Ahad, 30 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Terlanggar anak sendiri

Posted: 29 Sep 2012 10:13 AM PDT

PADANG TERAP: "Sedangkan kucing pun kalau boleh kita elak, ini kan pula anak sendiri," kata Muhammad Uzair Zul, 22, bapa kepada Auni Iylia Aifa, 13 bulan, yang meninggal dunia selepas digilis kereta dipandu bapanya di pekarangan rumah mereka di Felda Lubuk Merbau, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 petang, kanak-kanak terbabit dikatakan bermain di luar kawasan rumahnya yang terletak bersebelahan stesen minyak milik keluarganya sebelum dilanggar oleh kereta dipandu bapanya yang tidak menyedari kehadiran anaknya.


Menceritakan semula kejadian itu, Muhammad Uzair berkata, dia baru pulang dari Sik ketika itu dan tidak menyangka akan melanggar anaknya sebaik selesai mengisi minyak di stesen minyak keluarganya.

"Sebaik mengisi minyak, saya terus memandu sebelum terdengar satu bunyi seperti terlanggar kerusi.


"Saya segera menoleh ke belakang bagi melihat apa yang dilanggar, namun tiada apa berlaku hinggalah terdetik melihat di bawah kereta lalu ternampak tubuh anak saya di bawah kereta dengan kesan darah yang banyak.


"Ketika itu, saya hanya mampu bertakbir dan menjerit namanya dan meminta tolong ahli keluarga yang berehat di rumah," katanya di rumahnya, semalam.

Dia berkata, ibunya, Jamilah Ahmad, 45, yang berada di dalam rumah ketika kejadian, segera mendukung anaknya menuju ke Klinik Kesihatan Felda Lubuk Merbau, 50 meter dari rumah mereka.


Katanya, anaknya tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia sejurus selepas itu akibat cedera parah di muka dan kepala.

"Saya terkilan namun menerima takdir ini dengan tabah," katanya.


Sementara itu, ibu mangsa, Nor Diana Amira Saidin, 20, berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu manja dan sentiasa berada dalam kawalannya jika bermain di luar rumah.


Namun, katanya, pada petang kejadian dia tidak menyedari anaknya bermain di luar tanpa dikawal dan kejadian yang berlaku benar-benar di luar dugaan serta menyedihkan mereka sekeluarga.


"Saya meraung bagaikan 'dirasuk' selama satu jam sebaik melihat keadaan anak saya yang berlumuran darah sebelum ditenangkan ahli keluarga lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Cam pakaian abang

Posted: 29 Sep 2012 09:41 AM PDT

KUKUP: "Syukur Alhamdulillah, memang benar itu jenazah abang saya," kata adik mangsa lemas, Fatimah Mohd Johari, 41, selepas diminta membuat pengecaman terhadap mayat yang ditemui di hutan bakau di Pulau Kukup, di sini, jam 10.50 pagi semalam.

Fatimah diminta hadir ke jeti Kukup Laut untuk membuat pengecaman selepas dihubungi bomba dan penyelamat yang menemui mayat seorang lelaki terapung di celahan hutan bakau itu.


Menurut Fatimah, dia cam pakaian yang dipakai Isham, 45, walaupun sudah tiga hari tidak bertemu abangnya.

"Sebelum kejadian, sudah tiga hari saya tidak bertemunya. Selalunya, setiap kali abang hendak ke laut, saya akan berjumpanya.


"Bagaimanapun, pada hari kejadian, saya tidak berbuat demikian kerana sibuk dengan kerja. Saya benar-benar kesal kerana tidak berjumpanya pada hari berkenaan," katanya.


Menurut Fatimah, ibunya, Saodah Abdullah, 69, tidak dapat hadir ke jeti Kukup Laut kerana kurang sihat.

"Jenazah abang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Penerok dan terima kasih kepada semua pihak yang membantu mengesan arwah selain memberi sokongan kepada kami sekeluarga," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Balai Bomba Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Zulbahry Sulong berkata, jenazah Ihsam ditemui terapung oleh pihaknya di celah hutan bakau di Pulau Kukup.

"Mayat mangsa yang memakai baju T berwarna merah serta seluar berwarna gelap ditemui 4.8 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.


"Ketika menyusuri perairan Pulau Kukup, kami terlihat objek seperti badan manusia di celah pokok bakau dan apabila dihampiri, ia sah mayat manusia sebelum dicam sebagai Ihsam," katanya di lokasi kejadian.


Menurut Zulbahry, selepas pengecaman, jenazah dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat dan operasi mencari dan menyelamat disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Marin, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung itu ditamatkan secara rasmi pada jam 12 tengah hari.


Kelmarin, mangsa dan rakannya, Khairul Kassim, 27, pergi menjaring ikan di perairan Laut Rambah sebelum mengambil keputusan pulang selepas dilanda ribut.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Tiada ulasan:

Catat Ulasan