Khamis, 4 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


JPA kaji selaras gaji graduan

Posted: 04 Oct 2012 03:22 PM PDT

Kerajaan cadang mekanisme baru gred penjawat awam

Ipoh: Kerajaan sedang mengkaji untuk menyelaras tangga gaji penjawat awam berkelulusan ijazah yang kini memulakan kerjaya dengan Gred 41.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa berkata, pelarasan itu perlu bagi mencapai sasaran masyarakat berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang 2020.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan gred yang dicadangkan. Penggredan perjawatan awam berkelulusan ijazah kini bermula daripada gred 41, diikuti Gred 44, Gred 48, Gred 52, Gred 54, Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) C, JUSA B, JUSA A, Turus 3, Turus 2, Turus 1 dan Ketua Setiausaha Negara.

Penyelarasan gaji

"Ia di peringkat awal perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melihat segala aspek mengenai pelarasan gaji bagi penjawat awam berkelulusan graduan.

"Sebagai graduan, mereka memasuki kerja bermula dengan Gred 41 dan boleh mencapai jawatan setinggi Ketua Setiausaha Negara, tetapi tidak semua boleh mencapai tahap sedemikian.
"Jadi, kita mencadangkan satu mekanisme baru untuk memastikan pelarasan mengenai penggredan serta had gaji berasaskan kemampuan sedia ada," katanya selepas merasmikan penutup Persidangan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia, di sini semalam.

Mengenai cadangan CUEPACS memohon bonus satu setengah bulan dikecualikan daripada cukai, Ali berkata, ia membabitkan perbincangan di peringkat Kementerian Kewangan.

"Kita perlu melihat cadangan itu dalam pelbagai aspek serta apa juga implikasi kewangan sebelum membuat keputusan," katanya.

Berhubung dakwaan pembangkang bilangan 1.4 juta penjawat awam terlalu ramai sehingga meningkatkan kos kerajaan, Ali berkata, bilangan itu seimbang bagi membantu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Apa yang penting, matlamat penjawat awam ialah meningkatkan produktiviti dengan kreatif dan berinovasi," katanya.

INFO: Tangga Gaji Permulaan
- Gred 41 RM1,690
- Gred 44 RM2,976
- Gred 48 RM4,349
- Gred 52 RM4,894
- Gred 54 RM5,160.

'Hentikan dakwaan perlekeh program Permata Negara'

Posted: 04 Oct 2012 03:14 PM PDT

Tanjung Karang: Pihak tertentu diminta menghentikan tohmahan dan dakwaan tidak benar terhadap program Permata Negara kerana ia dilaksanakan untuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata program itu semata-mata bertujuan memupuk pendidikan dalaman dalam kalangan kanak-kanak supaya apabila besar, mereka menjadi aset yang sangat bernilai untuk negara.

Katanya, tumpuan yang diberikan kerajaan terhadap program itu bukan disebabkan oleh faktor beliau selaku penaung projek itu.

"Projek Permata Negara bukan untuk saya sebagai isteri Perdana Menteri atau untuk sesiapa, tapi untuk masa depan anak-anak kita semua. Ada mereka yang cakap macam-macam terhadap saya dan projek Permata (Negara) ini, tetapi semua ini tidak benar," - Datin Seri Rosmah Mansor

Demi masa depan

"Projek Permata Negara bukan untuk saya sebagai isteri Perdana Menteri atau untuk sesiapa, tapi untuk masa depan anak-anak kita semua. Ada mereka yang cakap macam-macam terhadap saya dan projek Permata (Negara) ini, tetapi semua ini tidak benar.

"Sebab itu, saya bersyukur dapat berkumpul di majlis hari ini (semalam), iaitu majlis ramah mesra dengan kanak-kanak dan pendidik TABIKA dan TASKA Permata KEMAS. Pada hakikatnya, program seumpama ini wajar dianjurkan bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk semangat kerjasama antara anak, pendidik dan ibu bapa. Lebih daripada itu, semoga dengan pertemuan ini dapat menjelaskan segala kekaburan mengenai Permata," katanya.

Beliau berucap pada majlis Ramah mesra Kanak-Kanak TABIKA dan TASKA Permata KEMAS di sini, semalam. Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ketua Pengarah KEMAS, Hassan Mohd Amin.
Rosmah berkata, sehingga kini, Permata Negara mempunyai 665 pusat asuhan dengan 354 daripadanya adalah TASKA Permata KEMAS, manakala seramai 22,423 kanak-kanak sudah mendapat manfaat daripada program terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan