Utusan Online - Timur |
| Posted: Burung baji ubah kehidupanOleh FAUZI MOHD
KUALA TERENGGANU 20 Jan. – Pada usia 15 tahun, ketika rakan-rakan sebaya berulang-alik ke sekolah bersama keriaan alam remaja, Mohd. Nasir Yang kerap berada di tengah laut. Dia menempuh alam kedewasaan lebih awal dengan mula memikul tanggungjawab bersama mencari rezeki untuk keluarga dengan menemani ayahnya ke laut. Selama 30 tahun, dia mewarisi kerja ayahnya, mencari rezeki yang ternyata sekadar cukup untuk menampung keperluan harian. Bapa kepada dua orang anak yang menetap di Kampung Seberang Bukit Tumbuh bersama ibu bapa, isteri dan anaknya mula memikirkan apabila keluarga makin membesar, dia perlu berbuat sesuatu. Menyedari pendapatan tidak menentu, dengan purata hampir RM500 sebulan, dia sedar tidak lagi boleh untuk terus begitu dan bertekad untuk mengubah kehidupan keluarga agar tidak terus berada dalam lingkaran kemiskinan. Hobinya memikat burung tekukur di kawasan paya dan belukar sejak remaja, memberi ilham kepadanya untuk menjadi penternak burung, apatah lagi dia sedar nilai harga burung peliharaan adalah tinggi di pasaran. Mohd. Nasir, 45, menceritakan, burung-burung yang dijinakkan bagi mengisi waktu lapang dahulu ada yang dijual dengan harga RM500 hingga RM700 seekor. Kegemaran itu mendorongnya kerap ke pertandingan burung tekukur termasuk di Kelantan dan Johor sekali gus menjalinkan hubungan dengan mereka yang berkongsi minat yang sama. Justeru, Mohd. Nasir memohon bantuan untuk memulakan usaha itu daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) memandangkan agensi itu menguruskan program e-Kasih untuk golongan miskin sepertinya. "Pada mulanya pihak MARDI agak keliru dengan permohonan saya kerana apa yang ingin saya lakukan berbeza dengan pemohon yang lain yang kebanyakannya menternak ikan, ayam, itik atau kambing. ''Tetapi saya memilih untuk menternak burung peliharaan dan akhirnya permohonan itu diluluskan. Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak berkenaan," ujarnya. Sebelum membuat keputusan untuk menternak burung baji atau Love Bird, dia telah menemui beberapa rakan di daerah ini, Dungun dan Kelantan untuk bertanyakan kaedah penternakan itu. "Setelah berulang-alik untuk mempelajari sedikit demi sedikit, saya dapati sebenarnya menternak burung baji lebih mudah berbanding burung-burung lain termasuk burung tekukur yang pernah saya bela. "Kata para penternak itu, pasaran burung berkenaan cukup tinggi hingga tidak mampu menampung permintaan. Belum lagi pandai terbang, sudah ada orang yang tempah," katanya. Dengan penyaluran bantuan pihak MARDI Terengganu sebanyak RM7,800, Mohd. Nasir mula membina 100 sangkar segi empat sama bersaiz dua meter bagi menempatkan 100 pasang burung yang mempunyai lebih 50 warna itu. Katanya, burung comel itu mengambil masa sehingga 18 hari untuk bertelur, mengeram sehingga menetaskan anak baru yang boleh mencapai sehingga tujuh ekor. "Setelah kira-kira sebulan berada bersama ibunya, anak burung itu akan diasingkan dalam sangkar berlainan untuk 'dilatih' berdikari sebelum dijual kepada pelanggan. ''Burung baji ini bertelur sekitar lima kali setahun dan setiap kali mencapai lima biji," katanya yang turut dibantu oleh isterinya, Salasawati Razali, 40. Jelasnya, burung itu dijual mengikut gred tertentu bergantung kepada saiz, warna bulu dan mata berharga antara RM50 hingga RM450 sepasang. "Memandangkan kaedah penjagaan yang mudah serta kos makanan dan minuman hanya kira-kira RM5 sebulan bagi setiap pasang menjadikan burung ini makin digemari. "Ditambah pula keinginan masyarakat kita yang berasakan laman mereka tidak lengkap jika tiada kicauan burung terutama di kawasan bandar atau taman perumahan," ujarnya. Mohd. Nasir berkata, bahan seperti makanan, vitamin dan ubat hanya boleh diperoleh di sekitar daerah ini dan ada ketikanya kala dia turut ke Kota Bharu untuk mendapatkan bahan itu kerana harganya lebih murah. "Walaupun tidak sampai setengah tahun memulakan bidang ternakan burung peliharaan ini, saya telah mampu meraih pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan," ujarnya. Bagi mengembangkan perniagaannya, dia merancang menambah 100 pasang lagi burung baji dengan membina sangkar baru berdekatan sangkar asal pada pertengahan tahun ini. "Dengan pertambahan itu, ia dijangka mampu mencapai sehingga 5,000 ekor burung baji dengan hasil jualan mungkin dapat mencecah sehingga RM100,000 setahun," ujarnya. Menurut Mohd. Nasir, dia lebih bersemangat berdasarkan kepada beberapa kejayaan rakan-rakan yang menceburi bidang ternakan burung peliharaan itu sehingga mampu mencapai pendapatan antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan. | ||
| Posted: Peniaga dakwa kena tipuOleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA BHARU 20 Jan. – Janji lot kedai yang diberikan umpama bulan dan bintang, tetapi apa yang diberi adalah lain bagaikan saiz tandas dan laluan ke lubang kubur! Demikian antara aduan yang diluahkan oleh 415 peniaga Pasar Lambak Arked Uda dan Pasar Besar Arked MPKB dekat sini dalam pertemuan dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini hari ini. Menurut Mustapa, dalam pertemuan itu, ahli jawatankuasa dua persatuan yang mewakili peniaga-peniaga berkenaan meluahkan kekesalan mereka apabila janji lot kedai yang diberikan kerajaan Pas Kelantan dua hari sebelum Pilihan Raya Umum 2008 tidak ditunaikan. "Masalah ini amat serius. Pada peringkat awal mereka dijanjikan dengan keluasan 3.04x3.65 meter persegi tetapi yang ada hari ini adalah 1.82x2.4 meter persegi, tertipulah peniaga. "Tempat yang dijanjikan ini (lot kedai), ada yang menganggap saiz tandas, laluan ke lubang kubur. Saiznya cukup kecil dan harga pula di luar kemampuan," katanya selepas pertemuan dengan persatuan peniaga terbabit di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi BN Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh; Pengerusi Persatuan Pasar Lambak Arked Uda (PPLAU), Borhan Mohd. Nor dan Pengerusi Persatuan Pasar Besar Arked MPKB, Ab. Salim Ahmad serta beberapa ahli kedua-dua persatuan itu. Dalam pertemuan selama hampir sejam itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memberi peluang kepada peniaga-peniaga tersebut meluahkan masalah yang dihadapi dan cuba mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin. Pada 12 Januari lalu, para peniaga di kedua-dua pasar tersebut meluahkan rasa kecewa terhadap Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) kerana didakwa tidak mengotakan janji untuk memberikan ruang perniagaan yang sepatutnya kepada mereka. Mereka mendakwa, lot-lot kedai yang diberikan terlalu sempit malah beberapa prasarana yang dijanjikan sebelum ini seperti surau dan tempat meletak kenderaan yang mencukupi masih belum disiapkan. Selain itu, para peniaga berkenaan dikatakan turut kesal dengan tawaran harga pemilikan antara RM80,000 hingga RM90,000 setiap lot dengan kadar harga setiap kaki persegi adalah sekitar RM1,600 hingga RM1,700. Utusan Malaysia sebelum ini difahamkan, kerajaan Pas Kelantan berjanji untuk menyediakan prasarana perniagaan terbaik kepada kumpulan peniaga itu dengan harga 'mampu milik' pada satu pertemuan pada 6 Mac 2008. Perkara itu dikatakan turut termaktub dalam manifesto pilihan raya Pas ketika itu iaitu 'Madinatur Raudhah dan Bazar Tok Guru'. Janji tersebut dikatakan dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disampaikan oleh seorang pegawai tinggi PMBK ketika itu kepada peniaga terbabit. Dalam pertemuan itu, satu memorandum dikatakan telah ditandatangani antara wakil peniaga dan PMBK antara lain menyatakan kerajaan negeri akan memajukan ekonomi negeri dengan lebih efektif termasuk menyediakan satu kawasan pusat perniagaan dengan pelbagai jenis kemudahan. Kontroversi membabitkan Bazar Tok Guru bukan sahaja melibatkan peniaganya, malah pada pada 15 Januari 2010, pembinaan bangunan itu turut mencetuskan polemik apabila kerajaan Pas Kelantan terpaksa menanggung kerugian dikatakan kira-kira RM50 juta. Ia diakui sendiri oleh Nik Abdul Aziz apabila pihaknya terpaksa menebus balik bangunan daripada pemaju swasta. Projek itu sepatutnya dibangunkan oleh PMBK yang kemudiannya menyerahkan kepada sebuah syarikat. Sementara itu Mustapa berkata, meskipun penyelesaian sepenuhnya terletak di tangan kerajaan Pas Kelantan, namun beliau akan berusaha menyampaikan kepada UDA Holdings Berhad yang turut terlibat membangunkan tapak itu mengenai hasrat peniaga terbabit yang mahu perpindahan mereka ke Bazar Tok Guru ditangguhkan selama setahun. "Mereka (peniaga) cadangkan tidak dipindahkan selagi tidak diberi jaminan bahawa janji sebelum pilihan raya umum lalu ditunaikan oleh Pas Kelantan. "UDA Holdings ini (di bawah) Kerajaan Pusat. Saya akan berhubung dengan mereka bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini supaya rancangan membangunkan tapak ditangguhkan sementara," jelas Mustapa. | ||
| Setem wajah DJ Terengganu FM dilancar Posted: Setem wajah DJ Terengganu FM dilancar![]() Dr. Nawiyah Che Lah (empat dari kanan) dan Khairul Nizam Che Nik (lima dari kiri) bersama DJ Radio Malaysia Terengganu FM menunjukkan setem berwajahkan penyampai radio itu pada majlis pelancaran Setemku DJ Radio Malaysia Terengganu FM di Auditorium Radio Malaysia Kuala Terengganu, kelmarin. KUALA TERENGGANU 20 Jan. – Para pendengar setia stesen radio tempatan, Terengganu FM (TFM) kini berpeluang mengumpul koleksi setem memaparkan wajah juruhebah kesukaan mereka apabila stesen itu melancarkan 'Stamp DJ' di sini semalam. Ia menampilkan sembilan wajah penyiar stesen itu iaitu Nohaniza Mat Yeh (Jaja), Zulkifli Yusof (Ejo), Rohani Hussein (Kak Chik), Rizallimi Mohamed (Rizal), Azrul Faizal Jusoh (Azrul), Mohd. Sidek Abdullah (Mos), Suhaila Mat Daud (Su), Farahida Fauzi (Farah) dan Shafiee Sulong (Ayah Ngah). Pengarah Penyiaran Terengganu, Dr. Nawiyah Che Lah berkata, 'Stamp DJ' merupakan inisiatif pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usaha memperkenalkan juruhebah dan mempromosikan program kendalian mereka. Beliau menyifatkan langkah dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad itu menjadi salah satu landasan kepada stesen radio berkenaan agar lebih menyerlah di kalangan pendengar selain menampilkan segmen baru yang lebih segar. ''Selain itu, kita berusaha mempopularkan lagi segmen sedia ada seperti Selamat Pagi Terengganu dan Guana Gamok Orang Kite (GGOK) yang mendapat rating tertinggi. "Pelbagai cara kita boleh mempopularkan stesen radio dan kita turut memilih kaedah ini kerana ia mudah dan mendapat promosi yang lebih luas kerana setem ini boleh digunakan sama ada di dalam dan luar negara. "Apabila setem tertera gambar mereka (juruhebah) ditampal di sampul surat sudah pasti orang akan bertanya siapa mereka ini dan bagaimana mahu mendengar segmen kendalian mereka yang sekali gus dapat mempromosikan stesen radio ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas melancarkan 10,000 keping setem bernilai 60 sen pada Majlis Pelancaran 'Stamp DJ' yang diadakan di Auditorium RTM, Bukit Pak Apil di sini semalam. Turut hadir Ketua Pos Niaga negeri, Khairul Nizan Che Nik. Dalam pada itu, Nawiyah memaklumkan setem masih tidak dijual kepada orang awam dan satu kaedah pemasaran menarik akan dilakukan kelak. "Buat masa ini kita tidak bercadang menjual setem-setem ini kepada orang ramai kerana ia akan dijadikan hadiah eksklusif kepada pendengar-pendengar setia TFM. "Jadi jika mereka mahu mengumpul setem ini mereka perlu mendengar TFM setiap hari dan menyertai program-program kendalian juruhebah berkenaan," jelasnya. Sementara itu Khairul Nizan berkata, pihaknya amat mengalu-alukan orang ramai serta syarikat korporat yang berminat untuk mengabadikan wajah dan logo syarikat mereka secara eksklusif pada setem. Jelasnya, sejak ia dilancarkan pada 2007, Pos Malaysia negeri menerima sambutan yang amat menggalakkan. "Melalui cara ini pengguna hanya perlu menunggu urusan tempahan selama 15 minit dan selepas itu setem ini boleh digunakan seperti biasa," jelasnya. Bayaran untuk mendapatkan setem itu ialah RM19 (20 keping) bagi setem berharga 30 sen, RM28 (20 keping) bagi setem berharga 50 sen dan RM19 (10 keping) bagi setem berharga 60 sen. Bagi mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan mengunjungi Pejabat Pos Besar negeri atau menghubungi talian 1-300-300-300. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |



Tiada ulasan:
Catat Ulasan