Ahad, 7 Oktober 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lapan lelaki rompak cip mikro bernilai RM11.5 juta di Bukit Mertajam

Posted: 07 Oct 2012 05:16 AM PDT

BUKIT MERTAJAM: Lapan lelaki bersenjatakan pedang samurai melarikan sejumlah cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM11.5 juta dalam satu rompakan di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah, di sini, awal pagi ini.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata lelaki itu dipercayai berusia antara 20 hingga 40 tahun memecah masuk gudang kilang berkenaan melalui pagar belakang kira-kira jam 2.30 pagi.

"Ketika kejadian enam pengawal termasuk penyelia kilang berada di tempat kejadian.

"Kumpulan perompak terbabit bertindak mengikat pekerja di situ sebelum membawa masuk sebuah lori ke tempat pemunggahan barang dan melarikan sejumlah cip mikro yang terdapat dalam tiga palet itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata kumpulan perompak itu turut merampas semua telefon bimbit milik pekerja gudang berkenaan bagi mengelak mereka menghubungi pihak polis.

Mazlan berkata sepasukan polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu dan menemui beberapa barang antaranya topeng muka, sarung tangan dan cota dalam gudang milik Intel itu.

"Polis juga berjaya mengesan lori yang digunakan perompak berkenaan iaitu kira-kira 15 kilometer dari lokasi kejadian. Bagaimanapun tiada sebarang barangan ditemui dan kita sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik kenderaan terbabit," katanya.

Beliau berkata polis menahan tujuh lelaki berusia antara 27 hingga 47 tahun yang bertugas sewaktu kejadian rompakan itu bagi membantu siasatan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Mayat pemandu lori yang terjatuh ke dalam lombong ditemui

Posted: 07 Oct 2012 04:37 AM PDT

SUNGAI SIPUT: Seorang pemandu yang dilapor terjatuh bersama lorinya ke dalam lombong di Kampung Sungai Buloh di sini dua hari lepas, ditemui lemas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Azman Salim berkata mayat Wong Yoke Kuan, 51, ditemui timbul pada pukul 8 pagi tadi oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat, katanya kepada pemberita di sini.

Azman berkata dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, lori yang dipandu mangsa menggelongsor ke dalam lombong berhampiran selepas hilang kawalan ketika menurunkan muatan tanah bagi projek menambak tapak perumahan di kawasan berkenaan.


Beberapa pekerja yang berada di kawasan itu gagal membantu mangsa lalu menghubungi pasukan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan bantuan, katanya.


Operasi mencari mangsa dilancar oleh pihak berkuasa selepas menerima laporan namun gagal menemuinya sebelum dihentikan pukul 6 petang semalam dan disambung semula pagi ini yang membawa kepada penemuan mayat lelaki berkenaan, katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/07


Tiada ulasan:

Catat Ulasan