Khamis, 20 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


109 penagih, pengedar dadah ditahan dalam 'Ops Tapis Bersepadu'

Posted: 20 Sep 2012 03:01 AM PDT

KOTA BAHRU: Seramai 109 penagih dan pengedar dadah ditahan dalam 'Ops Tapis Bersepadu' yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bahru, Asisten Komisioner Azham Othman, berkata dalam operasi bermula 12 tengah malam dan berakhir 9 pagi tadi, pihaknya turut merampas 461 pil kuda dan heroin seberat 9.5 gram.

"Kita memeriksa seramai 169 orang dan menahan 109 daripada mereka kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes jenayah lain," katanya pada sidang media di IPD Kota Bahru, hari ini.
Operasi itu disertai 20 pegawai dan 113 anggota membabitkan empat balai polis di daerah berkenaan.

Azham berkata, pihaknya juga merampas wang tunai berjumlah RM8,460, dipercayai hasil jualan dadah.

"Selain itu, polis turut menahan suspek kes waran tangkap, kes memiliki senjata tajam dan menunggang motosikal menggunakan nombor pendaftaran palsu. Kesemua suspek kini ditahan di lokap IPD Pengkalan Chepa untuk siasatan lanjut," katanya.
-- BERNAMA

Iklan jawatan guru J-QAF Ahad ini

Posted: 20 Sep 2012 02:57 AM PDT

GURUN: Pengambilan seramai 3,384 guru J-QAF (Jawi, Al-Quran, Arab dan Fardu Ain) untuk mengisi kekosongan di 2,054 sekolah rendah di seluruh negara akan diiklankan selama dua kali mulai Ahad ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata calon yang berjaya dalam temuduga akan menjalani latihan dua minggu di Institut Pendidikan Guru dan ditempatkan di sekolah-sekolah mulai 2 Januari depan.

"Ini adalah pendekatan jangka pendek yang diputuskan kerajaan untuk mengatasi kekosongan tersebut. Mulai 2 Januari 2013 semua sekolah rendah termasuk di sekolah kebangsaan Jenis Cina dan Tamil akan ada guru J-QAF.
"....kerana isu ini sering dibangkitkan di Parlimen, pendekatan ini adalah yang terbaik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Keibubapaan (Menangani Isu LGBT) di NAZA Automotif di sini, hari ini.

Pengajaran J-QAF bermula pada 2005 namun kekurangan guru di sekolah rendah turut menyebabkan pengajarannya di sekolah menengah yang dijadual bermula pada pertengahan tahun ini ditangguhkan.

Mohd Puad yang juga pengerusi Jawatankuasa Menangani Masalah Kekurangan Guru-Guru J-QAF berkata keputusan itu seiring dengan kehendak kementerian kerana ia berkaitan pendidikan moral pelajar.

Guru-guru ini akan menjalani mode Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah selama satu setengah tahun bermula dari tarikh mereka mengajar. Ini bermakna sambil mengajar mereka belajar, katanya.
Beliau berkata syarat utama ialah calon memiliki ijazah Pendidikan Islam dan umur tidak melebihi 37 tahun.

Seminar Keibubapaan itu dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad bersama Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-Sekolah Putrajaya, dihadiri lebih 1,000 orang pengetua, guru besar dan ibu bapa.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail yang juga pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Sekolah-Sekolah Putrajaya turut membentangkan kertas kerja bertajuk 'Liberalisasi: Cabaran Masa Kini." - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan