Isnin, 1 Oktober 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kate Middleton beri reaksi spontan dalam Facebook BH

Posted: 01 Oct 2012 03:10 AM PDT

KUALA LUMPUR: "Saya amat sedih dengan berita ini. Gambar saya dan Zakwan tersenyum bersama adalah kegemaran peribadi daripada semua gambar sepanjang lawatan rasmi bersempena jelajah (sempena sambutan 60 tahun pemerintahan Ratu Elizabeth II).

"Saya turut berkongsi kesedihan bersama keluarga Zakwan yang melalui detik sukar ketika itu."

(I am incredibly saddened by this news. The photos of Kate & Zakwan smiling together were my personal favorites out of all the pictures taken during the Diamond Jubilee tour. My thoughts are with Zakwan's family during this difficult time.)
Demikian ulasan spontan isteri Putera William, Catherine Middleton yang berkongsi pautan ke dalam dinding Facebooknya selepas gambar beliau bersama Zakwan dimuat naik ke dalam Facebook BH Online.

Gambar Kate bersama Zakwan Anuar, 15, yang meninggal dunia kerana leukemia, semalam, dimuat naik kira-kira jam 4 petang tadi.

Catherine membuat ulasan itu kira-kira sejam selepas gambar terbabit dimuat naik ke dalam Facebook BH Online.

Terdahulu, Catherine melahirkan rasa sedih apabila mendapat berita kematian kanak-kanak pesakit leukemia itu selepas melawatnya ketika kunjungan ke Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pertemuan itu, Kate menurunkan tandatangan pada kad hari jadi Zakwan dan menyifatkan Zakwan seorang yang berani dan tampan.

Kate mengetahui berhubung kematian Zakwan selepas ibunya, Norizan Sulong menghubungi akhbar United Kingdom, The Sun.

Dalam laporan eksklusif The Sun hari ini, jurucakap Istana St James berkata, pasangan diraja Britain itu sedih selepas mendapat berita kematian Zakwan dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya.

Sementara itu, Norizan berkata, semua ahli keluarga berada di sisi Zakwan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

"Zakwan dikelilingi abang, kakak, bapa, datuk, nenek dan rakan sekolahnya. Kami amat merinduinya," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Doktor yang merawat Zakwan menjangkakan beliau hanya mampu hidup untuk tempoh 48 jam sebelum ini.

Bagaimanapun, selepas bertemu dengan Kate untuk tempoh 15 minit, ia memberikan kekuatan kepada Zakwan untuk bertarung selama lebih dua minggu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya.

Narizan juga berkata, beliau dan ahli keluarga mendoakan pasangan diraja Britain itu dikurniakan cahaya mata yang sihat.

Kelewatan pembentangan Laporan Audit perkara biasa: Amrin

Posted: 01 Oct 2012 02:44 AM PDT

KUANTAN: Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkata, pihaknya tiada apa-apa yang hendak disembunyikan berhubung kelewatan pembentangan Laporan Audit Ketua Audit Negara 2011.

Beliau berkata, kelewatan itu adalah sesuatu yang biasa memandangkan Laporan Audit Ketua Audit Negara 2010 dibentangkan dua minggu selepas pembentangan Belanjawan 2012, pada tahun lalu.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz juga meminta pihaknya memberikan sedikit masa bagi membolehkan ruang perbahasan yang lebih panjang diadakan supaya pembentangan laporan audit tidak mencuri tumpuan Belanjawan 2013.
"Kita tidak selindungkan apa-apa, tahun lepas pun kita hanya bentangkan laporan audit selepas dua minggu pembentangan belanjawan, kali ini Nazri meminta Jabatan Audit Negara memberikan sedikit masa untuk pihaknya," katanya kepada pemberita selepas perasmian Hari Audit Se-Malaysia dan Persidangan Juruaudit Sektor Awam 2012 di sini, hari ini.

Ia disempurnakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Baru-baru ini, Mohamed Nazri berkata, Laporan Audit Ketua Audit Negara 2011 akan dikeluarkan seminggu selepas pembentangan Belanjawan 2013.

Mohamed Nazri berkata, ia membolehkan ruang perbahasan yang lebih panjang diadakan supaya pembentangan laporan audit tidak mencuri tumpuan belanjawan selain memberi peluang kepada anggota-anggota Dewan membincangkan dan memberikan lebih fokus tentang kedua-dua perkara itu (pembentangan belanjawan dan laporan audit.)
Dalam perkembangan lain, Ambrin berkata, mana-mana pihak yang terbabit dalam menyalurkan bantuan segera kepada mangsa yang ditimpa bencana atau peristiwa luar jangka seperti banjir perlu memahami dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Jabatan Audit Negara.

Menurutnya pihaknya sentiasa fleksibel dan memahami bantuan segera perlu disalurkan kepada mereka yang terlibat dengan sesuatu bencana atau peristiwa luar jangka.

"Kalau ada sesuatu peristiwa di luar jangkaan berlaku, kita kena fleksibel tetapi orang atau pegawai yang terlibat kena faham SOP di mana mesti ada pernyataan atau rekod apa yang berlaku, jadi kita tahu dari mana duit itu datang dan pergi," katanya.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya, Adnan berkata, pihaknya berkemungkinan tidak dapat mengikut sepenuhnya peraturan yang ditetapkan Jabatan Audit Negara terutama jika berlaku sesuatu bencana yang memerlukan bantuan segera disalurkan.

"Contohnya, dalam keadaan bencana seperti banjir, kita tidak pasti sama ada dapat ikut semua peraturan yang ditetapkan atau tidak dan saya harap Jabatan Audit Negara dapat melihat perkara ini kerana apa yang penting bagi kita adalah bantuan segera kepada mereka yang terlibat dengan bencana," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan