Sabtu, 29 Januari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Seindah nama Anjung Indah

Posted:

Seindah nama Anjung Indah

Seindah nama Anjung Indah

Oleh ARDYHANSAH AMAT
ardyhansah.amat@utusan.com.my


Suasana di sekitar Anjung Indah, Jalan Sardon, Balik Pulau. - utusan/Zhafaran Nasib


BALIK PULAU 28 Jan. - Mungkin ramai sedia maklum atau pernah mengunjungi Anjung Indah di Jalan Sardon, iaitu laluan yang menghubungkan Bukit Jambul dan Balik Pulau.

Apatah lagi, ia sudah tujuh tahun dibuka kepada orang ramai sebagai salah satu lokasi menarik untuk dilawati di negeri ini.

Namun, kunjungan penulis ke situ baru-baru ini adalah tidak disengajakan. Semuanya berlaku ketika penulis ingin mencari gerai makan bagi mengisi perut sebaik sahaja menyelesaikan satu tugasan di Balik Pulau.

Dalam perjalanan pulang mengharungi jalan berliku dan berbukit, penulis terpandang papan tanda dengan perkataan 'Best Mee Udang' di kiri jalan, lantas tergerak hati untuk singgah sebentar di situ.

Terdetik dalam fikiran penulis untuk mengetahui sejauh mana istimewanya mi udang di situ seperti apa yang tertulis pada papan tanda berkenaan.

Namun, sebaik sahaja keluar dari perut kereta, rupa-rupanya ada yang lebih menarik perhatian penulis, bukannya keinginan untuk menikmati mi udang.

Lapar perut yang menusuk-nusuk tadi, seolah-olah lenyap apabila terpandang panorama indah di kawasan tersebut.

Di hadapan penulis, terbentang ciptaan indah Yang Maha Esa.

Deretan pokok yang menghijau memenuhi kanta mata.


Pekan Balik Pulau boleh dilihat dengan jelas sekiranya tidak berkabus di puncak Anjung Indah, Balik Pulau.


Susunan yang beralun, seperti ombak, menandakan kawasan tersebut berbukit-bukau, terasa cukup tenang di hati.

Lebih menarik, kehijauan pokok-pokok tersebut disulami pemandangan Selat Melaka.

Selain keindahan alam semula jadi itu, sesiapa yang berada di Anjung Indah sudah pasti dapat merasai tipuan angin sepoi-sepoi bahasa.

Nyaman? Sudah tentu dan penulis langsung tidak berasa bahang matahari walaupun ketika itu jarum besar jam menunjuk ke angka satu.

Walaupun tidak banyak kemudahan disediakan kecuali tandas, kerusi, tempat makan dan dataran, ia sama sekali tidak mencacatkan persinggahan pengunjung ke situ.

Bagi penulis, kemudahan yang minimum sudah memadai kerana ia memberi peluang kepada pengunjung untuk menghayati keindahan alam semula jadi.

Berdasarkan pengamatan penulis, Anjung Indah dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat untuk pelbagai tujuan, daripada golongan berkeluarga yang berkelah, melepak dengan rakan sehinggalah tempat memadu kasih pasangan sedang hangat bercinta.

Terdapat juga bas-bas yang membawa kumpulan pelancong dari luar negara singgah di situ.

Daripada perbualan penulis dengan peniaga di situ, Anjung Indah akan menjadi lebih meriah tatkala musim buah.

Ketika itu, banyak gerai menjual buah-buahan dibuka yang menjual antaranya cempedak, manggis, duku dan durian.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

10 'laluan maut' di Perlis

Posted:

10 'laluan maut' di Perlis

10 'laluan maut' di Perlis

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my


Abdul Jamil Saad (dua dari kanan) menyampaikan risalah kempen keselamatan jalan raya kepada penumpang bas pada Program Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Pintu Gerbang Sempadan Perlis - Kedah di Lebuhraya Kuala Perlis - Changlun, Arau, semalam.


ARAU 28 Jan. - Pengguna jalan raya diingatkan supaya berhati-hati ketika menggunakan 10 laluan di negeri Perlis yang dikenal pasti sebagai "laluan maut" melibatkan kawasan di Kangar dan Padang Besar khususnya menjelang musim perayaan.

Pengerusi majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Perlis, Abdul Jamil Saad memberitahu, di Kangar laluan yang dikenal pasti berbahaya ialah Jalan Kangar-Alor Setar, Jalan Kangar-Kodiang, Jalan Raja Syed Alwi, Jalan Kuala Perlis-Changloon, kilometer 1 hingga kilometer 5 Jalan Kangar-Padang Besar dan Jalan Ulu Pauh.

"Di kawasan Padang Besar, ia melibatkan KM5.2 hingga KM34 Jalan Kangar-Padang Besar, Jalan Mata Ayer-Beseri, Jalan Bukit Keteri-Padang Besar dan Jalan Bukit Kayaman-Ngulang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2011 dan mengedarkan risalah keselamatan kepada pengguna jalan raya di pintu gerbang sempadan Kedah/Perlis, km 27 Lebuh Raya Kuala Perlis-Changloon, dekat sini hari ini.

Turut mengedarkan risalah kepada pengguna jalan raya ialah Pegawai Turus Trafik Negeri Perlis, Asisten Supritendan Rusli Yahya; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Negeri Perlis, Zulhasmi Mohamad dan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Perlis, Mohd. Fazlee Mohd. Latiff.

Menurut Abdul Jamil, para pengguna seharusnya mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan khususnya melalui kawasan berkenaan termasuk sentiasa berwaspada bagi mengelakkan tragedi tidak diingini disebabkan oleh kecuaian sendiri.

Sementara itu, Rusli berkata, kes kemalangan jalan raya di Perlis meningkat tujuh kes pada tahun lalu dengan catatan 68 kes berbanding 61 kes pada 2009.

Bagaimanapun, kata beliau, hanya dua kemalangan maut yang melibatkan dua kematian dicatatkan masing-masing pada tahun 2009 dan 2010.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

NCIA sedia RM3j bina stor baja

Posted:

NCIA sedia RM3j bina stor baja

NCIA sedia RM3j bina stor baja


REDZA Rafiq (kiri) menyerahkan replika kunci kepada Mahamad Abdullah sambil diperhatikan Ali Yahaya (tengah) di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah, kelmarin.


SUNGAI PETANI 28 Jan. - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah membelanjakan hampir RM3 juta untuk membina sembilan buah stor penyimpanan baja kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di wilayah utara.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq berkata, penyediaan kemudahan terbaru itu bertujuan membantu menambah kapasiti simpanan dan mengatasi masalah kekurangan bekalan baja di kalangan para pesawah pada masa akan datang.

Selain itu, beliau berkata, inisiatif berkenaan juga selari dengan objektif utama pihaknya untuk menjadikan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sebagai zon pengeluaran makanan moden negara.

"Usaha ini merupakan pelaburan jangka panjang kita bagi menjayakan matlamat kerajaan memodenkan pertanian terutamanya sektor tanaman padi di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak utara.

"Sektor tanaman padi di kawasan NCER dilihat penting kerana telah menyumbang sebanyak 60 peratus kepada keluaran beras negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan stor baja NCIA kepada PPK Kuala Muda Selatan di Tikam Batu, dekat sini, semalam.

Hadir bersama ialah Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Sungai Petani, Ali Yahaya dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kuala Muda Selatan, Mahamad Abdullah.

Menurut Redza, selain PPK Kuala Muda Selatan, turut menerima stor baja itu ialah PPK Changlun, Asun, Naka, Merbok, Selama, Beseri (Perlis), Semanggol/Selinsing (Perak) dan Bukit Merah (Pulau Pinang).

"Setiap stor berharga kira-kira RM300,000 hingga RM600,000.

"Proses penyerahan akan dilakukan secara berperingkat mulai bulan ini," katanya.

Beliau berharap, dengan adanya stor berkenaan, proses pengagihan baja turut dapat dipercepatkan dan seterusnya meningkatkan produktiviti di kalangan pesawah.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan