Utusan Online - Kota |
| Posted: 500 penduduk USJ 16 bantahOleh NUR NAZLINA NADZARI
SUBANG JAYA 20 Jan. - Kira-kira 300 penduduk Taman USJ 16, di sini hari ini mengadakan tunjuk perasaan membantah cadangan membina sebuah bangunan komersial lima tingkat berhampiran sebuah padang permainan dalam kawasan perumahan itu. Bangunan itu yang dicadang didirikan di atas satu kawasan yang selama ini merupakan sebuah padang bersebelahan taman permainan kanak-kanak, apabila siap kelak, merupakan sebuah blok terdiri daripada empat tingkat ruang pejabat dan satu tingkat tempat letak kereta. Bagaimanapun, penduduk terdiri daripada berbilang kaum hari ini bersatu untuk sama-sama mengadakan tunjuk perasaan secara aman di kawasan tanah lapang tersebut yang selama ini telah menjadi tempat riadah untuk penduduk di situ. Bantahan itu diadakan untuk menunjukkan rasa kecewa mereka atas tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang telah mewartakan projek itu tanpa berbincang atau pun mendapatkan pandangan daripada penduduk. Ketua Pemuda MCA Selangor, Dr. Kow Cheong Wei berkata, beliau telah mendapat e-mel daripada penduduk yang menyatakan kekesalan mereka terhadap perkara itu dan meminta beliau untuk hadir memberi sokongan kepada tindakan bantahan tersebut. Beliau berkata, semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara yang turut meliputi kawasan tersebut, projek pembangunan di tanah berkeluasan 0.16 hektar tersebut telah ditolak. "Saya masih ingat, pada masa itu MPSJ telah membuat keputusan bahawa jika ada bantahan atau permohonan baru untuk membangunkan tanah itu maka mereka haruslah berbincang dengan MPSJ dan juga penduduk terlebih dahulu. "Masa itu kita sudah pun ketengahkan beberapa persatuan penduduk yang boleh dihubungi jika ada projek baru. Namun penduduk tidak menerima sebarang panggilan daripada MPSJ dan itulah yang membuat mereka terkejut apabila ada permohonan baru," katanya, ketika ditemui semasa menghadiri bantahan tersebut. Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk Taman USJ 16, Bob Goh Ah Leong, 51, berkata, pembinaan bangunan itu akan mengganggu ketenteraman dan keselamatan penduduk kawasan itu. Katanya, jika bangunan itu dibina, kawasan perumahan mereka boleh dimasuki oleh orang luar kerana mereka akan menggunakan pintu masuk yang sama. "Tambahan pula ia akan didirikan bersebelahan padang permainan kanak-kanak. Sudah tentulah ini akan mendatangkan bahaya terhadap keselamatan penduduk di sini terutamanya kanak-kanak kerana kereta akan keluar masuk di sini. "Kawasan perumahan sepatutnya menjadi tempat yang selamat untuk penduduk, bukannya terdedah kepada orang luar yang boleh masuk tanpa dikawal oleh pengawal keselamatan," tegasnya. Dalam pada itu, seorang penduduk, Azizah Wahid, 50, berkata, dia amat tidak setuju dengan pembinaan bangunan pejabat tersebut yang akan menambahkan masalah kesesakan trafik di kawasan itu. Menurutnya, kawasan di situ sudah pun padat dan sesak dan jika dibina lagi bangunan di kawasan tersebut pastinya akan menambahkan lagi jumlah kenderaan yang keluar masuk ke perumahan itu. "Saya minta supaya pemaju projek ini memikirkan semula niat mereka. Kedai yang ada dekat sini sudah cukup dan kami tidak perlukan lagi (bangunan baru)," ujarnya. K. Srithren, 49, turut kecewa apabila kawasan yang sepatutnya menjadi tempat permainan dan riadah untuk penduduk itu ingin dibangunkan. "Dulu kawasan lapang ini merupakan padang bola dan terdapat tiang gol di sini, tapi sekarang tiang gol itu telah dialihkan dan padang dibahagikan kepada tiga bahagian serta di pagar. "Ini bukanlah kali pertama penduduk di sini membuat bantahan malah sudah berkali-kali kerana kami hanya mahukan kawasan perumahan yang selamat dan aman," katanya. | ||
| MPSJ akan bincang dengan pemaju Posted: MPSJ akan bincang dengan pemajuOleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB SUBANG JAYA 20 Jan. - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membuat keputusan untuk menangguhkan kelulusan cadangan projek membina bangunan komersial lima tingkat berhampiran Taman USJ 16 di sini. Keputusan itu, dibuat setelah mendapat bantahan penduduk, dimaklumkan oleh Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md. Ikhsan (gambar) selepas mengadakan pertemuan dengan mereka hari ini. Adnan juga berkata, pihaknya akan memanggil pemaju untuk mengadakan perbincangan pada minggu hadapan mengenai cadangan membina bangunan itu. Yang Dipertuanya, Datuk Adnan Md. Ikhsan berkata, pihaknya juga akan memanggil penduduk untuk berunding sama dalam pertemuan itu nanti. Katanya, dalam perjumpaan tersebut nanti, satu perbincangan secara menyeluruh akan diadakan bagi mencari satu jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan. Ujarnya, pihaknya berharap pertemuan itu nanti akan dapat menghasilkan situasi menguntungkan kepada kedua-dua belah pihak. "Kami harap pemaju turut memahami kehendak penduduk sekitar yang membantah cadangan membina bangunan pejabat itu yang dilihat mampu menyusahkan mereka kelak. "Kami mahu rundingan yang akan diadakan ini berlaku secara elok dan mengharapkan dapat menghasilkan situasi menang-menang," katanya kepada pemberita. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan sesi bertemu penduduk di Taman USJ 16 mengenai bantahan mereka terhadap pembinaan sebuah bangunan komersial merangkumi ruang pejabat empat tingkat dan satu tingkat tempat letak kereta berhampiran perumahan tersebut. Pada pertemuan itu, penduduk turut mengambil peluang meluahkan kepada Adnan rasa tidak puas hati mereka mengenai isu itu. Tambah Adnan, buat sementara ini, pihaknya menangguhkan terlebih dahulu kelulusan membina bangunan pejabat tersebut sehingga satu keputusan dicapai pada perbincangan minggu depan. Katanya, pihaknya tidak boleh membatalkan kelulusan sesuka hati sebelum diadakan sebarang perbincangan dengan pihak pemaju terlebih dahulu. | ||
| Posted: MBSA arah henti operasiOleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN SHAH ALAM 20 Jan. - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini mengeluarkan notis kepada sebuah pusat penyimpanan barangan lusuh di Taman Seri Muda, Seksyen 25 di sini agar menghentikan operasi yang telah dijalankan secara haram sejak setahun lalu. Pegawai Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, siasatan mendapati pusat barangan lusuh itu tidak mendapat sebarang kebenaran yang sah daripada mana-mana pihak berkuasa. Beliau berkata, syarikat yang menjalankan kegiatan itu didapati melanggar peraturan di bawah Akta Jalan, Parit dan bangunan serta Undang-Undang Kecil Perlesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian MBSA 2007. "Kami memberi tempoh masa tertentu kepada syarikat itu supaya menghentikan operasinya di kawasan itu dan jika mereka didapati gagal mengikut arahan, pihak MBSA akan merobohkan premis bangunan mereka di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Pada Rabu lalu Utusan Malaysia menyiarkan rintihan penduduk Taman Seri Muda yang terpaksa menahan bau busuk sejak sebuah pusat penyimpanan barangan lusuh haram beroperasi di kawasan perumahan mereka setahun lalu. Penduduk yang tidak tahan lagi dengan keadaan tersebut telah membuat aduan kepada Biro Pengaduan Awam (BPA) memandangkan kegiatan pengumpulan barangan lusuh yang beroperasi selama 24 jam itu juga menyebabkan pencemaran bunyi dan pengaliran air longkang yang berbau. Luahan penduduk itu disuarakan penduduk kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah yang turun padang untuk melihat sendiri kawasan berkenaan kelmarin. Dalam lawatan itu, Murugiah mengarahkan MBSA supaya menyelesaikan masalah penduduk itu dalam masa lima hari waktu bekerja. Shahrin berkata, pihaknya sedang berusaha memastikan agar ia dapat diselesaikan mengikut tempoh waktu yang dijanjikan. Pada masa yang sama beliau menafikan dakwaan mengaitkan pihak MBSA dengan lori sampah yang dilihat beberapa kali memasuki premis barangan lusuh tersebut. "Lori sampah berkenaan adalah milik Alam Flora dan kami tidak ada kena-mengena dengan segala operasi yang dibuat oleh pihak tersebut," katanya. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan