Rabu, 19 Januari 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Azab kena kejutan elektrik

Posted: 18 Jan 2011 10:00 AM PST

KLANG: "Hari ini (semalam) saya terpaksa buat keputusan sama ada nak benarkan doktor potong kedua-dua tangan adik saya atau tunggu alternatif daripada pakar lain untuk selamatkan organ adik saya," kata, Maryuni Miskon, 32, kakak kepada Muhd Hairuman Miskon, 22, ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam.

Maryuni berkata, sukar untuknya membuat keputusan dan doktor tiada pilihan lain kecuali memotong kedua-dua tangan adiknya kerana selnya sudah mati, manakala kedua-dua kakinya kemungkinan akan dipotong kerana sudah mula mereput dan kehitaman.


Mengimbas kejadian dua bulan lalu di Masjid Baroh, Tanjung Karang, dekat sini, Maryuni berkata, adiknya yang juga anak kesembilan daripada 10 beradik terkena renjatan elektrik ketika mengambil upah membersihkan ladang kelapa sawit bersama seorang rakannya.

Ketika kejadian sekitar jam 9 pagi, 26 November lalu katanya, adiknya cuba mengait pelepah kelapa sawit.


Katanya, malam sebelum kejadian, hujan lebat mengakibatkan pelepah daun kelapa sawit basah.


"Saya difahamkan Muhamad Hairuman yang mengait pelepah kelapa sawit terkena kabel elektrik bervoltan tinggi menggunakan galah besi.

"Tiba-tiba satu dentuman kuat menyebabkan adik saya terpelanting kira-kira lima meter dan badannya mengeluarkan asap," katanya.


Rakannya, Mohd Zikri Dri, 24, yang berada 100 meter tidak cedera cuba memberikan bantuan pernafasan tetapi gagal apabila Muhd Hairuman masih tidak sedarkan diri lalu memanggil ahli keluarga serta jiran sebelum melaporkan kepada polis.

Akibat kejadian itu, Muhamad Hairuman yang juga bekas pelajar Kolej Intra, Kuala Selangor dimasukkan ke Hospital Tanjung Karang (HTK) apabila hampir 35 peratus badannya terbakar dan melecur sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB).


Bagaimanapun kelmarin dia dipindahkan ke HTAR, di sini, bagi urusan memotong tangan.


Maryuni berkata, hatinya sebak melihat penderitaan ditanggung adiknya itu dan kerap mengadu kulitnya seperti mahu tercabut kerana panas dan apabila berpeluh dia mengerang kesakitan.


"Sejak hari pertama adik terkena renjatan elektrik, tiada satu pihak pun tampil memberi sumbangan.


"Malah, saya terpaksa mengeluarkan simpanan kira-kira RM15,000 untuk perbelanjaannya," katanya.


Maryuni berkata, Muhd Hairuman anak yatim piatu dan bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta.


Katanya, dia juga sudah membuat tinjauan di ladang kelapa sawit itu dan mendapati kawasan itu memang berbahaya berikutan tidak diselenggara manakala pagarnya sudah rosak.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Rakan Muda, Majlis Belia Malaysia (MBM), Abdul Rizam Mohd Akhir yang melawat mangsa berkata, sehingga kini pihaknya masih mencari agensi yang sudi tampil memberikan sumbangan kepada Muhd Hairuman kerana dia memerlukan perbelanjaan besar untuk meneruskan hidup sebagai orang kurang upaya (OKU).


Orang ramai ingin menghulur bantuan boleh menghubungi Ketua Aduan Belia, Majlis Belia Malaysia HM Rizan di talian 012-2853630.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Wanita dibakar lepas dibunuh

Posted: 18 Jan 2011 09:59 AM PST

IPOH: "Pada mulanya saya menyangka 'objek hitam' itu hanya sekadar patung, tetapi selepas melihat lebih dekat, saya terkejut kerana ia mayat seorang wanita.

"Saya segera melaporkan perkara itu kepada pegawai bertugas sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut," kata Mahani Mohd Yusuf, 42, pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menemui mayat seorang wanita dipercayai mangsa bunuh di kawasan pembuangan sampah di belakang sebuah restoran di Jalan Pasir Puteh, dekat sini, pagi semalam.


Mahani berkata, sepanjang lebih sembilan tahun berkhidmat dengan MBI, itulah kali pertama dia menemui mayat ketika bertugas dan masih ketakutan apabila memikirkannya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, polis menerima laporan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 8.20 pagi.


"Sepasukan unit forensik dikejarkan ke tempat kejadian dan menemui mayat itu terbaring di sebelah tong sampah bersama kesan terbakar.


"Ketika ditemui, mayat itu masih berpakaian lengkap seluar pendek dan baju-T, namun tiada pengenalan diri ditemui pada mangsa," katanya.

Mohd Dzuraidi berkata, siasatan polis mendapati mangsa dibunuh di tempat lain sebelum dicampak di kawasan pembuangan sampah berkenaan.


Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.


Sementara itu dalam kes berasingan, seramai 18 wanita warga asing dan seorang lelaki tempatan yang berperwatakan wanita ditahan dalam satu serbuan di sebuah hotel di Jalan CM Yusuf, di sini, petang kelmarin.


Mohd Dzuraidi berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 5.30 petang oleh sepasukan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak yang berjaya menahan wanita warga asing itu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran.


"Berdasarkan siasatan, 16 wanita terbabit warga Indonesia manakala selebihnya dari Vietnam dan Thailand.


"Kami turut memberkas seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertanggungjawab menjaga hotel berkenaan dan turut terbabit dalam kegiatan pelacuran di hotel itu," katanya.


Mohd Dzuraidi berkata, dalam serbuan sama, polis turut menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Myanmar yang dipercayai pelanggan di hotel itu untuk membantu siasatan. Katanya, polis turut merampas dua botol cecair bahan pelincir, 56 kondom, wang tunai RM414 dan satu buku daftar hotel.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan