Isnin, 1 Oktober 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Kate sedih Zakwan meninggal

Posted: 01 Oct 2012 04:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Isteri Putera William, Catherine Middleton, berkongsi kesedihan dengan keluarga Zakwan Anuar, 15, berikutan kematian remaja berkenaan akibat leukemia pada Khamis lalu.

Saya amat sedih dengan berita ini. Gambar saya dan Zakwan tersenyum bersamanya adalah kegemaran peribadi saya daripada semua gambar sepanjang lawatan rasmi sempena jelajah Jubli Intan (pemerintahan Ratu Elizabeth II), katanya yang berkongsi pautan ke dalam dinding Facebooknya selepas gambar beliau bersama Zakwan dimuat naik ke dalam Facebook BH Online.

Ketika lawatan pasangan diraja Britain itu ke Malaysia baru-baru ini, Catherine Middleton yang lebih dikenali sebagai Kate sempat bertemu dengan Zakwan di Pusat Penjagaan Hospis Kuala Lumpur pada 13 September lalu dan menandatangani kad hari jadi remaja itu dan menyifatkannya sebagai seorang yang berani dan tampan.
Doktor meramalkan Zakwan hanya akan bertahan selama 48 jam selepas pertemuan itu yang diidamkan remaja itu, sebaliknya hayatnya bertahan sehingga jam 2.30 petang Khamis lalu akibat leukemia akut dihidapinya.

Lahir rasa simpati

Rasa simpati saya dengan keluarga Zakwan dalam menghadapi kesukaran ini, kata Kate dalam posting berkenaan.

Akhbar Britain, The Sun, turut menyiarkan berita sedih itu selepas ibu Zakwan, Norizan Sulong, 47, menghubungi untuk memaklumkannya.
Dalam laporan eksklusif itu semalam, jurucakap Istana St James berkata, pasangan diraja Britain itu sedih selepas mendapat berita kematian Zakwan dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya.

Sementara itu, Norizan ketika ditemui berkata, hingga ke akhir hayatnya, Zakwan tidak henti-henti menyatakan kegembiraannya bertemu pasangan diraja itu.

Selang dua minggu mereka bertemu, Zakwan meninggal dunia. Biarpun sedih dengan kehilangannya, saya gembira kerana hajatnya bertemu William dan Kate tercapai.

Kami sekeluarga menghargai bantuan semua pihak, terutama Hospis Malaysia yang mengambil inisiatif mengatur pertemuan itu semata-mata mahu menyempurnakan hajat Zakwan, katanya.

Zakwan meninggal dunia di rumah keluarganya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras kira-kira jam 2.30 petang, Khamis lalu akibat penyakit leukemia akut. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tun Hussien Onn pada Jumaat.

Tingkat tanggungjawab anak

Posted: 01 Oct 2012 04:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata penggubalan undang-undang untuk mewajibkan pemberian nafkah kepada ibu bapa mungkin akan mengeruhkan ikatan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan lebih mengutamakan program kesedaran untuk memupuk dan menyubur rasa tanggungjawab dalam kalangan generasi muda terhadap keluarga ke arah memantapkan institusi keluarga.

8,282 program diadakan
Katanya, sejak 2006 hingga Ogos lalu sebanyak 8,282 program seperti itu diadakan bagi melahirkan rasa tanggungjawab anak supaya menghormati dan menghargai pengorbanan ibu bapa mereka.

Dengan cara itu terlahirlah rasa keinsafan untuk menunaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa dan tidak mengabaikan mereka, katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat, semalam.

Karpal ingin tahu sama ada kerajaan bersedia menggubal undang-undang seumpama itu sebagai satu keperluan seperti di Singapura.

Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata keperluan untuk mewujudkan undang-undang seumpama itu perlu diteliti dari pelbagai sudut terutama kemampuan kewangan seseorang individu.
Pendidikan kekeluargaan

Undang-undang seumpama ini mungkin mengeruhkan ikatan kekeluargaan antara ibu bapa dan anak. Apa yang penting adalah pelaksanaan usaha kesedaran melalui program pendidikan kekeluargaan yang perlu diperluas dan diberi penekanan terutama kepada generasi muda, katanya.

Dianjur LPPKN

Beliau berkata, seramai 898,807 peserta terbabit dalam program kekeluargaan itu yang dianjurkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Perdana Menteri berkata, bermula November ini, sambutan hari Keluarga Kebangsaan yang diadakan pada 11 November setiap tahun akan diperluas kepada konsep Sambutan Bulan Keluarga selama sebulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan