Sabtu, 20 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Pagar pusat aktiviti rebah

Posted: 19 Oct 2012 04:18 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tindakan pihak tertentu merobohkan tembok serta pagar pusat aktiviti penduduk di Taman Damai Rasa, di sini, menimbulkan pelbagai tanda tanya dan kemarahan penduduk di taman itu.

Ini berikutan tindakan pihak terbabit tidak mengikut prosedur betul dan mendahului pihak berkuasa.


Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Damai Rasa, Uyop Mohd Amin berkata, pihaknya menerima notis tujuh hari pengosongan daripada DBKL bertarikh 16 Oktober lalu pada jam 7.40 malam.

"Kami sudah menghantar rayuan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tarikh pengosongan berakhir esok (hari ini), tetapi oleh kerana tindakan melulu individu terbabit merosakkan tembok kabin ini menyebabkan penduduk tidak puas hati.


"Tanah itu rizab tadika, tetapi kami ingin memanfaatkan ia sebelum pembinaannya kerana kawasan terbabit terbiar dan dipenuhi lalang," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Alam Damai.


Uyop berkata, KRT Damai Rasa ditubuhkan sejak 2006 dan DBKL sudah membina kabin terbabit dua tahun lalu, namun sedih apabila ada pihak lain merosakkan struktur bangunan itu.

Menurutnya, kerugian yang ditanggung akibat kejadian merosakkan harta benda awam itu kira-kita RM10,000 dan merugikan wang rakyat. Sementara itu Pengerusi Penaja Persatuan Masyarakat Islam Damai Rasa (Pemida), Mohd Yusof Amir berkata, beliau amat kesal dengan kejadian terbabit kerana ia satu kerugian kepada orang ramai tidak dapat menjalankan aktiviti yang dirancang.


"Pemida sentiasa menyokong program yang dijalankan Rukun Tetangga (RT) bagi menyatupadukan penduduk di sini dengan lebih selesa kerana sebelum ini kami hanya bergerak di bawah kanopi," katanya.

Setiausaha Pemida, Suhaimi Mohamad berkata, mereka sedar kabin terbabit bukan kawasan surau dan mereka menumpang sementara waktu untuk menjalankan aktiviti di situ sementara permohonan untuk membina surau di kawasan itu masih dalam perbincangan bersama DBKL.


"Mungkin mereka salah faham bila banyak aktiviti keagamaan di bawah Biro Agama KRT Damai Rasa dijalankan di sini, namun ia bebas digunakan mana-mana persatuan lain di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20


Langsing ekspres tak tahan lama

Posted: 19 Oct 2012 04:16 PM PDT

KUALA LUMPUR: "Walaupun ramai yang tidak sabar untuk tampil langsing, tetapi hakikatnya tiada jalan pintas untuk seseorang itu mengurangkan berat badan secara cepat dan selamat," kata Perunding Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Siti Farhath Sehu Allavuddin.

Beliau berkata, pengurangan berat badan mendadak hanya membawa kesan negatif kepada sistem badan, malah penggunaan pelbagai ubat bagi mengurangkan berat badan yang mendakwa mampu menguruskan badan dengan cepat hanya membawa kesan sementara.


"Pengurangan berat badan secara ekspres tidak tahan lama dan berat yang sudah hilang sebelum ini kembali semula. Pengurangan berat badan adalah satu proses dan ia perlu dilakukan secara berperingkat.

"Cara paling selamat dan terbaik ialah menjaga pemakanan dan melakukan senaman yang dapat membakar lemak secara konsisten," katanya ketika dihubungi, semalam.


Beliau berkata, pengurangan berat badan yang mendadak dengan pengambilan ubat terlarang atau herba selalunya membabitkan kehilangan air yang banyak dan tidak membabitkan pembakaran lemak.


"Badan perlu membakar lemak yang disimpan jika mahu kurus dan ia hanya boleh dilakukan dengan senaman dan bukan menyebabkan tubuh kehilangan air dalam usaha mendapat berat unggul.

"Kehilangan air yang banyak ini berbahaya pada sistem badan dan boleh membawa maut. Oleh itu, tiada jalan pintas untuk kurus dengan sihat dan kekal lama selain cara hidup yang sihat dan sering bersenam," katanya. Harian Metro semalam melaporkan mengenai tiga salun kecantikan yang digempur Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas dikenal pasti menjadi ejen menjual 'herba ajaib' yang dipercayai mampu menurunkan berat badan 10 hingga 15 kilogram dalam tempoh kurang daripada sebulan.


Lebih memeranjatkan apabila siasatan mendapati pil herba pelangsing badan yang ditawarkan mereka itu diseludup ke Malaysia melalui taktik membuat pengisytiharan palsu ketika melepasi pemeriksaan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Tambah menakutkan apabila kandungan pil yang dikatakan dihasilkan daripada sejenis herba terpilih kononnya berasaskan buah acai berry itu dicampur racun Sibutramine yang boleh membawa maut dan penyebab sakit gila.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/20


Tiada ulasan:

Catat Ulasan