kerajaan Pas Kelantan diminta tidak lari daripada isu asal membabitkan Bazar Tok Guru bagi menutup kelemahan mereka menunaikan janji kepada 412 peniaga di Pasar Lambak Arked Uda dan Pasar Besar Lama MPKB di sini.

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah memberi amaran kepada UDA Holdings Bhd. (UDA) jelas menunjukkan sikap Kerajaan Pas Kelantan yang suka menuding jari kepada orang lain.

Beliau berkata, persoalan utama dalam isu Bazar Tok Guru ialah kerajaan negeri gagal menunaikan janji mereka untuk menyediakan ruang niaga yang selesa pada harga mampu milik kepada peniaga terbabit sebagaimana dijanjikan sebelum pilihan raya umum 2008.

"Jangan alih isu, jangan kata UDA tidak membantu. UDA sentiasa membantu, tidak payah bagi amaran kepada UDA. Bagi amaran macam cerita koboi, hari ini kerajaan moden, kehidupan hari ini bukan undang-undang rimba.

"Tapak Pasar Besar Lama MPKB telah dijual kepada pihak swasta, kalau nak bantu peniaga buat apa jual sepatutnya baiki dan ubah suai supaya lebih ramai boleh berniaga.

"Tetapi Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah jual banyak harta termasuk tapak bengkel MPKB-BRI dan usir 70 hingga 80 penduduk di Limau Manis untuk bina kondominium mewah, hari ini pula kita berdepan dengan isu peniaga dan ini menunjukkan kerajaan negeri tidak ada langsung semangat untuk bantu rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal dan Warga Emas Tionghua Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Building Society Bhd. (MBSB), Datuk Ahmad Zaini Othman dan wakil Vconnect Asia Sdn. Bhd., Datuk K. C. Loh.

Pada majlis tersebut, seramai 1,300 warga emas dan ibu tunggal kaum Cina menerima sumbangan sebagai persiapan untuk menyambut Tahun Baru Cina Khamis ini.

Semalam, akhbar melaporkan Kerajaan Pas Kelantan memberi tempoh sebulan kepada UDA untuk membawa cadangan pelan pembangunan kawasan tapak Pasar Lambak Arked UDA di Seksyen 11 dekat sini dan jika gagal, kawasan itu akan diambil semula.

Mohamad Fatmi yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pas Kelantan perlu mengikut proses undang-undang sekiranya mahu mengambil semula tanah milik UDA itu.

Katanya, UDA telah lama menghantar pelan untuk membangunkan kawasan tersebut tetapi tidak dapat dilaksanakan disebabkan Kerajaan Pas Kelantan tidak mampu memindahkan peniaga di Pasar Lambak Arked Uda.

"Projek asal UDA di tapak itu ialah membina sebuah apartmen dilengkapi dengan ruang perniagaan termasuk satu aras khusus untuk bazar bagi peniaga asalnya, tetapi bila berunding dengan kerajaan negeri dan MPKB-BRI, mereka memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan bina Bazar Tengku Anis dan Bazar Tok Guru untuk peniaga terbabit.

"UDA mengamalkan konsep timbang rasa dan tidak menghalau peniaga selagi tidak ada tempat berpindah kerana UDA ditubuh untuk bantu peniaga-peniaga Melayu," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pemimpin India PKR ikut buta tuli

Posted:

Pemimpin India PKR ikut buta tuli

Pemimpin India PKR ikut buta tuli

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Pemimpin India yang masih setia dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya bersikap berpura-pura kerana mereka tidak ada tempat dalam parti itu.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas berkata, hanya mereka yang tidak faham sahaja membuat sangkaan baik bahawa parti itu untuk semua kaum.

''Mereka salah anggap bahawa PKR boleh mewakili semua kaum kerana mereka ikut sahaja secara membuta tuli. Dari awal kita boleh nampak melalui ucapan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berbeza mengikut kaum.

''Ia jelas bukan agenda untuk menyatupadukan rakyat,'' katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan, keluar daripada PKR adalah bukti masyarakat India tidak dihargai oleh Anwar.

Gobalakrishnan mengisytiharkan dirinya keluar PKR dan melepaskan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai kerana bosan dengan sikap Anwar serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Kayveas menambah, PKR hanya mengejar matlamat yang kabur tanpa prinsip yang jelas biarpun sanggup memecah belahkan kaum.

''Saya sendiri hairan bagaimana Anwar ketika bersama kerajaan sentiasa tidak sependapat dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh tetapi kini bersahabat baik.

''Perkara ini jelas kerana Anwar akan buat apa sahaja untuk merampas kuasa sekali gus mencapai matlamatnya ke Putrajaya,'' katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, PKR tidak mengamalkan sikap toleransi antara pemimpin pelbagai kaum dalam parti itu sebagaimana yang dipraktikkan Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, parti tersebut masih tidak matang dalam perkara itu bagi mewujudkan suasana harmoni antara kaum.

Dalam konteks itu, katanya, ia dilihat menjadi punca lebih ramai pemimpin India daripada parti berkenaan bertindak keluar parti.

''PKR sememangnya tidak mengutamakan nasib kaum India dan selalu mengetepikan masalah kaum itu.

''Ia berbeza dengan BN apabila setiap isu yang timbul akan ditangani secara bersama tidak mengira kaum atas prinsip bersatu dan bekerjasama,'' katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan