Isnin, 1 Oktober 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Duit sendiri bina kedai

Posted: 30 Sep 2012 10:29 AM PDT

BANGI: Kebakaran sederet kedai papan di Jalan Besar Bangi, Pekan Bangi Lama, dekat sini, menyebabkan sembilan peniaga tempatan kehilangan punca pendapatan sejak setahun lalu.

Pada awalnya pelbagai pihak muncul menjanjikan bantuan, terutama dalam bentuk wang ringgit bagi membolehkan bangunan baru dibina di tapak sama memandangkan peniaga tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan perniagaan hangus.


Malangnya, menurut peniaga, Kamal Abdullah, 38, selepas lebih setahun, bantuan yang dijanjikan hanya tinggal janji menyebabkan peniaga tersepit kerana kehilangan mata pencarian.

"Tahun lalu, ramai pihak mengunjungi kami menyatakan simpati serta ingin menghulurkan bantuan. Berita itu menggembirakan kerana kami tidak mampu akibat kerugian yang ditanggung terutama untuk membina bangunan baru.


"Bagaimanapun, sehingga kini tiada bantuan kewangan diterima kecuali RM2,000 yang diberikan kepada setiap peniaga ketika awal kejadian," katanya.


Menurutnya, bantuan itu tidak mencukupi untuk mereka membina bangunan baru yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta. Setakat ini, peniaga menggunakan duit sendiri untuk membina bangunan dua tingkat tanpa mendapat bantuan pihak luar.

"Sehingga kini, RM400,000 sudah dibelanjakan peniaga, tetapi keadaan sukar memandangkan perniagaan kami merosot lebih 70 peratus sejak kedai terbakar.


"Ada sebahagian peniaga terpaksa menyewa ruang kecil di kedai berhampiran dengan bayaran RM500 sebulan bagi meneruskan perniagaan manakala sebahagian lagi hilang punca pendapatan," katanya.

Keadaan itu dipersetujui Lee Guat Hong, 65, yang bekerja mengambil upah menjahit baju.


"Sudah lebih 50 tahun saya berniaga di sini. Sejak kebakaran itu berlaku, semua barang dan peralatan menjahit saya terbakar.


"Disebabkan tiada tempat baru untuk berniaga, saya terpaksa menjahit dari rumah. Masalahnya, pelanggan sukar mencari rumah saya menyebabkan pendapatan berkurangan dari sehari ke sehari," katanya.


Difahamkan disebabkan usia bangunan lama mencecah 80 tahun, peniaga gagal mendapatkan perlindungan insurans menyebabkan mereka tidak dapat membuat tuntutan ganti rugi akibat kebakaran berkenaan.


Ditambah dengan umur lanjut peniaga, pihak institusi kewangan enggan meluluskan pinjaman kewangan bagi membolehkan mereka membina semula bangunan baru.


Bagi Sapura Syed Othman, 62, kehidupan peniaga terus tersepit kerana itu satu-satunya punca pendapatan mereka yang diwarisi sejak turun-temurun.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


100 bantah pindah

Posted: 30 Sep 2012 10:25 AM PDT

KUALA SELANGOR: Kira-kira 100 penduduk Kampung Sri Aman, di sini, mengadakan demonstrasi aman membantah pemindahan penduduk dari tanah berstatus Lesen Menduduki Sementara (Tol) ke kawasan berhampiran untuk membolehkan tapak itu dibangunkan kerajaan negeri.

Ahli jawatankuasa kampung berkenaan, K Sharawanan, 38, berkata, pelaksanaan projek di kawasan itu akan menyebabkan mereka kehilangan rumah yang didiami sejak 80 tahun lalu selain menyebabkan mereka terpaksa menduduki kawasan sempit di seberang jalan daripada lokasi asal.


Katanya, Menteri Besar terdahulu, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sudah meluluskan 222 lot tanah di satu kawasan yang terpisah oleh satu jalan utama.

"Pada pilihan raya umum 2008, pakatan pembangkang berjanji perkara sama, tapi selepas memenangi pilihan raya, mereka mengabaikan nasib kami.


"Khalid (Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) menjanjikan 139 lot tanah kepada 800 penduduk, tetapi kos penambahbaikan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik perlu ditanggung penduduk," katanya, semalam.


Sharawanan berkata, ketika perbincangan mengenai pelan tindakan itu pada 15 Disember tahun lalu bersama Abdul Khalid, hanya sebahagian penduduk di kawasan berkenaan bersetuju dengan rancangan itu.

"Dalam perjanjian itu, 76 ketua keluarga bersetuju dengan terma dan syarat ditawarkan kerajaan negeri, manakala 63 lagi tidak bersetuju kerana mereka tidak mampu untuk membayar kos naik taraf infrastruktur berkenaan.


"Bagaimanapun, pelan tindakan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh Pejabat Daerah Kuala Selangor menunjukkan hanya sebahagian saja tanah yang diperuntukkan kepada penduduk manakala penduduk yang menetap di kawasan di seberang jalan tidak mengetahui nasib mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/01


Tiada ulasan:

Catat Ulasan