Jumaat, 21 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Semua kenderaan diwajib pasang beg udara mulai tahun depan

Posted: 21 Jan 2011 12:52 AM PST

RANTAU PANJANG, 21 Jan — Mulai tahun depan, semua kenderaan kecuali kenderaan pacuan empat roda diwajibkan memasang beg udara, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Beliau berkata langkah itu bagi mengelak risiko lebih tinggi termasuk kematian terhadap pemandu atau penumpang yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Katanya, kerajaan memandang serius kadar kemalangan jalan raya sekarang terutama yang membabitkan kemalangan maut akibat tiada peralatan keselamatan yang cukup pada kenderaan awam.

"Mulai tahun depan, kerajaan akan mewajibkan semua kenderaan dipasang beg udara bagi keselamatan pemandu dan penumpang kenderaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina 2011, di sini, hari ini.

Menurutnya kementerian berkenaan akan memastikan kenderaan yang diperbuat di negara ini termasuk kereta nasional memasang alat keselamatan tersebut sebelum ia dikuatkuasakan sepenuhnya mulai tahun depan.

Kong (gambar) berkata kenderaan import mungkin tidak menghadapi masalah kerana kebanyakannya telah dipasang alat keselamatan berkenaan sebelum dijual di negara ini.

Beliau berharap dengan peraturan-peraturan baru yang diperkenalkan itu kerajaan dapat mengurangkan kadar kemalangan maut terutama yang membabitkan penumpang bahagian depan kenderaan.

Menurutnya hasil kajian Institut Penyelidikan dan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati kebanyakan kes kemalangan maut adalah membabitkan penumpang bahagian depan kenderaan yang tidak menggunakan alat keselamatan, termasuk beg udara dan tali pinggang keledar. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Badan perhubungan UMNO Terengganu dirombak

Posted: 21 Jan 2011 12:16 AM PST

BESUT, 21 Jan — Badan Perhubungan Umno Terengganu akan mengalami rombakan dalam usaha untuk mendapatkan kembali sokongan padu ahli selain memantapkan kembali Umno negeri, kata Pengerusi Badan UMNO Perhubungan Negeri Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata senarai rombakan itu akan diumumkan dalam mesyuarat pertama Badan Perhubungan Umno Negeri tahun ini yang akan diadakan pada 25 Jan di Kuala Terengganu.

"Yang pastinya senarai jawatankuasa baru ini akan memperlihatkan kombinasi muka lama dan baru," katanya kepada pemberita selepas Majlis Mesra Veteran UMNO Bahagian Besut Bersama Pemimpin yang diadakan di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh di sini hari ini.

Ahmad (gambar), bagaimanapun, enggan menamakan antara pemimpin Umno negeri yang terlibat dalam rombakan itu.

Katanya surat jemputan kepada mereka yang tersenarai menduduki jawatankuasa baru itu dan Ketua Umno Bahagian akan dihantar dalam jangka masa terdekat.

Ahmad berkata seorang pegawai khas akan dilantik di setiap bahagian dalam usaha untuk memperkemaskan lagi anggota veteran UMNO di Terengganu.

Pada masa ini, jumlah ahli veteran UMNO yang masih bergerak aktif di Terengganu hampir mencecah 50,000 yang merupakan sembilan peratus jumlah pengundi di Terengganu sekarang, katanya. — Bernama

 

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan