Khamis, 27 Januari 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Drama' penjual DVD

Posted: 26 Jan 2011 10:29 AM PST

KUALA LUMPUR: Tanpa sedikitpun berasa malu, seorang ahli sindiket penjualan cakera padat digital (DVD) cetak rompak menangis teresak-esak sejurus diberkas pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam.

Lelaki berusia awal 20-an itu merayu supaya dibebaskan berikutan bimbang terpaksa meringkuk dalam lokap serta membayar denda tinggi di mahkamah.


Bagaimanapun, drama air mata lelaki terbabit gagal melembutkan hati sepasukan empat anggota KPDNKK Wilayah Persekutuan yang tetap memberkas suspek yang menjalankan kegiatan menjual DVD cetak rompak di Jalan Medan Idaman, di sini.

Dalam operasi kira-kira jam 3.45 petang itu, sepasukan anggota KPDKK diketuai Azizi Ali melakukan intipan di sebuah premis menjual DVD cetak rompak.


Pengarah Penguat kuasa KPDNKK Wilayah Persekutuan, Othman Nawang berkata, premis itu pernah diserbu dua kali sebelum ini.


Menurutnya, hasil risikan dilakukan, pihaknya mendapati hanya seorang lelaki ditugaskan sebagai jurujual dalam premis itu.

"Dua anggota KPDNKK yang menyelinap ke bahagian belakang premis mendapati suspek keluar melalui pintu belakang sebelum menuju ke sebuah van berwarna putih yang diletak kira-kira 30 meter dari premis berkenaan.


"Hasil siasatan mendapati van putih usang itu yang diletakkan di lorong sunyi dijadikan stor menyimpan ribuan keping DVD cetak rompak," katanya.

Menurutnya, suspek yang dipercayai diupah sindiket dikesan berulang kali mengambil DVD dari dalam van itu selepas mendapat tempahan daripada pelanggan.


Othman berkata, hasil siasatan mendapati suspek menjual beratus judul filem Hollywood termasuk filem Melayu terbaru di pasaran antaranya Lagenda Budak Setan, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Ngangkung.


"Sebanyak 7,000 DVD cetak rompak dan van berkenaan yang semuanya dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000 dirampas.


"Suspek lelaki berkenaan akan disiasat mengikut Akta Hak Cipta 1987 yang boleh membawa hukuman denda RM2,000 atau maksimum RM20,000 bagi setiap salinan DVD cetak rompak dijual," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

DVD lucah di sebalik kabinet

Posted: 26 Jan 2011 10:27 AM PST

KUALA LUMPUR: Taktik berselindung di sebalik kabinet pameran yang dilengkapi alat kawalan jauh oleh satu sindiket pengedaran cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) cetak rompak serta lucah terbongkar apabila diserbu Bahagian Kawalan Filem Kementerian Dalam Negeri (KDN), petang semalam.

Dalam Operasi kira-kira jam 4.40 petang itu, Bahagian Kawalan Filem KDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama cawangan Negeri Sembilan diketuai Penolong Penguat kuasa KDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mecheliister Simon menyerbu sebuah premis di Jalan Kuchai Lama, di sini, yang mengedar VCD dan DVD cetak rompak serta lucah.


Ketua Bahagian Kawalan Filem dan Penguat kuasa KDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nor Aziah Abdullah berkata, operasi bersepadu dengan kerjasama cawangan Negeri Sembilan itu dijalankan hasil risikan selama seminggu di premis berkenaan.

Menurutnya, premis berkenaan mempunyai satu pintu rahsia yang berselindung di sebalik kabinet pameran dilengkapi alat kawalan jauh bagi mengaburi mata pihak berkuasa.


"Hasil serbuan itu, kita berjaya merampas DVD cetak rompak bernilai RM30,000 dan DVD lucah sebanyak RM7,500.


"Kita turut menahan tiga pekerja kedai berkenaan termasuk seorang wanita berusia 20-an," katanya.

Bagaimanapun, pemilik premis tiada ketika serbuan.


Katanya, mereka yang terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 18 (1) dan 5 (1) Akta Kawalan Filem dan Bahan Publisiti Filem kerana tiada tanda sijil Perakuan 'B' dan filem lucah.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan