Isnin, 31 Januari 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Selamat Datang - Najib

Posted:

Selamat Datang - Najib

Selamat Datang - Najib


Najib Tun Razak dan Pengerusi Lembaga Hal Ehwal Eksekutif Abu Dhabi, Khaldoon Khalifa Al-Mubarak (kanan) menyaksikan Mustapa Mohammed dan Sultan Saeed Al-Mansoori bertukar dokumen perjanjian sempena Forum Invest Malaysia 2011 di Emirates Palace Hotel, Abu Dhabi, semalam. - Bernama


ABU DHABI 30 Jan. - 'Selamat Datang' itulah ungkapan penutup yang dilafazkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di hadapan lebih 500 pelabur dari Asia Barat bagi mempelawa mereka datang melabur ke Malaysia.

Sambil memberi jaminan bahawa Malaysia sememangnya amat komited dan mengalu-alukan kehadiran mereka, Perdana Menteri berkata, Malaysia yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka mempunyai komitmen kuat untuk mencapai visi menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

''Ekonomi Malaysia menawarkan peluang yang luas dan terbuka kepada pelabur yang mempunyai visi dan berdaya saing," katanya ketika berucap melancarkan forum Invest Malaysia 2011 di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Ekonomi Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sultan Saeed Al-Mansoori serta Ketua Setiausaha Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Abdul Rahman bin Hamad Al-Attiyah.

Najib berkata, peluang bagi negara-negara Asia Barat terutama anggota GCC untuk melabur di Malaysia terbuka luas dengan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas antara Malaysia dan GCC pada Mac ini.

''Ia lanjutan daripada majlis menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Bagi Kerjasama Ekonomi, Komersial, Pelaburan dan Teknikal antara kedua-dua pihak hari ini.

''Ia akan menjadi batu loncatan kepada hubungan kukuh dan mesra dalam bidang ekonomi dan politik antara Malaysia dan anggota GCC," katanya.

Anggota GCC terdiri daripada UAE, Arab Saudi, Oman, Kuwait, Bahrain dan Qatar.

Dalam ucapan yang turut menyentuh mengenai keistimewaan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki pelbagai etnik dan agama, Perdana Menteri menjelaskan, untuk masa depan Malaysia mensasarkan menjadi negara berpendapatan tinggi.

''Bagi tempoh 2011 hingga 2015, kami menetapkan sasaran pendapatan AS$12,000 per kapita setahun. Matlamat ini menuntut pencapaian pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) sebanyak enam peratus setahun," katanya.

Najib berkata, dalam usaha mengekalkan pertumbuhan mampan, ia mesti diketuai sektor swasta dan dipacu oleh sektor pengeluaran.

''Oleh itu dasar Malaysia ialah memberi tumpuan dalam strategi untuk memperkukuhkan daya saing Malaysia," katanya.

Dalam usaha itu, kata Perdana Menteri, tiga elemen utama diperlukan iaitu pembangunan modal insan, memberi keutamaan kepada teknologi terkini dan memberi kemudahan kepada pertumbuhan industri utama dan berusaha memantapkan produktiviti, kecekapan serta menambah inovasi.

Beliau berkata, Malaysia mensasarkan ekonomi yang negara itu mempunyai kelebihan seperti eko-pelancongan, pelancongan perubatan, perkhidmatan kewangan, pendidikan, telekomunikasi dan teknologi hijau.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan majalah Invest Malaysia 2011 yang diterbitkan oleh Focus International melalui usaha sama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). - UTUSAN

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

TPM: Pelajar kita selamat

Posted:

TPM: Pelajar kita selamat

TPM: Pelajar kita selamat

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Situasi kesemua pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir dilaporkan berada dalam keadaan selamat selepas berlakunya demonstrasi bagi mendesak Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan sejak 25 Januari lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, buat masa ini tiada keperluan untuk membawa balik kesemua pelajar terbabit ke tanah air.

Bagaimanapun, katanya, pihak kerajaan serta Kedutaan Malaysia di Kaherah telah menyediakan perancangan kontigensi bagi menjaga keselamatan pelajar termasuk rakyat Malaysia jika keadaan terus berlarutan dan kritikal.

''Ini termasuk memantau perkembangan keselamatan di Mesir dengan lebih teliti, mengesan dan menghubungi kesemua pelajar Malaysia bagi memastikan mereka berada di dalam keadaan selamat.

''(Dan) menyediakan pelan kontigensi untuk memindahkan mereka ke negara-negara jiran yang berdekatan iaitu Jordan, Arab Saudi dan Libya,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kedudukan terkini pelajar-pelajar Malaysia di Mesir selepas berlakunya demonstrasi besar-besaran bagi mendesak Hosni meletak jawatan.

Muhyiddin menambah, berdasarkan angka terkini jumlah pelajar Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia adalah sebanyak 10,328 orang.

Pada masa sama, beliau berkata, terdapat juga beberapa pelajar Malaysia dari Jordan yang membuat lawatan ke negara itu semasa demonstrasi.

''Oleh itu, jumlah sebenar pelajar Malaysia di Mesir sedang dikemaskini oleh Kementerian Luar,'' katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan juga tidak menghalang mana-mana pelajar Malaysia di Mesir untuk pulang ke tanah air atas pembiayaan sendiri.

''Pihak Kedutaan Malaysia di sana akan memberikan kerjasama dan bantuan nasihat mengenai syarikat penerbangan yang boleh digunakan,'' katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah membentuk satu kumpulan kerja dipengerusikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dianggotai oleh Kementerian Luar, Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan agensi berkaitan.

''Tujuannya untuk memantau situasi keselamatan pelajar Malaysia di Mesir dan mengkaji pelan tindakan yang perlu diambil bagi menjamin keselamatan setiap pelajar terlibat,'' katanya lagi.

Sementara itu, Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini mengesahkan semua pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir berada dalam keadaan selamat.

"Ibu bapa dan keluarga dinasihatkan tidak begitu risau kerana Pejabat Pendidikan Malaysia dan kedutaan di Kaherah sedang memantau situasi ini dengan dekat dan kerap berhubung pelajar serta rakyat kita di sana," kata kenyataan itu.

Kementerian dan kedutaan Malaysia di Kaherah telah menubuhkan bilik operasi dan boleh dihubungi pada bilik operasi kementerian di talian 03-88892746/03-88874570.

Bilik operasi Kedutaan Malaysia di Kaherah pula dapat dihubungi di talian 00 202 37610013 sambungan 116 atau 00 202 37610164.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (Perubatan), Muhammad Husaini Saleh ketika dihubungi di Kaherah berkata, pihak kedutaan telah meminta para pelajar Malaysia sentiasa berhati-hati.

"Kebetulan kami sedang bercuti selama dua minggu, maka ia tidak mengganggu pembelajaran.

''Seramai 600 penuntut Malaysia menuntut di Universiti Kaherah,'' katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

100 rumah penduduk miskin dibaik pulih

Posted:

100 rumah penduduk miskin dibaik pulih

100 rumah penduduk miskin dibaik pulih


Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama penduduk pada majlis penyerahan sumbangan limau mandarin di Bagan Datoh, Perak, kelmarin.


BAGAN DATOH 30 Jan. - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi membaik pulih lebih 100 rumah penduduk miskin di daerah ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program baik pulih yang dijalankan secara gotong-royong menerusi penglibatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Projek Jiwa Murni itu dijangka mengambil masa selama tiga bulan.

"Dana ini diperoleh menerusi peruntukan di bawah syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad.

"Jika berdasarkan kos semasa hanya 100 rumah mampu dibaik pulih dengan dana RM500,000 itu, tetapi oleh kerana di sini kita menjalankan secara gotong-royong dan dengan kerjasama ATM, maka jumlah rumah itu boleh meningkat sehingga 130 buah," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata demikian selepas melancarkan program membaiki rumah penduduk miskin, Ong Kim Yok di Parit 12 Hutan Melintang di sini semalam.

Mengenai penglibatan ATM dalam misi pengaman di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ahmad Zahid menjelaskan, pasukan keselamatan negara telah mendapat banyak pengiktirafan daripada pertubuhan dunia itu.

Malah katanya, ATM juga sentiasa mendapat kepercayaan daripada markas pemerintah seperti melaksanakan misi Pasukan Interim PBB (Unifil) di Lebanon.

"Pihak Unifil sentiasa meminta ATM untuk berada di bahagian hadapan bagi membantu menyelesaikan masalah yang berlaku di kawasan yang menghadapi konflik," katanya.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan yang dicapai itu adalah hasil kaedah yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menjadi Menteri Pertahanan.

"ATM berterima kasih kepada Perdana Menteri yang begitu prihatin serta meluluskan peruntukan tambahan untuk ATM bergerak di peringkat antarabangsa antaranya menubuhkan pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Alam yang berpusat di Pangkalan Udara Subang. Ia berfungsi membantu mangsa bencana alam di negara-negara ASEAN," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan