Utusan Online - Muka Hadapan |
- BN hadir tetapi tolak cadangan pinda
- Gagasan 1Malaysia capai tahap tertinggi
- Hormati perbezaan agama - TPM
| BN hadir tetapi tolak cadangan pinda Posted: BN hadir tetapi tolak cadangan pindaOleh ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 20 Jan. – Barisan Nasional (BN) Selangor memutuskan menolak langkah Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 bagi memberikan kuasa kepada Menteri Besar melantik tiga pegawai eksekutif negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, pendirian itu dibuat hasil daripada mesyuarat melibatkan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan seorang ADUN Bebas, di sini, hari ini. Katanya, walaupun kesemua ADUN BN akan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diadakan khas untuk tujuan itu, pada Isnin ini ia tidak bermakna mereka menyokong pindaan berkenaan. Pendirian BN itu tegas Noh disebabkan, pindaan berkenaan hakikatnya bagi membolehkan Menteri Besar mempunyai kuasa melantik SUK termasuklah kuasa menasihati Sultan Selangor. "Pindaan ini dibuat kerana Menteri Besar tidak ada kuasa dalam melantik SUK. Sebenarnya Menteri Besar bukan mahu memberikan kuasa kepada Sultan Selangor, tetapi dia mahukan kuasa dalam keputusan yang dibuat oleh baginda melalui 'nasihat daripada Menteri Besar'. "Malah, pindaan ini juga kita dapati merupakan satu kerja yang sia-sia dan tidak memberi manfaat kepada rakyat kerana peruntukan perlembagaan negeri sedia ada dalam pelantikan SUK tidak membelakangkan kuasa Sultan Selangor. "Kita akan hadir dalam sidang DUN nanti kerana Sultan Selangor telah memperkenan dewan ini bersidang mengikut bidang kuasa baginda. Tetapi, perkenan baginda mengadakan sidang itu tidak bermakna baginda setuju dengan pindaan perlembagaan negeri, ia terpulang kepada dewan," katanya. Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN Selangor tersebut yang turut dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman. Dalam mesyuarat itu, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor turut mengumumkan pelantikan ADUN Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun sebagai Timbalan Ketua Pembangkang negeri. Dalam pada itu, Noh turut menyatakan bahawa pindaan yang mahu dilakukan oleh kerajaan negeri itu juga sebenarnya tidak logik. Ini kerana katanya, cadangan pindaan itu sebenarnya berpunca daripada keengganan Menteri Besar menerima Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK meskipun telah diperkenankan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini. Malah, pindaan itu juga dilihat turut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana pelantikan SUK Selangor adalah sama seperti diamalkan di negeri-negeri Melayu bersekutu. Pada masa yang sama, Noh turut menyelar sikap kerajaan negeri yang tidak telus meminda perlembagaan negeri kerana sehingga kini tiada sebarang draf pindaan itu diberikan kepada ADUN BN. Katanya, Ketua Pembangkang negeri (Mohamad Satim) telah mengemukakan surat kepada Setiausaha DUN, pada Isnin lalu tetapi tidak sebarang mendapat maklum balas sehingga ke hari ini. "Di mana ketelusan kerajaan negeri, mereka kata nak pinda perlembagaan negeri atas dasar kepentingan umum. Sepatutnya mereka berikan draf pindaan lebih awal untuk kita teliti dan bahaskan di dalam sidang DUN. "Namun hingga ke hari ini tidak diberikan seolah-olah kerajaan negeri mahu 'menyerang hendap' ADUN BN pada sidang dewan itu nanti," ujarnya. Kenyataan Penuh UMNO Selangor AHLI-AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional Negeri Selangor menjunjung perkenan ke bawah Duli Tuanku Sultan Selangor di atas pemahsyuran baginda mengenai persidangan tergempar Dewan Undangan Negeri pada 24 haribulan Januari 2011 nanti. Sebagai hamba rakyat, ADUN Barisan Nasional akan hadir demi melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Kami sependapat Menteri Besar Selangor, Y.A.B. Tan Sri Khalid Ibrahim seharusnya lebih bertanggungjawab dan tidak cuba mempolitikkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Y.Bhg. Dato' Mohd. Khusrin Munawi ke tahap ini. Kami khuatir bahawa ianya akan menjadi tindakan sia-sia yang akan menjejaskan urusan kerajaan dan ini tidak mendatangkan faedah kepada rakyat Selangor amnya. Sebaliknya hanya menjaga ego sorang Menteri Besar. Kami merasakan tujuan beliau ialah hanya untuk memperkasakan (empower) beliau sebagai Menteri Besar dan bukan untuk tujuan yang lain. Dalam pada itu kami, selaras dengan Perintah Tetap 48, Perintah-perintah Tetap Dewan Undangan Negeri Selangor menuntut Speaker DUN atau Menteri Besar Selangor menyerahkan kepada kami kertas langkap deraf cadangan pindaan Perlembagaan Negeri Selangor bagi membolehkan kami mengambil bahagian dalam sesi perbahasan. Kami menganggap tindakan kerajaan negeri untuk hanya membekalkan kepada kami deraf cadangan ini pada hari terakhir ataupun pada hari persidangan dewan itu diadakan sebagai taktik '"'serang hendap'. Kami berpendapat gesaan ini adalah amat wajar memandangkan persidangan tergempar ini bukanlah satu persidangan yang biasa diadakan, Malahan ianya tidak pernah berlaku dalam sejarah di mana suatu persidangan perlu diadakan dalam keadaan tergesa-gesa dan terburu-buru apatah lagi ianya melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Negeri Selangor. Malangnya hingga ke hari ini tidak seorangpun ADUN Barisan Nasional telah diberikan deraf lengkap pindaan perlembagaan itu kecuali apa yang telah dilaporkan oleh media massa mengenai cadangan pindaan kepada Artikel 52(1). Kami merasakan cadangan pindaan ini sebagai bertentangan dan 'ultra vires' kepada Perlembagaan Persekutuan di bawah Artikel 74 Jadual ke 9 senarai negeri. DATUK SERI NOH OMAR Timbalan Pengerusi, Badan Perhubungan UMNO Selangor | ||
| Gagasan 1Malaysia capai tahap tertinggi Posted: Gagasan 1Malaysia capai tahap tertinggiOleh ASSIM HASSAN dan MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN KUALA LUMPUR 20 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat Malaysia telah mencapai tahap tertinggi dalam gagasan 1Malaysia apabila mampu meraikan kepelbagaian budaya di negara ini. Menurut Perdana Menteri, sifat itu juga harus dijadikan satu kelebihan dan kekuatan untuk mereka menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan berjaya. "Jika kita dapat meraikan kepelbagaian, kita mencapai kemuncak dalam soal menerima kepelbagaian sebagai satu sumber kekuatan bagi negara kita," katanya ketika menyaksikan sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini hari ini. Menurut beliau, sifat toleransi dan 'penerimaan secara total' iaitu masyarakat tidak lagi ragu-ragu tentang kepelbagaian budaya kerana ia sesuatu yang baik, merupakan dua asas penting dalam gagasan tersebut. "Perjuangan berdasarkan perpaduan kaum mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan disegani,'' ujarnya. Turut hadir ialah Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden MIC, Datuk G. Palanivel; Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam serta Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman, Datuk R. Nadarajah. Dalam pada itu, Najib memberi jaminan kerajaan tidak akan mengabaikan kepentingan masyarakat India di negara ini dan berusaha mengatasi cabaran utama yang mereka hadapi. "Satu Jawatankuasa Kabinet Komuniti India yang dipengerusikan oleh saya sedang mengenal pasti kumpulan sasaran terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. "Selaras dengan kehendak itu, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menggerakkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan supaya rakyat keturunan India tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. "Dalam usaha ini, kerajaan mengambil pendekatan untuk membawa perkhidmatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat secara terus kepada masyarakat India yang tinggal di bandar kecil dan luar bandar," katanya. Katanya, usaha kerajaan membantu rakyat Malaysia berketurunan India juga mendapat pengiktirafan oleh Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh yang melawat negara ini pada tahun lalu dan melancarkan Little India di Brickfields. Najib juga percaya dengan wujudnya Little India di Brickfields, ia akan menjadi simbol penerimaan rakyat Malaysia terhadap kepelbagaian budaya di negara ini. Pada majlis yang sama, Najib turut menyaksikan majlis perjanjian persefahaman antara pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman dengan syarikat pembinaan Damodar and Conveyer Constructions Pty Ltd untuk membina kemudahan kereta kabel sepanjang 250 meter di kuil tersebut. Jelasnya, pembinaan projek kemudahan infrastruktur bernilai RM10 juta itu yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi dan siap 2012, bakal memudahkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan para pelancong untuk melawat kawasan 'Upper Caves' dengan mudah serta selesa. "Usaha ini juga bertujuan menambahkan daya tarikan Batu Caves sebagai salah satu destinasi pelancongan utama," katanya. | ||
| Posted: Hormati perbezaan agama - TPMKUALA LUMPUR 20 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat Malaysia perlu saling menghormati perbezaan kepercayaan agama kerana ia adalah ramuan bagi kehidupan yang harmoni. "Sikap toleransi di kalangan masyarakat pelbagai kaum perlu dikekalkan agar negara terus menikmati keamanan dan kestabilan," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Thaipusam di sini, hari ini. Muhyiddin berkata, toleransi merupakan proses dua hala dan oleh itu, semua rakyat Malaysia perlu memahami dan mengambil kira sensitiviti pelbagai kaum di negara ini bagi mencerminkan semangat toleransi dalam erta kata sebenar. "Saya yakin dengan mengamalkan prinsip 1Malaysia, iaitu penerimaan serta sikap keterbukaan sesama warganegara, kita akan dapat mengeratkan hubungan antara kaum serta meningkatkan persefahaman," katanya. Beliau dan keluarga turut mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu di seluruh negara. - BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan