Rabu, 17 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


OIC kutuk insiden tembakan terhadap aktivis remaja Pakistan

Posted: 17 Oct 2012 03:20 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk insiden tembakan terhadap aktivis Pakistan berumur 14 tahun, Malala Yousafzai, minggu lalu kerana menyuarakan hak bagi kalangan gadis untuk mendapat pendidikan.

"Perbuatan jenayah seperti itu tidak patut dibiar tanpa hukuman dan perlu dihadapkan ke muka pengadilan," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan, dan turut menegaskan bahawa OIC adalah penyokong kuat kepada hak asasi wanita.

Beliau berkata, OIC menghormati hak asasi manusia, termasuk hak bagi wanita seperti yang diperuntukkan dalam Program Tindakan 10 Tahunnya, Piagam dan Statut Suruhanjaya Tetap dan Bebas Hak Asasi Manusia OIC.
Laporan menyebut Malala ditembak di kepala dan bahagian atas badan oleh penembak Taliban di rumahnya di Lembah Swat dalam satu percubaan bunuh disebabkan sikapnya yang berani berterus terang dan 'mempromosi sekularisme'.

Pada usia 11 tahun, Malala mula menulis blog bagi BBC Urdu tentang hidup di bawah Taliban dan menjadi terkenal pada 2009.

Menggunakan nama samaran Gul Makai, dia menceritakan masalah akibat daripada penguasaan militan ke atas Lembah Swat, iaitu kawasan yang dihuninya sejak 2007, dan mereka turut memerintahkan supaya sekolah bagi pelajar perempuan ditutup.

- BERNAMA

Polis kenal pasti suspek curi Audi R8, Porsche Panamera

Posted: 17 Oct 2012 03:17 AM PDT

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang suspek yang dikenal pasti sebagai Shoo Kar Sin berhubung kes kecurian dua kereta mewah jenis Audi R8 dan Porsche Panamera di ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata polis percaya kes kecurian Audi R8 yang dilaporkan hilang pada 6 Sept lepas mempunyai kaitan dengan kes kecurian kereta mewah jenis Porsche Panamera pada Khamis lalu.

Kereta Audi R8 itu dilaporkan hilang dari sebuah pusat pameran kereta di Chan Sow Lin pada 6 September dianggarkan bernilai hampir RM560,000 manakala Porsche Panamera bernilai lebih RM900,000 dilaporkan dilarikan dari bilik pameran kereta di Jalan Bukit Bintang, Khamis lalu.
Kedua-dua kereta mewah itu masih tidak ditemui sehingga kini, katanya.

Dalam sidang media di sini hari ini, Ku berkata Shoo, warga tempatan berumur 42 tahun, mempunyai rekod jenayah lampau kes curi kereta dan pernah ditangkap sebelum ini.

Beliau berkata siasatan akan dijalankan berdasarkan modus operandi yang sama. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan