Ahad, 23 September 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Ngeh dihentam perwakilan DAP

Posted: 23 Sep 2012 04:15 PM PDT

Konvensyen parti di Perak jadi medan perdebatan masalah dalaman

Kuala Lumpur: Konvensyen DAP Perak Ke-17 di sini semalam menjadi medan kepada ahli parti mengkritik Pengerusinya, Datuk Ngeh Koo Ham, termasuk perbuatannya mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims.

Persidangan disertai 330 perwakilan dari seluruh negeri yang sepatutnya membincangkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 juga bertukar menjadi perdebatan masalah dalaman parti.

Dikritik ahli parti
Seorang perwakilan dari Taman Sejati Sitiawan, membidas Ngeh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sitiawan kerana kenyataannya membangkitkan isu agama Islam menerusi laman Twitter, menjejaskan usaha parti untuk menarik bukan Cina menyertai DAP.

Terdahulu, Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas dikritik oleh Pengerusi Cawangan Lumut, Kong Ying Hwa kerana didakwa menggunakan akhbar Cina untuk mengkritik ahli parti.

Pengerusi Cawangan Desa Manjung, Solaiman O P Syed Ibrahim pula berkata, tidak pernah dalam sejarah parti di negeri itu pengerusi menggunakan media untuk mengkritik ahli sendiri seperti yang berlaku sekarang.

Cawangan Desa Manjung, Lumut dan Kampung Acheh Baru adalah tiga cawangan DAP di daerah Manjung yang dirujuk oleh Ngeh kepada jawatankuasa disiplin parti kerana menganjurkan majlis makan malam mengumpul dana tanpa kebenaran.
Usah pecah-belah ahli

Solaiman berkata, kepemimpinan parti tidak sepatutnya memecah-belahkan perpaduan parti hanya kerana menganjurkan majlis makan malam untuk mengumpul dana.

Pengerusi Cawangan Kampung Cina, Jason Lim pula mempersoalkan kelewatan kepimpinan parti meluluskan penubuhan cawangan baru dan mendakwa ada pihak sengaja berbuat demikian di kawasan yang dianggap bukan 'kem' mereka.

"Ini semua tidak adil menjelang pilihan raya umum," katanya.

Pengerusi Cawangan Chenderiang, Richard Leong, turut membangkitkan isu sama dengan menyatakan beliau sudah bekerja keras membuka cawangan di Tapah tetapi sehingga sekarang tiada surat kelulusan daripada jawatankuasa negeri.

"Kepemimpinan parti meminta ahli melawan musuh di luar tetapi mereka sendiri yang menyerang ahli sendiri," katanya.

Perbahasan panas

Perbahasan yang semakin panas itu memaksa Pengerusi Konvensyen, Ng Wei Aik, menenangkan keadaan dengan meminta mereka berbahas isu nasional dan negeri, manakala semua isu dalaman dibincangkan mengikut saluran lain.

Bagaimanapun, perbahasan isu dalaman yang dianggap memalukan kepemimpinan DAP negeri berterusan sehingga persidangan berakhir jam 3 petang.

Cinta punca ramai gadis lari rumah

Posted: 23 Sep 2012 04:04 PM PDT

Kuala Lumpur: Lari mengikut kekasih dikenal pasti salah satu faktor utama remaja, termasuk gadis sunti yang masih bersekolah rendah lari dari rumah.

Jerat cinta

Mengikut statistik polis bagi tempoh 2010 hingga Jun lalu, bahana cinta itu adalah punca kedua tertinggi mereka yang berumur 17 tahun ke bawah lari dari rumah dengan kebanyakan daripada mereka Melayu.
Daripada 1,309 kes lari mengikut kekasih sepanjang tempoh itu, 97.6 peratus atau 1,278 membabitkan gadis berusia sembilan hingga 17 tahun, berbanding 31 lelaki.

Sebahagian besar adalah remaja berumur 13 hingga 17 tahun, kecuali 14 kes yang semuanya membabitkan gadis sunti berusia sembilan hingga 12 tahun.

Gejala itu makin membimbangkan kerana 549 kes direkodkan tahun lalu berbanding 493 kes pada 2010. Setakat Jun tahun ini pula polis sudah menerima 267 laporan.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan yang diterima oleh polis, punca utama remaja lari dari rumah ialah terpengaruh dengan kawan.
Sebanyak 74 peratus daripada kes terpengaruh dengan kawan membabitkan perempuan atau 1,061 daripada keseluruhan 1,436 kes.

Dua lagi faktor utama ialah mencari kebebasan di luar rumah dan berselisih faham dengan keluarga, di samping punca lain seperti hilang minat belajar, mencari pekerjaan, kurang mendapat perhatian keluarga dan penagihan dadah.

Selain itu, kegagalan dalam peperiksaan turut menjadi alasan lapan remaja perempuan lari dari rumah pada 2010 dan 2011, namun tiada kes dilaporkan setakat Jun lalu.

Lebih mengejutkan, kanak-kanak berumur lapan tahun ke bawah turut mencatat kes lari dari rumah kerana berselisih faham dengan keluarga yang membabitkan dua perempuan pada 2010 dan dua lelaki pada 2011. Selain itu, masing-masing seorang perempuan dan lelaki berbuat demikian setakat Jun tahun ini.

Turut menjadi punca remaja lelaki dan perempuan lari dari rumah ialah mencari kebebasan di luar rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan