Jumaat, 28 Januari 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Tertuduh diam ketika ditahan

Posted:

Tertuduh diam ketika ditahan

Tertuduh diam ketika ditahan

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 28 Jan. - Lelaki yang didakwa membunuh eksekutif wanita, Fazlina Ahmad pada Disember dua tahun lalu ditahan oleh pihak polis dengan disaksikan ahli keluarganya selepas empat hari mayat isterinya ditemui di dalam almari pakaian.

Inspektor Mohd. Fadzli Mohd. Yatim semasa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, Mohafri Mohamed hanya berdiam diri di tempat duduk belakang kereta Honda CRV ketika dia ditahan di hadapan Zoo Negara, Hulu Klang, pada 3 Januari tahun lalu.

Beliau yang ketika itu bertugas sebagai Inspektor Pencegahan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjelaskan, kereta itu dipandu adik ipar Mohafri, Mohd. Saman Mohd. Ishak manakala beberapa ahli keluarga tertuduh turut berada di sekitar kawasan tersebut.

''Saya hanya diberi maklumat (di mana tertuduh berada) oleh pegawai polis yang turut hadir semasa penahanan tersebut. Beliau juga memperkenalkan saya kepada ahli keluarga tertuduh yang menunggu di situ.

''Selepas itu, pemeriksaan terhadap seorang lelaki yang berada di tempat duduk belakang dilakukan dan dia memberi pengenalan secara lisan dengan memberitahu namanya Mohafri Mohamed,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.

Dalam kes ini, Mohafri, 38, bekas pengurus syarikat katering didakwa membunuh isterinya, Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi dan 10.30 pagi, 30 Disember 2009.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd. Fadzli, 44, yang kini bertugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Langkawi, Kedah bagaimanapun menafikan menerima panggilan daripada bapa saudara Mohafri yang memaklumkan bahawa tertuduh ingin menyerah diri.

Menjawab soalan peguam Hisyam Teh Poh Teik, beliau juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa telefon bimbit yang dikatakan dirampas olehnya daripada Mohafri sebenarnya diserahkan oleh adik tertuduh, Mohd. Hanafi.

Sementara itu, Mohd. Hanafi, 35, semasa menyambung keterangannya memberitahu, dia mengetahui Mohafri pernah dimasukkan ke wad sebuah hospital sebelum ditahan oleh pihak polis.

Chef di sebuah hotel itu bagaimanapun tidak tahu mengenai kejadian abangnya yang dikatakan pernah meminta bantuan daripada jemaah masjid di Serendah, Hulu Selangor sebelum itu.

Jelasnya, dia juga mengetahui abangnya itu pernah dibawa ke Balai Polis Serendah daripada Mohafri sendiri ketika mereka berada di Balai Polis Ampang.

Sementara itu, ahli kimia daripada Jabatan Kimia, Nor Aidora Saedon mengesahkan terdapat profil asid deoksiribonukleik (DNA) milik Mohafri dan teman wanitanya Nazratul Annis Zainal Abidin daripada ekstrak air mani pada kondom yang ditemui di dalam bakul sampah di bilik tidur tertuduh.

Jelasnya, hanya DNA Fazlina ditemui pada pita pelekat serta dua helai tisu yang berlabel Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Perubatan Forensik Hospital.

Sementara ujian beliau terhadap kesan darah pada 10 keratan kuku Fazlina pula gagal menemui sebarang profil DNA.

Nazratul Annis dalam keterangannya sebelum ini mengakui melakukan hubungan seks dengan tertuduh ketika mayat mangsa masih berada di dalam almari berhampiran, pada hari kejadian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung 14 Februari ini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Wanita didakwa bunuh bayi

Posted:

Wanita didakwa bunuh bayi

Wanita didakwa bunuh bayi

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 28 Jan. - Seorang wanita warganegara Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh bayinya yang baru lahir di dalam tandas di rumahnya pada pagi Selasa lalu.

Nuraishah Abdullah, 23, hanya menganggukkan kepala tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zilfinaz Abbas.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang hanya berkain batik dan memakai baju T warna hijau.

Nuraishah yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) didakwa membunuh bayinya yang baru lahir di No. 4, Lot 9902, Batu 4, Kampung Jawa dekat sini pada pukul 9 pagi, 25 Januari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zara Ana Mohd. Zawawi memohon agar wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemerhatian mental selama sebulan mengikut Seksyen 342(5) Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau turut memohon agar kes tersebut disebut semula dalam tempoh sebulan sementara menunggu laporan perubatan.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan mengarahkan Nuraishah dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak untuk pemerhatian mental.

Beliau turut menetapkan 28 Februari ini untuk sebutan semula kes itu.

Sementara itu, Nuraishah yang kelihatan lemah dan berjalan secara perlahan mengadu sakit pada bahagian rahim kerana masih dalam pantang selepas bersalin tiga hari lalu.

Dia yang turut mengadu kesejukan dilihat menangis sambil ditenangkan oleh dua anggota polis wanita semasa berada di bilik bicara. Penghawa dingin turut dimatikan bagi memberi keselesaan kepada tertuduh sepanjang prosiding.

Pada Selasa lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang bayi perempuan ditikam bertubi-tubi oleh ibu kandung sendiri sebelum mayatnya diletakkan di atas beg plastik di dalam tandas di sebuah rumah panjang di Batu 4, Kampung Jawa di sini.

Mayat bayi yang dipercayai baru dilahirkan kira-kira pukul 9 pagi ditemui sepasukan polis yang tiba di tempat kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari selepas mendapat maklumat daripada orang awam.

Difahamkan, bayi berkenaan ditikam lebih lima kali dan polis merampas sebilah objek tajam dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob semasa dihubungi memaklumkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan hari ini.

Sementara itu, mayat bayi tersebut telah selesai dibedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Kampung Jawa di sini.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan