Utusan Online - Dalam Negeri |
- Pindaan bukan kembali kuasa Sultan
- Bergadai nyawa kutip syiling RM75,000
- Pemuda derita selepas parah terkena renjatan elektrik
Pindaan bukan kembali kuasa Sultan Posted: Pindaan bukan kembali kuasa SultanOleh ABDUL YAZID ALIAS SHAH ALAM 18 Jan. – Rakyat negeri ini tidak seharusnya terpengaruh dengan cubaan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggunakan pindaan terhadap perlembagaan negeri untuk mengaitkannya dengan usaha mereka mengembalikan kuasa Sultan Selangor. Pakar undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin berkata, pindaan tersebut sebenarnya bukan bertujuan mengembalikan kuasa mutlak kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam melantik Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) sebagaimana yang termaktub pada 1948. Malah, katanya, pindaan tersebut bukan satu tindakan yang mendesak kerana ia hanya untuk mengembalikan kuasa kepada Menteri Besar bagi melantik SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang negeri. "Jika dilihat sebelum pindaan pada 1993, pelantikan ketiga-tiga jawatan berkenaan meskipun dibuat oleh Sultan Selangor, ia dilakukan atas nasihat Menteri Besar. "Kuasa yang ingin dikembalikan kepada sultan dalam pelantikan tiga jawatan menerusi pindaan itu sebenarnya terhad kerana baginda perlu nasihat Menteri Besar. Kalau begitu, apa bezanya dengan kedudukan sekarang," katanya. Sallehuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berkata demikian ketika berucap pada majlis taklimat Perkasa mengenai isu SUK di Kolej Kejuruteraan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini malam tadi. Taklimat itu turut membariskan ahli panel terdiri daripada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam yang juga Ahli MT Perkasa. Sallehuddin berkata, dengan undang-undang sedia ada, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diperuntukkan kuasa melantik SUK tetap menghormati kedudukan Sultan Selangor apabila mempersembahkan senarai calon SUK untuk diperkenankan oleh baginda. "Amalan SPA itu dilakukan sebagai menghormati peruntukan perlembagaan negeri yang meletakkan Sultan Selangor sebagai Ketua Eksekutif Negeri. "Jadi apa gunanya pindaan tersebut kerana amalan sekarang kedudukan baginda terus dihormati," katanya. Menurut beliau, sebenarnya, jika kerajaan negeri mempersoalkan pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK sekali pun mereka sepatutnya memberi peluang kepada beliau melaksanakan tugas. "Kalau lepas dua tiga bulan mereka tidak puas dengan khidmatnya, beritahulah SPA, kami tidak mahu orang ini lagi, tukarkan. Jadi tidak perlu pinda perlembagaan negeri," katanya. Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa pindaan itu jika diluluskan sekali pun, masalah akan timbul sekiranya didapati ada percanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan. "Jika berlaku satu perkara yang tidak konsisten dengan kerangka persekutuan, maka undang-undang itu tidak boleh dikuatkuasakan juga," katanya. | ||
Bergadai nyawa kutip syiling RM75,000 Posted: Bergadai nyawa kutip syiling RM75,000
REMBAU 18 Jan. - Jika sebelum ini, orang ramai hanya memperlahankan kenderaan untuk menyaksikan sesuatu kemalangan di lebuh raya, namun berbeza pada hari ini apabila mereka berpusu-pusu datang dengan lebih dekat. Manakan tidak, sebanyak RM75,000 wang syiling bertaburan di atas jalan apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD), Toyota Hilux yang membawa wang itu terbalik di Lebuh Raya Utara-Selatan. Malah pengguna lebuh raya sanggup menggadai nyawa untuk mengutip wang syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen yang bertaburan sepanjang 100 meter di atas lebuh raya dan kawasan rumput berhampiran. Kejadian berlaku di Kilometer 243, susur keluar Pedas, dekat sini, apabila kenderaan terbabit yang membawa sebuah peti besi berisi syiling itu dirempuh sebuah kereta BMW, pukul 3 petang. Rempuhan tersebut mengakibatkan kenderaan itu terbabas dan terbalik. Kereta BMW itu juga terbalik di dalam longkang berdekatan lebuh raya. Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu dan pihak polis sedang menjalankan siasatan kemalangan berkenaan. "Kejadian itu berlaku selepas kenderaan 4WD dilanggar dari belakang dan menyebabkan ia terbabas dan terbalik. "Akibatnya, wang yang dibawa bertaburan di atas lebuh raya. Pihak polis ketika ini memantau keadaan di lokasi kejadian dan akan menghalang orang ramai daripada terus mengutip wang syiling berkenaan," ujarnya di sini hari ini. Pemandu Toyota Hilux itu, Zairul Hisham Mansor, 28, yang ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian berkata, dia bersama seorang rakannya dalam perjalanan membawa wang syiling berkenaan dari Shah Alam, Selangor menuju ke Melaka. "Semasa kejadian itu, saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana wang syiling diletakkan di belakang kenderaan kami sudah tercampak di tengah lebuh raya. "Ia menyebabkan beribu-ribu wang berkenaan bertaburan di merata tempat," katanya yang masih tergamam dengan kemalangan itu dan menyebabkan rakannya cedera di tangan, manakala Zairul pula mengalami cedera ringan dan diberi rawatan kecemasan di lokasi kejadian. Menurutnya, wang syiling berkenaan mahu diedarkan di beberapa pasar raya di Melaka dan difahamkan jumlah berkenaan RM75,000. Difahamkan juga, dua lelaki yang menaiki kereta BMW berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor. Mereka yang berusia 30-an itu hanya mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ) di sini. Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati orang ramai 'hilang pertimbangan' sehingga ada yang sanggup mencangkung di tengah-tengah lebuh raya untuk mengutip wang syiling itu. Wang syiling berkenaan turut dikutip di kawasan rumput hingga menyebabkan kedua-dua laluan lebuh raya berkenaan menjadi sesak. | ||
Pemuda derita selepas parah terkena renjatan elektrik Posted: Pemuda derita selepas parah terkena renjatan elektrikKLANG 18 Jan. - Seorang pemuda yatim piatu menderita lebih dua bulan setelah hampir keseluruhan tubuhnya melecur teruk akibat terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika mengait buah kelapa sawit di sebuah kebun di Sungai Tengi Kanan Darat, Kuala Selangor, dekat sini. Dalam kejadian 26 November tahun lalu, Muhammad Hairuman Misnun, 22, tercampak kira-kira lima meter dan seluruh badannya berasap setelah galah daripada aluminium yang digunakannya 'terkait' wayar elektrik. Akibat insiden itu, dia cedera parah dengan tangan kanannya terbakar dan kemungkinan terpaksa dipotong manakala hampir seluruh bahagian dada dan belakangnya melecur hingga ke dua-dua kakinya. Kakak mangsa, Maryuni Misnun, 32, berkata, ketika kejadian adiknya itu ada bersama seorang lagi rakannya yang turut bekerja mengait buah kelapa sawit. "Adik saya selalu mengambil upah mengait kelapa sawit bersama-sama rakannya itu. Pada hari kejadian, sedang mereka bekerja, tiba-tiba rakan adik saya terdengar bunyi letupan yang kuat. "Dia begitu terkejut melihat adik saya tercampak lebih kurang lima meter dalam keadaan badan berasap dan pakaian terbakar. "Mungkin galah digunakannya terkena batang pelepah basah yang tersentuh dengan satu wayar elektrik tanpa penebat," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang di sini hari ini. Muhammad Hairuman yang merupakan anak kesembilan daripada 10 orang adik-beradik baru dipindah ke hospital tersebut semalam setelah terlantar di Hospital Tanjung Karang sejak ditimpa insiden malang itu. Penderitaan dialami mangsa mendapat perhatian Majlis Belia Malaysia (MBM) apabila rombongan pertubuhan itu yang diketuai Naib Presidennya, Irmohizam Ibrahim melawat mangsa di hospital tersebut. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Aduan Belia, Abdul Rizam Mohd. Akhir. Menurut Maryuni, sepanjang adiknya dirawat di Hospital Tanjung Karang, keluarganya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kira-kira RM15,000 bagi mengubati kecederaan dialami mangsa. "Semuanya kami keluarkan perbelanjaan sendiri kerana tidak sempat hendak mohon bantuan mana-mana pihak kerana sibuk menguruskan keluarga dan adik saya. "Tidak dapat hendak digambarkan betapa sayu hati saya melihat keadaan adik begini apatah lagi memikirkan masa depannya. "Saya sedih kerana dia yang berkelulusan elektrikal dari Kolej Intra Kuala Selangor mungkin tidak dapat menggunakan kemahirannya itu," katanya sebak. Dalam pada itu, Muhammad Hairuman kelihatan trauma dengan kejadian tersebut yang masih terbayang-bayang di matanya serta kesakitan dialaminya akibat terkena renjatan elektrik tersebut. Kunjungan wakil MBM itu sekurang-kurangnya dapat menceriakan keadaan seketika setelah selama ini mangsa merintih sendirian tanpa perhatian mana-mana pihak. Ahmad Rizam turut sempat memberikan kata-kata perangsang kepada pemuda itu supaya tidak putus asa untuk meneruskan kehidupan dan mendoakannya agar cepat sembuh daripada kecederaannya itu. "Kita akan cuba mengenal pasti pihak-pihak yang dapat memberi bantuan dan sumbangan kepada mangsa yang memerlukan belanja membiayai kos rawatan dari semasa ke semasa," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan