Rabu, 19 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Lans Koperal didakwa cederakan ahli perniagaan, samun penjaga setor

Posted: 19 Jan 2011 01:04 AM PST

KUALA LUMPUR, 19 Jan — Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan seorang ahli perniagaan dan menyamun seorang penjaga setor enam tahun lepas.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan Sabri Mat Taha diikat jamin sebanyak RM8,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Februari depan untuk sebutan kes.

Sabri, 51, didakwa memukul Noor Salina Nordin, 30, dengan tangan sehingga cedera di bilik K2, Tingkat 5, Bangunan Wisma Indah, Jalan Tun Razak, pada 1.30 pagi, 8 Februari 2005.

Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun, atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sabri, yang kini digantung tugas, juga didakwa menyamun Mustafa Rozali, 27, sebanyak RM300 di Jalan 1/91, Taman Shamelin Perkasa, Cheras, di sini pada 4 pagi, 6 Februari 2006.

Bagi pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad menawarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohd Hisham Md Nen meminta mahkamah mengurangkan jumlah jaminan kerana isteri tertuduh yang akan menjaminnya hanya bekerja sebagai pencuci bangunan dan berpendapatan RM800 sebulan.

"Isterinya juga perlu menyara keluarga, termasuk membiayai pelajaran seorang anak mereka kerana tertuduh tidak bekerja selepas digantung tugas sejak tujuh tahun lepas," katanya. — Bernama

 

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Isu MPSJ: Pemimpin sabotaj Pakatan perlu ‘dihukum’, kata Khalid

Posted: 19 Jan 2011 12:51 AM PST

Khalid Samad: Yang Dipertua PAS Shah Alam.

SHAH ALAM, 19 Jan — Khalid Samad menggesa kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengambil tindakan terhadap pemimpin dan individu yang dilihat sebagai punca di sebalik isu kontroversi larangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) — tindakan yang dilihat mensabotaj gabungan tiga parti itu.

Ahli Parlimen Shah Alam berkata demikian sambil merujuk keputusan MPSJ yang menguatkuasakan larangan Muslim bekerja di premis-premis yang menjual minuman keras kerana pihaknya tidak pernah mempersoalkan undang-undang Syariah.

Khalid berkata kerajaan negeri yang dipimpin Tan Sri Khalid Ibrahim perlu mengambil tindakan tegas terhadap individu yang "membelakangi" keputusan yang dibuat MPSJ itu.

"Parti kena ambil tindakan, di MPSJ kena teliti siapa yang timbulkan? Kenapa buat macam itu? Parti kena teliti.

"Kena kenal pasti macam mana timbul isu macam ini," kata beliau pada sidang media di pejabatnya di sini.

Menurut Khalid, kontroversi yang ditimbulkan termasuk isu arak di Selangor adalah satu perbuatan sabotaj yang dilakukan pihak tertentu.

"Parti mesti mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertindak bersendirian dalam membuat keputusan, orang macam ini parti kena ambil tindakan.

"Orang-orang macam ini boleh menimbulkan masalah, ia adalah satu perbuatan sabotaj.

"Kerajaan negeri perlu bertindak kepada sesiapa sahaja yang buat macam ini, yang menimbulkan masalah dan mahu menjejaskan Pakatan Rakyat. Kena ambil tindakan yang akan mendisiplin orang macam ini," katanya.

Yang Dipertua PAS Shah Alam itu juga berkata, segala keputusan yang mahu dibuat perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu.

"Dalam Pakatan Rakyat tiada 'big brother', apa-apa keputusan yang dibuat perlu berbincang terlebih dahulu.

"Kerajaan negeri perlu selesaikan setiap isu di peringkat negeri sebelum kemukakan kepada masyarakat.

"Kita bukan lagi pembangkang (di Selangor), kita perlu selesaikan masalah, kita perlu tahu macam mana nak selesaikan masalah," katanya.

Awal minggu lalu dilaporkan bahawa MPSJ telah memutuskan untuk mengambil tindakan membatalkan lesen perniagaan premis yang melanggar enakmen itu, tetapi Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu kemudian mengarahkan agar keputusan itu ditarik balik.

Ekoran keputusan itu, kerajaan negeri Selangor berbelah bahagi dalam isu tersebut memandangkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor tidak bersetuju dengan arahan Liu.

Hasan bertanggungjawab ke atas soal agama Islam manakala Liu pula pentadbiran pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun Liu mempertahankan bahawa keseluruhan Exco Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menarik balik keputusan MPSJ sementara kajian susulan dikendalikan.

Kelmarin, Khalid berkata, tiada undang-undang yang melarang orang Islam bekerja di premis hiburan sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan di Selangor, sebaliknya ia hanyalah garis panduan dan peringatan yang dimulakan sejak tahun lepas.

Beliau berkata, garis panduan dan peringatan itu sebagai nasihat kepada pemilik premis hiburan yang beroperasi di Selangor supaya menghormati permintaan kerajaan negeri untuk tidak mengambil pekerja di kalangan orang Islam.

 

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan