Jumaat, 28 Januari 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Tudung saji daun tal ada nilai komersial

Posted:

Tudung saji daun tal ada nilai komersial

Tudung saji daun tal ada nilai komersial

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my


Sebahagian penduduk menunjukkan tudung saji daun tal yang telah siap dianyam di Kampung Hutan Pasir, Pasir Mas, Kelantan. - utusan/Hapizah Aziz


PASIR MAS 27 Jan. - Lazimnya, tudung saji diperbuat daripada daun mengkuang.

Bagaimanapun, sekumpulan penduduk di Kampung Hutan Pasir, Cherang Tok Rong dan Kampung Atas Pinggir dekat sini menghasilkan produk kraf tangan tersebut menggunakan daun pokok kelapa laut, sejenis tumbuhan palma yang biasa tumbuh di kawasan sawah padi.

Pokok kelapa laut atau dikenali dengan nama tal di kalangan rakyat Kelantan, sebenarnya mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Sebagai contog, daunnya digunakan sebagai tempat menulis sebelum kertas tercipta.

Daun tal juga digunakan untuk membuat kipas, atap rumah, tikar, topi, beg dan bakul.

Daun tal yang dikatakan mengandungi kalium turut digunakan bagi menghasilkan baja hijau untuk sawah padi, selain alat muzik seperti pipit serunai.

Bagi penduduk kampung terbabit, idea menghasilkan tudung saji daripada daun tal tercetus berikutan bentuknya yang unik iaitu berbentuk kipas besar dan amat sesuai digunakan sebagai penutup hidangan.

Sebenarnya, sejarah pembuatan tudung saji daun tal yang diusahakan penduduk kedua-dua kampung itu telah menjejak usia lebih 30 tahun, bermula dengan harga 50 sen sebuah, kini ia dipasarkan sekitar daerah ini dan Kota Bharu dengan harga RM13.

Ketika ini, terdapat sekumpulan wanita di kedua-dua kampung berkenaan yang meneruskan pembuatan tudung saji tersebut bagi memastikan ia tidak hilang ditelan zaman, selain menjadikannya punca pendapatan keluarga.

Antara yang terlibat dalam perusahaan kraf tangan tersebut ialah Hasnah Ismail, 54, dari Kampung Hutan Pasir, yang menerima tunjuk ajar daripada ibunya, Safiah Awang Hamat, 87, ketika usia remaja lagi.

Hasnah berkata, proses membuat tudung saji daun tal bermula daripada menjemur, diikuti melerai dan mencarik daun, merendam, menjemur dan mewarna sebelum dianyam menjadi sebuah tudung saji.

"Untuk mengambil daun tal, pokoknya tinggi seakan-akan pokok nyior (kelapa) perlu dipanjat atau dikait.


Sebahagian pokok tal yang tumbuh liar di sekitar Kampung Hutan Pasir, Pasir Mas, menjadi bahan asas membuat tudung saji.


"Kemudiannya, daun perlu dijemur bagi memudahkan kerja mengoyakkan dari pelepah untuk dibuang lidi," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Hasnah, ibu kepada dua orang anak itu berkata, daun tal selepas dilerai dan dicarik akan direndam selama tiga malam, kemudian dijemur dan seterusnya dicelup pewarna.

Jelasnya, mungkin ada yang menganggap kerja membuat tudung saji tidak rumit, tetapi sekiranya proses anyaman tidak betul, hasilnya tidak kemas dan cantik.

Menurutnya, proses menganyam hanya boleh dimulakan selepas daun tersebut kering sepenuhnya.

"Semasa menganyam pula, beberapa proses perlu diikuti bagi memastikan tudung saji yang dihasilkan kelak benar-benar kemas dan cantik bagi menarik pembeli," katanya.

Kata Hasnah, berdasarkan pengalaman menceburi bidang tersebut sejak sekian lama, dia mampu menyiapkan 34 tudung saji dalam tempoh 20 hari atau purata dua tudung saji sehari.

"Kebiasaannya, peraih yang datang ke rumah mengambil tudung saji yang telah siap. Hasil daripada kerja ini, saya mampu mendapat antara RM400 hingga RM500 sebulan," katanya.

Sementara itu, Safiah berkata, dia berbangga kerana dapat menurunkan kemahiran membuat tudung saji kepada Hasnah dan berharap ilmu yang diwariskan tersebut tidak terhenti setakat itu sahaja.

"Saya mendapat pengetahuan membuat tudung saji daun tal ini daripada Allahyarham nenek saya, Tok Kemala dan arwah pula mempelajarinya daripada arwah ibunya," katanya mengimbau sejenak susur galur ilmu tersebut sehingga dapat dipertahankan sehingga kini.

Justeru, Safiah memberitahu, dia tidak mahu ilmu membuat tudung saji tal itu berakhir sebagaimana yang berlaku kepada arwah suaminya yang pakar membuat dulang daun tal tetapi gagal mewariskan kepada anak-anak kerana tidak ada yang berminat.

Dia percaya, perusahaan membuat tudung saji daun tal telah lama diusahakan oleh penduduk berikutan terdapat banyak pokok tersebut yang tumbuh di tanah terbiar di kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Ruhana Abdul Rahman, 52, berkata, kemampuan penduduk kampung menghasilkan tudung saji tal sejak turun-temurun sepatutnya membuka mata pihak berkenaan untuk mengambil inisiatif mengembangkan seni kraf tangan itu dan mengiktiraf kedua-dua kampung berkenaan di bawah projek satu kampung satu produk.

Menurutnya, sepanjang pengetahuannya tidak ada kawasan lain di daerah ini yang menghasilkan tudung saji daun tal sama ada untuk hiasan atau dijadikan sumber pendapatan keluarga.

Jelasnya, orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan, boleh menghubunginya di talian 019-9248662 atau Hasnah (019-9952041).

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kerajaan peruntuk RM998,100

Posted:

Kerajaan peruntuk RM998,100

Kerajaan peruntuk RM998,100

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my


Hussain Awang menyampaikan bantuan kepada seorang kanak-kanak pada Majlis Penyampaian Bantuan Yuran Murid Prasekolah Swasta di SMK Sultan Ibrahim 1, Pasir Mas, semalam.


PASIR MAS 27 Jan. - Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM998,100 bagi bantuan yuran murid prasekolah yang belajar di 124 taman didikan kanak-kanak swasta di negeri ini, tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, peruntukan itu adalah bantuan yuran untuk Ogos, September dan Oktober tahun lalu membabit 2,218 murid yang pendapatan ibu bapa mereka di bawah RM2,300 sebulan.

"Pemberian itu merupakan antara matlamat kerajaan mengurangkan beban ibu bapa sekali gus menggalakkan kanak-kanak mendapat pendidikan awal," katanya berucap pada majlis penyampaian bantuan tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim 1, di sini hari ini.

Bantuan yuran murid prasekolah itu adalah di bawah Program Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) Kementerian Pelajaran.

Ia dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat.

Pada majlis itu, seramai 315 kanak-kanak prasekolah pelbagai kaum menerima bantuan berjumlah RM141,750.

Menurut Hussain, bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak dilaksanakan di tadika swasta, kerajaan juga membelanjakan RM508,000 untuk menjalankan kursus selama tiga minggu melibatkan 127 guru tadika.

Selain itu, katanya, seramai 37 lagi pengusaha tadika swasta baru turut mendapat bantuan permulaan berjumlah RM370,000 iaitu sebanyak RM10,000 setiap seorang.

"Insentif yang diberikan itu bertujuan menggalakkan lebih banyak tadika swasta ditubuhkan bagi menempatkan kanak-kanak berumur lima dan enam tahun.

"Sasaran JPN supaya kanak-kanak tersebut mendapat pendidikan awal di mana sahaja mereka berada," katanya.

Beliau berkata, menjelang 2012, ramai di kalangan kanak-kanak terbabit akan memasuki alam persekolahan sebenar dan pendidikan awal di tadika bertujuan membina minda mereka yang sedang berkembang.

"Kewujudan tadika swasta juga dapat menampung keperluan pendidikan di kalangan kanak-kanak yang tidak dapat disediakan sepenuhnya oleh agensi-agensi kerajaan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Jangan lemahkan jentera kerajaan - MB

Posted:

Jangan lemahkan jentera kerajaan - MB

Jangan lemahkan jentera kerajaan - MB

KUALA TERENGGANU 27 Jan. - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan agar jentera kerajaan tidak cuba dilemahkan dalam usaha kerajaan memberi lebih kesejahteraan kepada rakyat melalui pelbagai perancangan yang perlu dijayakan.

Sambil menegaskan demikian beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu penjawat awam bersifat 'seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing' dan 'menjadi api dalam sekam'.

Beliau mengajak mereka bermaufakat dengan semua pihak agar ia memberikan lebih kekuatan bagi menyempurnakan segala yang dirancang.

Sehubungan itu, beliau mengulangi peringatan kepada semua ketua jabatan dan pegawai kanan kerajaan agar lebih kerap mendampingi anggota masyarakat bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Ini bukan seruan kali pertama saya, bahawa pegawai mesti turun padang. Jika wakil rakyat ramai duduk bersama rakyat di kawasan mendengar masalah rakyat, pegawai juga perlu duduk bersama wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat" katanya.

Beliau berkata demikian di majlis Bicara Eksekutif bersama Menteri Besar dengan pegawai dan anggota penjawat awam kerajaan negeri dan Pusat, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Kira-kira 2,500 orang hadir pada majlis itu termasuk Setiausaha Kerajaan, Datuk Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail; Ahli Exco kerajaan; ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.

Program itu bagi memperjelaskan mengenai perancangan, perkembangan, pencapaian yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam pelbagai bidang di samping aspirasi pemimpin.

Menteri Besar berkata, sebagai pegawai, mereka lebih berkemampuan menyelesaikan masalah kerana ada sistem memiliki kemampuan tersebut.

"Sebab itulah, umum menggelarnya sebagai jentera kerajaan yang mampu merubah keadaan dalam memperkasa pentadbiran atau mensejahterakan rakyat.

"Sebagai jentera pelaksana, pentadbiran kerajaan negeri mesti kemas, kukuh dan tegas, tetapi ketegasan kita janganlah sampai menghakis kemesraan kepada rakyat kerana ramai yang bergantung kepada perkhidmatan yang diberikan," katanya.

Ahmad berkata, sekiranya tidak boleh membantu rakyat, sekurang-kurangnya boleh memberi petunjuk kepada mereka untuk pergi ke jabatan berkaitan dengan urusan yang mereka perlukan.

"Itulah sebabnya, penjawat awam tidak kira kedudukan dalam hiraki pentadbiran, perlu tahu skop tanggungjawab jabatan lain supaya mereka dapat membantu rakyat terutama masyarakat luar bandar yang kabur mengenai fungsi sesuatu jabatan dan pendekatan mesra pelanggan perlu wujud serta menjadi amalan setiap penjawat awam ," katanya.

Ahmad berkata, nilai murni itu bukan rekaan atau sekadar slogan tetapi adalah nilai universal yang diterima pakai, bukannya diolah dengan logik semata-mata tetapi disadur dengan nilai-nilai Islamik.

"Kita boleh menerima nilai-nilai ini kerana ia tidak bercanggah dengan Islam, tetapi menerima tanpa menghalusi dan menjadikan satu budaya, usaha ini menemui kegagalan," katanya.

Katanya, usaha kerajaan untuk membawa kesejahteraan kepada rakyat dan negeri ini sudah melalui beberapa fasa pembangunan yang terancang sejak 35 tahun lalu dan setiap fasa dilalui dengan cabaran tersendiri untuk mencorak kehidupan rakyat ke arah yang lebih selesa dan terjamin.

Beliau bersyukur kerana dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, perkhidmatan awam Terengganu mendapat pengiktirafan demi pengiktirafan dan berharap kecemerlangan ini berterusan.

Katanya, apa saja boleh dicapai dengan amanah, komitmen dan disiplin yang tinggi dan ketua-ketua jabatan perlu pandai menilai antara kakitangan di bawah jagaan mereka yang benar-benar mempamerkan kebolehan multi-tasking dan bekerja bukan untuk memenuhi waktu yang ditetapkan dari lapan hingga lima petang sahaja.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan