Jumaat, 28 Januari 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


DUN Tenang: Nota hantu kian tersebar

Posted: 27 Jan 2011 10:18 AM PST

Wilayah

SURAT layang dan risalah kempen yang tersebar pada pilihan raya kecil DUN Tenang.

SURAT layang dan risalah kempen yang tersebar pada pilihan raya kecil DUN Tenang.

Jadi senjata kempen jentera parti tarik undi walaupun berbaur fitnah

LABIS: Risalah tidak bertuan atau nota hantu, kian disebar secara meluas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang menjadi antara senjata kempen jentera parti bertanding bagi mempengaruhi pengundi.

Walaupun menarik perhatian orang ramai menerusi karikatur dan pembentangan fakta secara ringkas dan padat, ada sesetengahnya berbaur fitnah kerana tiada bukti disertakan bagi menyokong dakwaan. Bahan kempen terbabit dipercayai dihasilkan penyokong parti bertanding walaupun tidak tertera nama pencetak pada bahan berkenaan.

Yang pasti, pihak yang mendalangi kegiatan penyebaran risalah itu kelihatan bekerja kuat sepanjang kempen berlangsung bagi menghasilkan pelbagai versi risalah demi memenangkan parti masing-masing.

Selain menggunakan mesin percetakan moden dan berwarna, ada juga risalah dihasilkan secara mudah dengan mesin fotostat saja.

Kebanyakan risalah dan buku kecil itu ditinggalkan sekitar kedai makan atau kawasan perumahan awam bagi menarik perhatian pengundi mengenai pelbagai isu yang dibangkitkan.
Selain perbezaan dan kelemahan dasar perjuangan antara parti yang bertanding menjadi sasaran serangan, isu peribadi calon juga tidak terkecuali, jika maklumat mengenai sejarah silam mereka diketahui oleh jentera yang boleh disifatkan sebagai bergerak bawah tanah ini.

Walaupun digelar risalah hantu, jika ia memuatkan fakta dan maklumat yang tepat, pastinya membantu pengundi membuat pilihan calon yang tepat ketika turun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Ahad ini.

Bagi risalah yang berunsur fitnah, pastinya mengundang kemarahan seterusnya membawa kepada laporan polis seperti yang dilakukan Pergerakan Wanita UMNO Labis.

Risalah itu yang disifatkan berbentuk fitnah antara lain mendakwa Ketua Wanita UMNO bahagian berkenaan, Haslinda Salleh tidak menyokong calon BN, Mohd Azahar Ibrahim (Tok Ai) pada pilihan raya kecil DUN Tenang.

Bahan itu didakwa dari Kelab Wanita Veteran BN Labis yang tertera kenyataan "Kami penyokong Linda tidak akan menyokong Tok Ai sebagai calon BN tolak wanita" adalah tidak berasas apabila jentera Wanita Labis diketuai Haslinda sendiri giat berkempen memenangkan Mohd Azahar.

Malah, Kelab Wanita Veteran BN Labis juga tidak pernah wujud.

Urusetia Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi pilihan raya kecil DUN Tenang, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata setakat ini pihaknya hanya menerima satu laporan polis mengenai penyebaran risalah seumpama itu membabitkan laporan dari Wanita UMNO Labis.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sentiasa membuat pemantauan mengenai penyebaran risalah tidak bertuan di sekitar kawasan pilihan raya kecil ini.

"Setakat ini kita hanya menerima laporan polis mengenai penyebaran risalah dan kita juga membuat pemantauan, selain akan membuat siasatan terperinci jika menerima sebarang laporan polis berkaitan risalah seumpama itu," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Sentral: 'Makhluk halus' kutip hutang

Posted: 27 Jan 2011 10:16 AM PST

Wilayah

KAIN rentang menawarkan perkhidmatan kutip hutang cara halus  menimbulkan  kemusykilan  kalangan penduduk di sekitar Wangsa Maju.

KAIN rentang menawarkan perkhidmatan kutip hutang cara halus menimbulkan kemusykilan kalangan penduduk di sekitar Wangsa Maju.

Iklan khidmat tak didaftar berleluasa sekitar Lembah Klang

BANGSAR: Pelik tetapi benar, guna khidmat makhluk halus untuk kutip hutang. Itulah perkhidmatan terbaru yang ditawarkan pihak tertentu kepada orang ramai di Lembah Klang, khususnya mereka yang sukar untuk menuntut hutang daripada pemiutang.

Dengan membayar 30 peratus daripada hasil keseluruhan kutipan hutang, orang ramai berpeluang menggunakan khidmat 'cara halus' yang ditawarkan pihak tertentu terbabit melalui banting iklan yang dipasang di pinggir bandar raya dan sekitar Selangor. Antara perkataan yang tertera di banting iklan berkenaan ialah 'Perkhidmatan Mengutip Hutang Cara Halus -untuk nilai RM1 juta ke atas.'

Tinjauan mendapati iklan perkhidmatan yang tidak didaftarkan itu meminta pelanggan menghubungi nombor telefon tertera pada banting iklan terbabit bagi mendapatkan khidmat yang ditawarkan.

Bagaimanapun, perkhidmatan hanya diberi kepada jumlah kutipan hutang yang melebihi RM1 juta.

Pihak menyediakan perkhidmatan itu yang enggan namanya disiarkan berkata, melalui kaedah yang diamalkannya, khidmat makhluk halus akan digunakan bagi memujuk pemiutang membayar hutangnya kepada pihak yang memberi hutang.
"Pihak yang memberi hutang hanya perlu memberikan nama penuh dan alamat pemiutang.

"Selepas memperoleh maklumat itu, ia akan dihantar kepada pemiutang yang mengakibatkan pemiutang pasti akan membayar jumlah hutang yang diminta asalkan mempunyai wang," katanya kepada Sentral.

Ditanya mengenai bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan, penyedia perkhidmatan dipercayai seorang lelaki dari Sabah berkata, sebagai bayaran pendahuluan, pelanggan akan diminta lima peratus daripada keseluruhan jumlah kutipan hutang, manakala 25 peratus lagi selepas wang kutipan hutang itu diterima, menjadikan 30 peratus bayaran kesemuanya.

"Jika pelanggan menganggap jumlah bayaran untuk perkhidmatan ini terlalu tinggi dan tidak mampu untuk membayarnya, mereka boleh mengaturkan supaya pemiutang membayar jumlah yang lebih tinggi dari jumlah asal wang yang dipinjamnya, bagi membolehkan pelanggan melangsaikan bayaran perkhidmatan itu.

"Bayaran yang dikenakan memang sebanyak itu kerana ramai sudah berjaya mengutip hutang mereka dengan cara ini. Kebanyakan yang pernah menggunakan perkhidmatan ini termasuk peniaga dan syarikat besar," kata lelaki terbabit yang enggan mendedahkan identiti dan alamat pejabatnya.

Sementara itu, tokoh agama, Datuk Abu Hassan Din Al-Hafiz ketika diminta mengulas perkhidmatan itu berkata, walaupun membayar hutang itu hukumnya wajib, orang ramai sepatutnya mengelakkan menggunakan perkhidmatan yang membabitkan penggunaan jin untuk mengutip hutang kerana ditakuti ia adalah sihir.

"Penggunaan sihir sepatutnya dielakkan apatah lagi perkhidmatan itu menawarkan cara kepada orang ramai yang memberi hutang untuk mengutip jumlah bayaran lebih tinggi daripada jumlah asal yang dipinjamkannya," katanya.


Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan