Jumaat, 5 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


10,715 cikgu baru

Posted: 05 Oct 2012 02:50 PM PDT

Kumpulan pertama siswazah lulusan IPGM, IPTA akan diberi penempatan mulai tahun depan

Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan diberi penempatan, tahun depan.

Mereka adalah kumpulan pelajar yang sudah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini di IPGM serta IPTA, dan akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS).

"Kepada mereka yang akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi," Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri

Kerajaan menetapkan keputusan itu selepas mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka panjang yang digariskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelantikan itu tertakluk kepada graduan yang memenuhi syarat skim perkhidmatan PPPS, sudah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dan berjaya dalam temu duga dikendalikan SPP.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, seramai 2,960 graduan terbabit dikenal pasti sudah menamatkan pengajian mereka sebelum 1 Julai lalu dan dijadualkan menjalani temu duga oleh SPP.

Penempatan interim
"Mereka adalah 2,478 graduan program J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain), 368 dari program TESL (Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua), 90 dari program KPLI (Kursus Perguruan Lepas Ijazah) IPGM dan IPTA termasuk mereka dari Program Pelajar Cemerlang (PPC), 14 dari program Bahasa Perancis, dan 10 calon mengulang temu duga berdasarkan keperluan opsyen.

"Sementara SPP menyelesaikan urusan temu duga, Kementerian Pelajaran akan membuat penempatan secara interim bagi kumpulan ini mulai 16 Oktober ini. Pelantikan tetap adalah tertakluk kepada keputusan temu duga oleh SPP," katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu bagi baki 7,755 pelajar yang menamatkan pengajian selepas Jun lalu, Muhyiddin berkata, mereka perlu mengemukakan permohonan kepada SPP untuk pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 supaya penjadualan temu duga dapat disegerakan.

"Penempatan mereka yang lulus temu duga SPP akan dibuat tahun depan. Kepada mereka yang berjaya dan akan dilantik sebagai pendidik, berkhidmatlah dengan jujur dan penuh dedikasi," katanya.

JPP siasat masalah air Pulai Chondong

Posted: 05 Oct 2012 02:17 PM PDT

Kota Bharu: Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan sedia membantu kira-kira 4,000 penduduk di tujuh kampung di Pulai Chondong, Machang yang menghadapi masalah bekalan air bersih.

Pengarahnya, Datuk Makhtar Mustapha, berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan menjalankan siasatan di kawasan berkenaan bagi menentukan bentuk bantuan yang boleh diberikan.

"Saya ada melihat keluhan penduduk di televisyen yang memerlukan bantuan penapis air... kita akan teliti menerusi aduan berkenaan dan membawanya kepada pengetahuan Datuk Seri Mustapa Mohamed (selaku Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan) untuk tindakan sewajarnya.
Peroleh laporan

"Kita juga akan mendapatkan laporan dari Pejabat Jajahan Machang mengenai aduan penduduk, selain membuat siasatan sama ada kawasan berkenaan mempunyai sumber air untuk membolehkan sistem penapis air dipasang," katanya selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo (WTF) Kelantan, Sparring and Poomsae 2012, di Kompleks Belia dan Sukan, Panji, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan lebih 4,000 penduduk di tujuh kampung di Pulai Chondong tidak pernah menikmati bekalan air bersih sejak 30 tahun lalu sehingga memaksa mereka menggunakan air takungan semula jadi dari bukit Lubuk Lesung untuk kegunaan harian.

Penduduk Kampung Jenerih Bongkok, Pangkal Nering Timur, Kuala Merabang, Bukit, Paradong, Merbau Condong dan Bukit Jong itu juga terpaksa bergotong-royong membina paip di kawasan bukit berkenaan untuk memudahkan penyaluran air ke rumah mereka.
Tiada permohonan rasmi

Makhtar bagaimanapun mengakui, pihaknya masih belum menerima permohonan rasmi daripada penduduk dan pemimpin tempatan di kawasan berkenaan mengenai permasalahan yang berlaku.

Mengenai dakwaan penduduk bahawa sumber air dari bukit berkenaan kotor dan mengandungi najis haiwan, Makhtar berkata, pihaknya prihatin dengan apa yang berlaku.

"Apabila dapat surat rasmi, kita akan arahkan segera pegawai jalankan siasatan, kita juga akan fikirkan langkah dapatkan bekalan air bersih buat sementara waktu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan