Utusan Online - Utara |
- Kursus dandanan konsep Islam
- 890 kampung dapat lampu jalan
- Hasbullah terima kerusi roda setelah enam tahun menanti
| Posted: Kursus dandanan konsep IslamOleh ANI AWANG
LUMUT 19 Jan. - Kemahiran dalam memajukan sesuatu perniagaan amat diperlukan bagi memastikan bidang yang diceburi itu mendatangkan kejayaan. Bagaimanapun, kemahiran tersebut tidak akan datang bergolek tetapi memerlukan kesungguhan individu berkenaan untuk mencari ilmu dan latihan bagi meningkatkannya. Menyedari kepentingan latihan dalam meningkatkan kemahiran, Akademi Siti Salon menyahut cabaran itu dengan menawarkan kursus bagi melahirkan lebih ramai usahawan dan pemilik salon kecantikan khususnya di kalangan bumiputera. Pengasas akademi itu, Siti Hajar Jamil, 46, berkata, bidang kecantikan mempunyai potensi besar untuk berkembang dan memberikan pendapatan lumayan kepada mereka yang serius mengusahakannya. "Bidang ini masih kurang disertai oleh orang Melayu. Siti Salon berkonsepkan Islam di mana semua perkhidmatan dan latihan menekankan pendekatan nilai-nilai murni mengikut syariat Islam. ''Sebagai contoh, dalam modul mekap pengantin, agama Islam melarang untuk mencabut bulu kening dan di Siti Salon modul tersebut akan diajar menguna kaedah tertentu tanpa perlu mencabut bulu kening tetapi masih akan kelihatan cantik dan menawan," katanya. Menurut Siti Hajar, bidang kemahiran yang khusus ini diadunkan bersama pembentukan jati diri melalui program bina insan. Tegas beliau, latihan yang ditawarkan bukan sahaja terbuka kepada mereka yang masih tidak mempunyai pekerjaan tetap tetapi ia juga sesuai diikuti oleh mereka yang sudah berkeluarga dan lepasan sekolah yang masih belum mendapat tawaran menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT). "Rebutlah peluang ini kerana dengan adanya kemahiran, mereka boleh mengguna pakai di kampus untuk mencari wang tambahan bagi menampung perbelanjaan di universiti tanpa menyusahkan ibu bapa," ujar beliau. Akademi Siti Salon yang beribu pejabat di Seri Manjung dekat sini telah ditauliahkan sebagai Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia sejak 2002. Akademi itu kini mempunyai sebuah cawangan di Johor Bahru dengan menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Bermula 2007, Siti Salon telah menambahkan sayap perkhidmatan dan latihannya dengan menyediakan perkhidmatan dan latihan salon untuk lelaki di premis barunya di Taman Daya, Johor Bahru. Beliau berkata, perkhidmatan dan latihan khusus untuk lelaki dijalankan di premis Ar-Rijal Salon oleh tenaga pengajar lelaki Siti Salon. Tambahnya, Siti Salon bercadang mengembangkan perkhidmatan Ar-Rijal Salon ke seluruh negara tidak lama lagi. Sepanjang penubuhan Akademi Siti Salon beliau berkata, ramai pelajar yang cemerlang dan berketerampilan telah berjaya dilahirkan dan mereka kini aktif bekerja sebagai tenaga kerja mahir ataupun mengusaha salon sendiri di seluruh negara. Siti Hajar berkata, antara kursus yang ditawarkan di Akademi Siti Salon ialah Jurukecantikan Tahap 1 dan 2, Pendandan Rambut Tahap 1 dan 2, Mekap Pengantin, Dandanan Rambut, Kecantikan dan Spa, Kecantikan dan Spa, Dandanan Rambut dan Gunting Rambut (Lelaki). Sesiapa yang berminat untuk mengikut kursus di Siti Salon boleh menghubungi Akademi Siti Salon (Perak) di talian 05-6886020 dan 013-514 2053. | ||
| Posted: 890 kampung dapat lampu jalanOleh Hamden Ramli dan
BAGAN SERAI 19 Jan. - Penduduk di 890 kampung tradisional yang terpaksa bergelap kerana ketiadaan lampu jalan boleh menarik nafas lega apabila kerajaan negeri bersetuju memasang lampu jalan di kampung berkenaan. Dikenali sebagai Projek Lampu Jalan Kampung, projek yang menelan kos RM7.9 juta itu bertujuan meningkatkan kemudahan infrastruktur demi keselesaan masyarakat di luar bandar. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pemasangan lampu jalan yang bermula sejak Disember lalu dijangka siap sepenuhnya bulan depan. ''Sehingga Disember tahun lalu, sejumlah 12,438 mentol sudah diserahkan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk dipasang di semua kampung berkenaan. "Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada dasarnya setuju untuk menanggung kos elektrik bagi lampu yang dipasang," katanya selepas melancarkan Projek Lampu Jalan Kampung dan menyerahkan sijil pemasangan lampu jalan kepada 13 kampung sekitar Mukim Selinsing di Masjid Tebok Haji Dollah Selinsing di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Kampong Tebok Haji Dollah, Yeop Bakri berkata, pemasangan lampu jalan di kampung berkenaan bukan sahaja memberi kemudahan kepada penduduk kampung tetapi dapat menghindarkan gejala tidak sihat. Beliau menambah, penduduk juga berterima kasih kerana memberikan peruntukan RM50,000 untuk membaik pulih Masjid Tebuk Haji Dollah. | ||
| Hasbullah terima kerusi roda setelah enam tahun menanti Posted: Hasbullah terima kerusi roda setelah enam tahun menanti
KULIM 19 Jan. - Penantian seorang buruh selama hampir enam tahun untuk bergerak semula selepas 'hilang' kaki kiri akibat terlibat dalam kemalangan akhirnya tercapai setelah menerima sumbangan kerusi roda atas inisiatif UMNO Bahagian Padang Serai. Hasbullah Hashim, 30, dari Kampung Batu 6, Lunas, penerima kerusi roda itu gembira dan amat terharu kerana masalahnya mendapat perhatian UMNO Bahagian Padang Serai yang memenuhi impiannya untuk bergerak semula. ''Saya sedih apabila memikirkan bahawa saya tidak dapat lagi berjalan seperti dulu setelah kehilangan kaki ini. Namun saya reda dengan ujian besar ini. ''Syukur kepada Tuhan kerana masih ada pihak yang prihatin terhadap nasib yang saya alami. ''Saya sungguh tidak menyangka akan menerima kerusi roda ini memandangkan permohonan untuk mendapatkan bantuan sebelum ini pernah ditolak," katanya pada majlis sumbangan bantuan sempena Program Juara Rakyat, UMNO Bahagian Padang Serai di sini, baru-baru ini. Hadir merasmikan program tersebut ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah. Turut serta Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua UMNO Bahagian Padang Serai, Abdul Rahman Mahamud. Menurut Hasbullah, dia terlibat dalam satu kemalangan semasa menunggang motosikal di Kulim sekitar tahun 2005. "Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan parah dengan kaki kiri pada bahagian betis ke bawah hancur. "Tidak lama selepas itu, doktor mengambil keputusan untuk memotongnya kerana tidak boleh lagi diubati," ujarnya. Tambah lelaki itu, selepas kejadian tersebut, dia tidak lagi mampu bergerak seperti biasa malah terpaksa berhenti kerja. "Saya terpaksa mengharapkan ihsan ibu dan tiga adik yang bekerja kilang," katanya. Hasbullah memberitahu, kadang-kadang dia berasa sedih atas nasib malang yang menimpanya itu. "Mujurlah saya mendapat bantuan orang kurang upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Kulim sebanyak RM300 sebulan selain dibantu adik-adik bagi membiayai bil perubatan," katanya. Sementara itu, Ahmad Bashah berkata, UMNO akan terus membantu mereka yang kurang bernasib baik agar boleh meneruskan kehidupan seperti biasa. Beliau turut menyeru Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan Ketua Cawangan UMNO supaya bertindak proaktif melaporkan masalah yang dihadapi kepada pihak atas untuk tindakan lanjut. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |



Tiada ulasan:
Catat Ulasan