Utusan Online - Selatan |
Memberi latihan kemahiran tinggi Posted: Memberi latihan kemahiran tinggiOleh SAJIDA ASARULAH KHAN
JEMPOL 18 Jan. - Kolej Integrasi Ilmu (KINI) Raja Alias dekat sini berpotensi mendidik belia di kalangan warga Felda dan sekitar menjadi insan berkemahiran tinggi khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Pengurusnya, Ishak Osman berkata, dengan mendapat sambutan baik di kalangan pelajar baru untuk menyertai kolej itu baru-baru ini, jelas ia memberi impak dalam menyediakan modal insan negara pada masa hadapan sekali gus memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja mahir menjelang 2020. ''KINI telah membuka peluang pembelajaran yang lebih baik, terutama sekali kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menetap di sekitar kawasan ini dan pastinya di kalangan anak warga Felda," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Baru-baru ini, seramai 77 lepasan SPM dari seluruh negara telah mendaftar masuk ke KINI bagi meneruskan pengajian dalam bidang membuat pakaian lelaki dan wanita serta berkaitan dandanan rambut. ''Pelajar yang mendaftar masuk itu akan melalui kursus Tahap 1 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) terlebih dahulu sebelum meneruskan pengajian ke tahap yang lebih tinggi. ''Mereka akan melalui latihan kemahiran selama enam bulan di sini," katanya. Menurut Ishak, walaupun tempoh pembelajaran singkat, mereka boleh meneruskan pengajian ke tahap yang lebih baik selepas ini untuk memastikan mereka memperoleh sijil Tahap 4 dan Tahap 5, SKM. ''Apa yang penting, mereka boleh menimba pengalaman selepas tamat kursus enam bulan ini dan selepas itu boleh meneruskan pengajian sambil bekerja," tegasnya. Ishak berkata, jika pelajar yang menamatkan kursus di sini tidak berjaya memasuki mana-mana institut pengajian tinggi awam dalam negara ini, mereka boleh meneruskan pengajian Tahap 2 SKM di sini. ''Bagi saya, tiada istilah rugi dalam menuntut ilmu kerana ia amat berguna pada masa hadapan. ''Dengan pembelajaran bercorak kemahiran ini, ia pasti membuka peluang yang lebih baik dalam sektor pekerjaan atau meneruskan cita-cita untuk membuka perniagaan sendiri," ujarnya. Dalam pada itu, beberapa pelajar yang ditemui menyatakan rasa gembira dan teruja untuk meneruskan pengajian dalam sektor kemahiran ini. Nor Maziyyah Mohd. Mustapa, 18, berkata, dia mengikuti kursus pembuat pakaian wanita dan percaya ia berpotensi untuk membawanya ke arah yang lebih maju. ''Saya tertarik dengan kursus yang ditawarkan oleh KINI dan kolej ini memberi peluang kepada lepasan SPM yang tidak berpeluang memasuki pusat pengajian tinggi lain. ''Keputusan untuk mengikuti kursus ini merupakan pilihan utama saya kerana melihat prospek dan kerjayanya yang lebih mencabar pada masa hadapan," ujarnya. Sempena minggu orientasi ini, pelajar diminta menghadiri beberapa ceramah berkaitan jenayah, jati diri dan motivasi selain perlu menyertai sukaneka dan aktiviti dalam kumpulan. Bagi Nurzila Hussin, 18 yang berasal dari Segamat, Johor, dia ke kolej itu kerana yakin keupayaannya melahirkan graduan yang mampu berdikari pada masa hadapan. ''Saya seronok kerana sepanjang minggu orientasi ini, kami diajar cara untuk berdikari. ''Siapa sangka, di sekolah saya banyak menumpukan kepada peperiksaan SPM, tetapi hari ini saya terpaksa pula berlakon, menari, membuat persembahan teater dan dikir barat," katanya. Nurzila yang mengikuti kursus menjahit pakaian lelaki berkata, pembelajaran tidak akan ada noktahnya dan sebab itulah istilah belajar sepanjang hayat mendorong dirinya untuk terus belajar selagi berkemampuan. ''Saya optimis, apabila keluar dari KINI kelak, peluang pekerjaan, mahupun membuka perniagaan sendiri sentiasa luas. Kalau saya mahu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, peluangnya juga ada. ''Jadi, kenapa perlu bimbang memasuki kursus berkaitan kemahiran ini? Ini adalah sektor yang diperlukan negara pada masa kini," ujarnya. | ||
KUIM, Universiti Al-Azhar jalin kerjasama Posted: KUIM, Universiti Al-Azhar jalin kerjasama
MELAKA 18 Jan. - Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) meluaskan lagi jalinan kerjasama antarabangsanya dalam bidang akademik dengan Universiti Al-Azhar, Mesir. Timbalan Naib Canselor KUIM, Prof. Madya Dr. Baharudin Puteh berkata, kerjasama tersebut dijalin menerusi pertemuan Canselor KUIM iaitu Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dengan Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad Muhammad Tayyib di Kaherah, Mesir baru-baru ini. Menurutnya, pada pertemuan itu, kedua-dua pihak membincangkan beberapa perkara mengenai pertukaran pelajar dan pensyarah, pemindahan kredit dan bidang penyelidikan (R&D). ''Susulan pertemuan itu, kita sedang merangka draf perjanjian persefahaman agar pelaksanaan kerjasama antara KUIM dan Universiti Al-Azhar diadakan segera," katanya di sini hari ini. Antara bidang akademik yang dikenal pasti sesuai bagi rangka kerjasama itu seperti bidang usuluddin, syariah islamiah, tahfiz al- Quran dan pengajian islam. Kata beliau lagi, kerjasama kedua-dua pihak itu dianggap penting bagi memudahkan program pertukaran pelajar dilaksanakan dengan mudah khususnya dalam peringkat ijazah sarjana muda bidang pengajian Islam. ''Oleh kerana KUIM kini sudah dinaikkan taraf kepada Kolej Universiti maka hubungan kerjasama ini perlu diteruskan dalam bentuk yang berbeza," katanya. Kata, kerjasama yang sama pernah dijalankan dengan Universiti Al-Bayt, Jordan melalui pertukaran lapan pelajar KUIM ke universiti itu dalam peringkat diploma pada tahun lalu. KUIM juga turut menjalin kerjasama dengan Universiti Nasional Qinghai (QNU), China baru-baru ini. Dalam perkembangan lain, seramai 13 pelajar KUIM melanjutkan pengajian dalam bidang kejururawatan di Institut Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN) baru-baru ini. Ia bertujuan meningkatkan pemahaman pelajar dalam bidang kejururawatan dan memahami konsep pembelajaran yang dipraktikkan di INSAN. | ||
Posted: 117 pelajar baru ILP
MELAKA 18 Jan. - Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil menerima kemasukan 117 pelatih bagi sesi pengambilan tahun ini. Penolong Pegawai Bahagian Pengurusan Pelajar dan Latihan ILP Bukit Katil, Ahmad Rashidi Ismail berkata, pengambilan pertama kemasukan pelajar bermula pada 5 Januari lalu manakala pengambilan kedua adalah kelmarin. Menurutnya, pelajar akan mengikuti tempoh latihan selama 30 bulan iaitu 24 bulan di pusat latihan manakala enam bulan bagi tujuan latihan industri. ''Pelajar diwajibkan mengikuti peringkat latihan tersebut bagi melayakkan mereka menerima Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga 3," katanya di sini hari ini. Menurutnya, pada minggu pertama, pelajar akan mengikuti Minggu Silaturahim (MSR) bagi memberi pendedahan kepada pelajar tentang suasana dan budaya institut latihan. Kata Ahmad Rashidi, MSR disediakan kepada pelajar bertujuan memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran pusat latihan sekali gus membolehkan pelajar mencapai tahap kemahiran dan akademik yang cemerlang. Katanya, sepanjang program MSR, pelajar didedahkan dengan aktiviti seperti taklimat pengurusan pelajar dan latihan, program Hari Hijau Sedunia peringkat institut, ceramah Jabatan Penerangan negeri, explorasi dan ceramah agama. ''Pelbagai program yang disediakan itu bertujuan untuk membolehkan pelajar berinteraksi dengan baik sesama mereka dan dengan tenaga pengajar. ''Ia bagi menyediakan keadaan persekitaran yang baik dan selesa untuk pelajar sepanjang 24 bulan mereka berada di pusat latihan sebelum mengikuti latihan industri di luar," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan