Selasa, 2 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Fasa kedua NKRA: Tumpu persepsi keselamatan

Posted: 02 Oct 2012 03:04 AM PDT

KUALA LUMPUR: Fasa Kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengurangkan jenayah pada tahun depan akan memberi tumpuan kepada persepsi orang ramai terhadap keselamatan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, berbanding fasa pertama yang lebih menumpukan kepada statistik, indeks dan sasaran jenayah tertentu, fasa kedua akan menekankan tentang suasana persekitaran dan persepsi masyarakat terhadap keselamatan di sekeliling mereka.

"Isunya sekarang bukan lagi dari segi indeks jenayah jalanan. Tapi ia lebih kepada persepsi, perasaan dan realiti. Ia berubah mengikut tuntutan semasa.
"Kita harap dengan perubahan ini, rasa bimbang tentang keselamatan orang ramai dapat dikurangkan.

"Ini semua akan kita bincang dan umumkan dalam fasa kedua NKRA jenayah tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas menutup mesyuarat khas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dan timbalannya, Tan Sri Khalid Abu Bakar, pesuruhjaya polis, ketua-ketua polis negeri dan komander di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dekat sini hari ini.

Hishammuddin berkata pelaksanaan fasa kedua NKRA Program Transformasi Kerajaan (GTP) mengurangkan jenayah itu sejajar dengan peruntukan yang diberikan kerajaan dalam Belanjawan 2013, Jumaat lalu.

"Kita akan gunakan sebaik-baiknya peruntukan yang ada termasuk mengerahkan anggota-anggota kita melakukan lebih banyak 'omnipresence' bagi memberi gambaran kepada masyarakat bahawa PDRM komited memerangi jenayah," katanya.
Semasa membentangkan Belanjawan 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan 1,000 buah motosikal dengan peruntukan RM20 juta bagi kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal yang akan ditubuhkan untuk memantau kawasan perumahan.

Selain itu, sejumlah RM70 juta diperuntukkan untuk menambah bilangan anggota Pasukan Sukarelawan Polis (PVR) dan 10,000 orang bagi membantu polis membanteras jenayah.

Peruntukan kepada PDRM itu juga meliputi penambahan 496 unit sistem kamera litar tertutup (CCTV) di 25 buah Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negara.

Sementara itu, Ismail berkata cabaran utama PDRM ketika ini, terutama dalam memasuki fasa kedua NKRA, adalah meningkatkan persepsi masyarakat terhadap usaha yang dilakukan PDRM membendung jenayah di persekitaran mereka.

"Kita harap dengan 1,000 buah motosikal untuk tujuan rondaan di kawasan perumahan akan dapat dimanfaatkan terutamanya dalam membuat rondaan di kawasan-kawasan panas, yang selalu menjadi rungutan orang ramai, khususnya di Lembah Klang.

"Kita akan mengarahkan anggota-anggota kita membuat rondaan secara berpasangan bagi membendung jenayah sekaligus meningkatkan persepsi positif di kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata Pengarah Logistik PDRM juga diarah berjumpa dengan pihak KDN dalam masa terdekat agar dapat mempercepat proses perolehan unit rondaan bermotosikal berkenaan. - BERNAMA

Fatimah Hamid Don penerima anugerah Tokoh Wanita 2012

Posted: 02 Oct 2012 03:01 AM PDT

PETALING JAYA: Tokoh pendidikan terulung negara, Puan Sri Dr Fatimah Hamid Don tidak menyangka jasa beliau membantu pembangunan bidang pendidikan negara masih dihargai apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Wanita 2012 pada sambutan Hari Wanita peringkat kebangsaan yang diadakan di sini, hari ini.

Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga pemangku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sempena majlis sambutan Hari Wanita 2012 peringkat kebangsaan di sini.

Mengimbas kembali kemajuan yang dicapai kaum wanita di negara ini, Fatimah yang juga wanita Melayu pertama mendapat Ijazah Doktor Falsafah (Phd), berkata beliau gembira dengan pencapaian wanita masa kini, yang mampu bersaing dengan lelaki dalam pelbagai bidang termasuk bidang kerjaya yang sebelum ini dikuasai golongan lelaki seperti sektor korporat.
"Wanita sekarang lebih maju dan saya kagum dengan mereka. Lepasan universiti juga ramai terdiri daripada golongan wanita. Mereka ini bukan sahaja mempunyai kerjaya, tetapi pada masa sama menjaga keluarga.

"Ini sesuatu yang tidak pernah saya impikan," katanya ketika ditemui pemberita.

Tokoh berusia 79 tahun itu juga menasihatkan golongan wanita untuk terus berani merebut peluang untuk memajukan diri memandangkan kerajaan banyak menyediakan peluang untuk memastikan wanita tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

"Wanita harus meneruskan perjuangan. Jika mereka mempunyai minat dan kebolehan, mereka harus terus berjuang dan hadapi cabaran baru untuk menambahkan pengetahuan. Wanita perlu berani merebut peluang yang ada," katanya.
Sambutan Hari Wanita juga mempunyai nilai tersendiri buat Fatimah memandangkan beliau terlibat secara langsung pada sambutan Hari Wanita pertama di Malaysia, iaitu pada 25 Ogos 1962.

"Hadir pada hari ini membuatkan saya teringat kenangan menyusun kerusi beramai-ramai pada jam 4 pagi untuk dijadikan tempat duduk mereka yang hadir, dan kami berjaya menjemput Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk hadir ke sambutan itu," katanya.

Pemberian anugerah ini lebih manis untuk Fatimah apabila beliau berkongsi pentas dengan dua lagi sahabatnya yang turut sama memperjuangkan hak wanita sejak era kemerdekaan, iaitu Datuk F.R Bhupalan dan Puan Seri Sukumari Sekhar.

Bhupalan, 85, yang juga seorang guru mencatat sejarah sebagai pengasas, pendorong dan penggerak kepada beberapa pertubuhan wanita termasuk penubuhan Kesatuan Guru-Guru Wanita untuk semua guru wanita tanpa mengira bangsa atau cara latihan yang diterima oleh seseorang guru.

Ibu kepada tiga anak itu juga diingati atas nasihatnya yang kekal digunakan iaitu, "adalah penting bagi seorang wanita bekerjaya dan berkeluarga untuk mencari keseimbangan dalam karier, keluarga dan tanggungjawab kemasyarakatan untuk kehidupan harmoni".

"Ada wanita yang mempunyai pendidikan tinggi tetapi memilih untuk tidak bekerja untuk menjaga anak. Wanita sebegini seharusnya membuat pilihan yang bijak. Kami pada masa dahulu juga membesarkan anak, tetapi tetap tidak mahu ketinggalan menyumbangkan jasa kepada negara," katanya.

Beliau juga menasihatkan wanita yang berhadapan dengan diskriminasi di tempat kerja agar tidak mudah mengalah kerana perkara itu bukan sesuatu yang baru dan pernah diperjuangkan beliau dan rakan-rakan yang menuntut guru wanita diberi penghormatan dan gaji yang sama.

Sementara itu, Puan Sri Sukumari Sekhar, 79, yang aktif dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia ketika ditemui, berkata wanita masa kini perlu meletakkan diri pada tahap yang sama tinggi dengan lelaki, selain harus berani bersaing.

Selain tiga tokoh itu, anugerah berkenaan turut diberi kepada wanita pertama yang dilantik sebagai Menteri Kabinet Malaysia, Allahyarhamah Tun Fatimah Hashim atas jasa dan pengorbanan beliau dalam memperjuangkan kemerdekaan negara dan memajukan penglibatan wanita dalam bidang politik. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan