Ahad, 30 September 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Bina 5,000 unit PR1MA

Posted: 29 Sep 2012 12:52 PM PDT

SEREMBAN: Selepas membentangkan Bajet 2013 yang mendapat reaksi positif kelmarin, Perdana Menteri pada program Jelajah Janji Ditepati, di sini, semalam, mengumumkan pembinaan 5,000 unit Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Datuk Seri Najib Razak berkata, projek itu dijangka disiapkan dalam tempoh dua tahun di Seremban 2, Rasah, Senawang dan Seremban Utara.


Pengumuman itu disambut tepukan gemuruh lebih 60,000 masyarakat tempatan daripada pelbagai kaum yang hadir.

Beliau berkata, PR1MA adalah satu lagi bukti kerajaan menunaikan janji kepada rakyat dan bukan sekadar memberi janji kosong.


"Kita melihat isu perumahan menjadi perkara yang dekat di hati rakyat, sebab itu kita lancarkan PR1MA. Dalam masa dua tahun lebih ini, sebanyak 5,000 unit rumah akan kita bina.


"Projek PR1MA berharga lebih rendah antara 20 hingga 30 peratus daripada harga pasaran dan akan dijual kepada mereka yang layak," katanya.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin; Pengerusi PR1MA, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).


Najib berkata, projek PR1MA mendapat sokongan penuh kerajaan negeri, sekali gus memudahkan urusan pelaksanaan pembangunannya.

"Adalah penting apabila kerajaan negeri dan Pusat bekerjasama dengan baik, tidak seperti Selangor dan Kerajaan Pusat yang asyik bergaduh saja. Masalah air pun tak selesai," katanya.


Berhubung Belanjawan 2013 yang dibentangkannya kelmarin, Perdana Menteri berkata, pemilihan tema 'Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati' bukan untuk membeli undi dan bukan langkah populis.


Sebaliknya, kata beliau, sebelum dapat mensejahterakan rakyat, negara perlu dimakmurkan dulu dan kerajaan mesti pandai mencari, menjana kekayaan baru bagi memacu pertumbuhan ekonomi pada kadar tinggi supaya kemakmuran dapat dikongsi bersama rakyat.


"Inilah intipati Bajet 2013, kita tak ambil langkah beli undi, tetapi kita memakmurkan negara ketika dunia dalam keadaan tidak menentu, Eropah dengan kemelut ekonominya, Amerika Syarikat dalam kelembapan dan berlaku huru-hara di negara lain.


"Kita menjadi 'oasis' di tengah-tengah kemelut dunia dengan menjadi negara yang dapat menentukan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan," katanya.


Terdahulu, kata Najib, keyakinan dan sokongan pelbagai pihak terhadap Bajet 2013 terserlah apabila menerima banyak komen positif selepas pembentangan selesai, begitu juga sambutan rakyat di sini.


"Apabila sampai di sini, ramai bersalam, tetapi yang bersalaman hari ini (semalam) diikuti ucapan terima kasih. Saya tanyo kenapo? (Saya tanya kenapa?) "Ada yang kata terima kasih kerana BR1M, ada yang kata kerana bonus, pendek kata rakyat hari ini senang dengan bajet dibentangkan," katanya.


Beliau berkata, kerajaan BN berterusan dan berlumba-lumba berbuat kebajikan kepada masyarakat kerana ia tuntutan agama seperti dinyatakan dalam Surah al-Baqarah.


"Dalam surah ini, antara lain Allah berfirman supaya kita bukan saja buat kebaikan, tetapi berlumba-lumba membuat kebajikan.


"Inilah prinsip kerajaan BN hari ini, bukan buat keburukan, bukan tabur fitnah, bukan mencerca, jauh sekali janji yang tidak dapat ditunaikan.


"Apabila janji BR1M, kita bagi. Kita janji (Belanjawan 2013) BR1M 2.0, saya pilih 2.0 sebagai sindiran kepada mereka (pembangkang) sebab mereka buat Bersih 2.0 yang tak bersih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Maut langgar lori rosak

Posted: 29 Sep 2012 12:51 PM PDT

KULAIJAYA: Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan pulang ke kampungnya meninggal dunia selepas melanggar sisi kanan sebuah lori rosak di Kilometer 20.6, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah Selatan di sini, jam 8.50 malam kelmarin.

Mohd Rashid Buyadi, 19, yang tercampak ke lorong kiri jalan turut digilis kenderaan lain dari arah belakang yang gagal mengelak, menyebabkan badannya cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Difahamkan, Rashid yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 adalah penuntut pusat latihan teknikal di Melaka dan dalam perjalanan pulang ke Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi sempena cuti hujung minggu.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, mangsa dipercayai melanggar belakang lori yang ketika itu berhenti di lorong kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/30


Tiada ulasan:

Catat Ulasan