Jumaat, 5 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Harga saham ditutup rendah sedikit

Posted: 05 Oct 2012 03:22 AM PDT

KUALA LUMPUR: Harga-harga saham di Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit hari ini berikutan kerugian yang dicatatkan oleh saham-saham mewah kerana kegiatan pengambilan untung, kata peniaga.

Pada jam 5 petang, petunjuk utama pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kerugian 1.24 mata kepada 1,660.23 selepas bergerak antara 1,668.32 dan 1,659.50 sepanjang hari.

Ia mencecah paras tinggi 1,668.32 pada jam 9.58 pagi hari ini.
Seorang peniaga berkata, pelabur mengambil keuntungan dalam urus niaga lewat ekoran keuntungan ketara semalam yang menyaksikan indeks utama mencecah paras tinggi 1,661.47 ketika ditutup.

Beliau berkata, bursa tempatan juga gagal bergerak naik kerana ketiadaan pemangkin luar baru menjelang pengumuman laporan bulanan data pekerjaan di AS, di mana kadar pengangguran dijangka meningkat di ekonomi terbesar dunia itu.

Indeks Kewangan mengukuh 16.52 mata kepada 14,680.76 dan Indeks Perladangan lebih tinggi 11.07 mata kepada 8,171.97.

Indeks Perindustrian, bagaimanapun, susut 5.84 mata kepada 2,834.57. Indeks FBM Mid 70 meningkat 10.159 mata kepada 12,099.56 dan Indeks FBM Ace mengukuh 20.83 mata kepada 4,289.68.

Indeks FBM Emas jatuh 4.32 mata kepada 11,260.68.

Saham-saham untung mengatasi saham rugi dengan 359 berbalas 334 sementara 363 kaunter tidak berubah, 583 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mengembang kepada 979.983 juta saham bernilai RM1.385 bilion daripada 965.036 juta saham bernilai RM1.596 bilion semalam.

Di kalangan saham aktif, YTL Corp-Warr menokok satu sen kepada 18.5 sen, Scomi Group turun 1.5 sen kepada 38.5 sen dan Scomi Group-Warr merosot setengah sen kepada lapan sen.

Saham-saham berwajaran tinggi, Maybank susut sembilan sen kepada RM8.99 dan Sime Darby lega tiga sen kepada RM9.65.

Axiata menokok enam sen kepada RM6.76 dan CIMB naik tujuh sen kepada RM7.70.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama lebih rendah kepada 769.596 juta unit bernilai RM1.360 bilion daripada 773.229 juta unit bernilai RM1.563 bilion pada hari Khamis.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 148.672 juta saham bernilai RM20.268 juta daripada 121.257 juta saham bernilai RM27.329 juta sebelumnya.

Waran pula berkurangan kepada 55.495 juta unit bernilai RM3.782 juta daripada 67.784 juta unit bernilai RM4.688 juta semalam.

Produk pengguna menguasai 72.483 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian 98.56 juta, pembinaan 21.712 juta, urus niaga dan perkhidmatan 406.415 juta, teknologi 39.474 juta, infrastruktur 17.749 juta, kewangan 45.413 juta, perhotelan 245,200, hartanah 37.413 juta, perladangan 12.848 juta, perlombongan 831,700, REIT 16.374 juta dan dana tertutup 74,500. - BERNAMA

Malaysia sedang lalui fasa paling mencabar capai negara maju: Najib

Posted: 05 Oct 2012 03:10 AM PDT

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia sedang melalui fasa paling mencabar kini, yang merupakan pusingan terakhir dalam usaha memartabatkan negara, sebagai negara maju menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mempunyai strategi dan hala tuju yang jelas untuk melalui cabaran itu yang diyakini mampu melonjakkan negara ke kedudukan yang disasarkan.

"Kita tahu bagaimana untuk sampai ke sana. Tapi kita perlu bekerja keras. Fikir secara kreatif untuk sampai ke sana.
"Kita harus memperbaharui azam dan tekad, dengan izin Allah boleh capai impian dan hasrat itu," katanya ketika merasmikan Ekspo MalaysiaKu di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Ekspo tiga hari bertemakan 'Tanah Air yang Dihormati' itu ialah anjuran Unit Perancang Ekonomi (EPU). - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan