Rabu, 19 Januari 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Setahun hidu bau busuk

Posted:

Setahun hidu bau busuk

Setahun hidu bau busuk

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
kota@utusan.com.my


Sebuah lori sampah melalui kawasan perumahan Taman Seri Muda, Seksyen 25, Shah Alam dipercayai untuk ke tempat kitar semula yang menimbulkan rasa kurang senang penduduk.


SHAH ALAM 18 Jan. – Penduduk Taman Seri Muda di Seksyen 25 di sini terpaksa menahan bau busuk setiap hari sejak sebuah pusat penyimpanan barangan lusuh haram beroperasi di kawasan perumahan mereka setahun yang lalu.

Menurut penduduk, kegiatan pengumpulan barangan lusuh itu, yang beroperasi 24 jam, juga menyebabkan pencemaran bunyi dan pengaliran air berbau busuk di kawasan tersebut.

Penduduk mendakwa mereka sudah membuat banyak aduan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan.

Malah apa yang lebih menghairankan kegiatan mengumpulkan barangan lusuh di situ dilakukan oleh pekerja Alam Flora apabila lori-lori sampah daripada syarikat kontraktor tersebut kerap memasuki setor tersebut.

Perkara itu terbukti apabila sebuah lori Alam Flora dilihat cuba masuk ke setor berkenaan ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah melawat kawasan itu bersama beberapa penduduk setempat.

Sebaik menyedari kehadiran sekumpulan wartawan dan beberapa agensi kerajaan di kawasan itu, lori tersebut tiba-tiba menukar haluannya lalu meninggalkan kawasan perumahan tersebut dalam keadaan tergesa-gesa.

Tinjauan mendapati pusat penyimpanan barangan lusuh itu mengeluarkan bau busuk selain turut mengalirkan kotoran hingga mencemarkan keseluruhan longkang di kawasan itu.

Wakil penduduk, Loo Kia Fatt berkata, mereka hairan bagaimana setor penyimpanan barang terpakai dibenarkan beroperasi terlalu hampir dengan kawasan perumahan.

"Sejak beroperasi kira-kira setahun lalu, ia menyebabkan penduduk di sini hidup dalam keadaan tidak tenteram kerana terpaksa menahan bau busuk setiap hari.

"Bukan itu saja, lori sampah itu turut mengeluarkan bunyi bising setiap kali memasuki kawasan perumahan ini," katanya.

Tambahnya, setor itu beroperasi 24 jam setiap hari menyebabkan lori sampah memasuki kawasan perumahan mereka tanpa mengira waktu.

"Kadang-kadang mereka membunyikan hon yang kuat pada waktu malam ketika penduduk di sini sedang nyenyak tidur. Ini menyebabkan kami berasa kurang senang dengan mereka," jelasnya.

Sementara itu, Murugiah meminta MBSA menyelesaikan masalah penduduk itu dalam masa lima hari bekerja.

"Masalah ini telah dibawa kepada Biro Pengaduan Awam dan arahan dikeluarkan kepada MBSA supaya menyelesaikan masalah ini," katanya selepas meninjau ke kawasan itu semalam.

Beliau turut mengarahkan MBSA supaya membersihkan longkang-longkang di kawasan itu yang dipenuhi banyak sampah.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kisah sedih kehilangan anak akibat denggi

Posted:

Kisah sedih kehilangan anak akibat denggi

Kisah sedih kehilangan anak akibat denggi


Lau Hoi Keong (kiri) meninjau longkang dan kawasan sekitar Taman Sejahtera, Kepong, Kuala Lumpur sempena lawatannya ke rumah keluarga kematian anak akibat denggi, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 18 Jan. - Pengalaman seorang wanita yang kehilangan anak berusia lima tahun pada 25 Disember lalu akibat demam denggi diharap akan menjadi iktibar kepada masyarakat terutama penduduk Taman Sejahtera di Kepong di sini.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Gheeta, 30, mengakui masih merasai kesedihan kehilangan anak bongsunya itu tetapi tidak mahu menyalahkan sesiapa atas apa yang menimpa anaknya itu.

Sebaliknya, dia tampil untuk berkongsi pengalaman itu dengan harapan masyarakat akan menyedari kepentingan menjaga alam sekitar supaya bebas daripada nyamuk aedes.

"Apa yang saya harap terutama daripada jiran tetangga ialah supaya lebih prihatin agar kejadian sama tidak berlaku kepada ahli keluarga mereka," katanya pada sidang akhbar yang diatur bersama Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Kepong, Lau Hoi Keong di sini baru-baru ini.

Menceritakan apa yang berlaku, Gheeta berkata, pada mulanya dia membawa anaknya itu, Krisya ke klinik swasta berhampiran selepas dia diserang demam, diikuti sakit telinga dan kerongkong.

Setelah dimaklumkan keadaan Krisya, doktor memberi ubat dan mereka sekeluarga kemudiannya berlepas ke India.

Namun, sebaik sampai ke negara berkenaan, keadaan kesihatan anaknya dikatakan semakin teruk sehinggalah membawanya kepada kematiannya dua hari selepas itu.

Sementara itu, Hoi Keong berkata, sikap kurang memberi kerjasama dan mengabaikan penjagaan kebersihan di sekitar kawasan tempat tinggal menjadi punca utama demam denggi masih gagal dibanteras.

Katanya, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Kepong merupakan kawasan hitam yang dikenal pasti paling serius ancaman denggi terutama di kawasan Jinjang Selatan dan sekitarnya.

Beliau berkata, walaupun pelbagai usaha dan langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk mengekangnya, masih terdapat ruang yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat supaya kes itu tidak melonjak.

"Saya percaya perkara ini hanya boleh ditangani jika masyarakat bersama-sama mengambil berat dengan membersihkan kawasan persekitaran terutama memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kawasan kediaman masing-masing," ujarnya.

Mengulas kejadian yang menimpa keluarga Gheeta, beliau tidak menolak masalah longkang tersumbat dan rumput yang tidak dipotong merupakan antara penyebab kepada masalah pembiakan nyamuk berlaku di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, bagi mengelakkan kejadian sama berulang, pihaknya akan meminta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora memantau dengan lebih rapi dan mengadakan aktiviti penyemburan dan gotong-royong.

"Saya berharap apa yang menimpa keluarga ini dapat dijadikan iktibar kepada orang ramai khusus penduduk di kawasan Kepong.

"Ibu bapa juga mesti lebih peka dengan kesihatan anak mereka dan segera ke klinik jika anak mengalami demam atau tanda-tanda lain yang disyaki denggi," ujarnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Beberapa jalan di KL tutup sempena Thaipusam

Posted:

Beberapa jalan di KL tutup sempena Thaipusam

Beberapa jalan di KL tutup sempena Thaipusam

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Orang ramai yang ingin masuk ke ibu negara pada perayaan Thaipusam Khamis ini dinasihatkan mengelak daripada melalui beberapa jalan yang akan ditutup secara berperingkat mulai esok sehingga Khamis.

Pegawai Gerakan Polis Trafik Kuala Lumpur, Cif Inspektor Mohd. Irwan Abd. Rahim berkata, polis akan menutup beberapa jalan esok, bagi membolehkan perarakan kereta berhala dari Kuil Sri Maha Mariamman di sini ke Kuil Subramaniar, Batu Caves dekat sini sempena perayaan itu.

Beliau berkata, penutupan jalan yang dilakukan secara berperingkat itu sekali lagi dilakukan pada Khamis ini semasa kereta berhala tersebut dibawa balik dari Kuil Subramaniar ke Kuil Sri Maha Mariamman.

"Perarakan itu akan bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S Lee pada pukul 12.10 tengah malam ini.

"Ia dijangka tiba di Kuil Sri Subramaniar pada pukul 2 petang esok," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Irwan berkata, dalam tempoh tersebut, polis akan menutup jalan-jalan yang dilalui oleh kumpulan perarakan ini iaitu Jalan Tun H.S Lee, Jalan Sultan, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi.

Turut ditutup, kata beliau, ialah jalan menghala ke pusat beli-belah Sogo, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tun Razak (pusingan U di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Tun Razak), Jalan Ipoh (Jalan Salah), Jalan Konvil Hilir, Lorong Konvil Hulu, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves.

Katanya, semasa perarakan pulang ke Kuil Sri Mariamman pada Khamis ini, polis sekali lagi akan menutup beberapa jalan secara berperingkat mulai pukul 2 petang hingga 3 pagi keesokan harinya.

"Laluan ditutup bermula dari Kuil Subramaniar, Jalan Ipoh Batu 5, Jalan Ipoh, Jalan Perhentian, Lorong Konvil Hulu, Jalan Konvil Hilir, Jalan Tun Razak dan Jalan Ipoh.

"Jalan seterusnya yang ditutup ialah Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Leboh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Sultan, Jalan Hang Kasturi, Jalan Hang Lekir dan Jalan Tun H.S Lee," katanya.

Mohd. Irwan berkata, jalan-jalan yang ditutup itu hanya dibuka semula kepada pengguna jalan raya setelah kumpulan perarakan melaluinya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan