Khamis, 18 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Konsep bina jual wajib 2015

Posted: 18 Oct 2012 04:47 PM PDT

Kuala Lumpur: Mulai 2015, kerajaan mewajibkan semua pemaju perumahan melaksanakan konsep bina kemudian jual kepada pembeli bagi mengelak projek terbengkalai.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, berkata keputusan itu dibuat selepas kajian menyeluruh dilaksanakan.

"Kita akan ubah kaedah beli dan bina yang wujud sejak sekian lama. Sebenarnya konsep beli dan bina adalah salah satu model yang diamalkan di negara maju manakala sesetengah negara mengamalkan kedua-dua konsep.

Menerusi konsep itu, pembeli hanya dikehendaki membayar wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah manakala bakinya dibayar apabila rumah siap dibina," - Datuk Seri Chor Chee Heung, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Kaedah beli dan bina

"Kita sudah lakukan kajian menyeluruh dan dasar ini kita akan ubah pada 2015," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat disini semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang bangun mencelah meminta penjelasan mengenai perkembangan pelaksanaan konsep bina kemudian jual seperti diperkenalkan ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mengulas lanjut, Chee Heung yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata, setakat ini ada empat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi jaminan untuk melaksanakan konsep berkenaan mulai tahun depan.
Beliau berkata, menerusi konsep itu, pembeli hanya dikehendaki membayar wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah manakala bakinya dibayar apabila rumah siap dibina.

Chee Heung berkata, sehingga kini kerajaan menyuntik dana RM117 juta untuk memulihkan projek perumahan terbengkalai dan menerusi Bajet 2013, kementerian menerima peruntukan RM100 juta bagi meneruskan agenda itu.

Beliau berkata, sepanjang 2009 hingga 2012, sebanyak 178 projek perumahan diisytiharkan terbengkalai dan daripada jumlah itu, 112 projek berjaya dipulihkan, 67 projek dalam proses pemulihan dan baki sembilan projek dalam perancangan untuk dipulihkan.

Bagi Selangor contohnya, bilangan projek perumahan terbengkalai bagi tempoh berkenaan adalah 48 projek membabitkan 16,073 pembeli.

"Bagaimanapun hasil usaha gigih kerajaan, 25 projek berjaya disiapkan manakala 22 projek lagi dalam proses pemulihan," katanya.

Biaya kos 10 peratus

Bagi mengatasi masalah projek terbengkalai, beliau berkata, kerajaan menyenarai hitam ahli lembaga pengarah dan syarikat pemaju perumahan yang gagal melaksana projek selain tidak mempertimbangkan permohonan lesen dan permit baru mereka.

Melalui pindaan Akta 118 lalu, tindakan pendakwaan juga boleh diambil terhadap pemaju perumahan yang mengabaikan suatu projek perumahan atau menyebabkan suatu projek itu terbengkalai.

Kerajaan juga katanya akan menggunakan kuasa mengikut akta itu untuk memastikan tindakan menyuntik dana dalam memulihkan projek perumahan swasta tidak diambil kesempatan pemaju perumahan yang sengaja tidak menyiapkan projek mereka.

Sementara itu, pada sidang media di lobi Parlimen, Chee Heung berkata, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membiayai kos infrastruktur rumah sebanyak 10 peratus jika projek pembinaan rumah dilaksanakan menerusi Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA).

Suami berhak berpoligami

Posted: 18 Oct 2012 04:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Suami yang mahu berkahwin lebih daripada satu tidak perlu meminta kebenaran isteri pertama kerana ia tidak terkandung dalam enakmen syariah di semua negeri.

Sebaliknya, mengikut Seksyen 23 Enakmen Keluarga Islam yang hampir seragam di semua negeri, suami diberikan hak berpoligami dan hanya perlu mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Syariah.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, berkata permohonan mengambil masa hampir 21 hari dan akan dinilai oleh Mahkamah Syariah sebelum mendapat kebenaran.

Empat elemen utama akan dinilai oleh mahkamah, iaitu keperluan perkahwinan, kemampuan suami, boleh berlaku adil dan tidak mendatangkan kemudaratan pada isteri," - Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

"Empat elemen utama akan dinilai oleh mahkamah, iaitu keperluan perkahwinan, kemampuan suami, boleh berlaku adil dan tidak mendatangkan kemudaratan pada isteri.

Perlu beri keterangan

"Individu yang ingin memohon poligami perlu memberi keterangan kepada mahkamah. Sama ada perlu kebenaran isteri pertama atau tidak akan ditentukan oleh mahkamah," katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan mengenai lelaki Islam di Pulau Pinang tidak memerlukan kebenaran isteri pertama untuk berpoligami.
Dalam laporan itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Datuk Sazali Hussien, berkata enakmen syariah negeri tidak mempunyai peruntukan undang-undang untuk mendapatkan kebenaran isteri pertama.

Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Naim Mokhtar, pula berkata suami memang tidak memerlukan kebenaran isteri pertama, tetapi bakal isteri dan wali akan dipanggil memberikan keterangan.

Kemampuan suami dinilai

"Kehadiran isteri pertama adalah prasyarat dalam setiap permohonan bagi membolehkan mahkamah menilai kemampuan suami dan akan dipertimbangkan.

"Undang-undang dalam Seksyen 23, masih mengambil kira semua situasi khususnya keadilan kepada isteri dan memastikan tidak ada pihak teraniaya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan