Rabu, 26 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


2 sahabat baik ditelan lubuk

Posted: 25 Sep 2012 03:39 PM PDT

BATANG KALI: "Saya lemah lutut dan trauma kerana hanya mampu melihat dua rakan karib tenggelam dan timbul ditelan lubuk pusar tanpa mampu berbuat apa-apa," kata Khairul Anwar Md Asri, 16, menceritakan detik cemas dialami Muhammad Syawal Syahiran Kamarolzaman, 18, dan Alif Anwar Amiruddin, 21, yang lemas ketika mandi di Air Terjun Sungai Kedondong, Jalan Genting Highlands, dekat sini semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 11.57 pagi, ketika dia bersama lapan rakan sekerja lain berkunjung ke pusat perkelahan itu bagi menghabiskan cuti.


Katanya, rakan lain berumur 16 dan 21 tahun yang berada atas tebing juga hanya mampu melihat dua mangsa terkapai-kapai lemas ketika mereka mula turun hendak mandi di kawasan itu. "Saya terkedu dan trauma melihat kejadian berlaku di depan mata itu.

"Saya nampak Alif cuba selamatkan Muhammad Syawal tetapi gagal malah mereka lemas bersama," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam. Menurutnya, pada awalnya, mereka cuba meninjau kawasan cetek dan ketika itu, Alif turun ke sungai sebelum diikuti Muhammad Syawal.


Katanya, mereka cuba mencari kawasan cetek kerana Muhammad Syawal tidak tahu berenang.


Beliau berkata, rakan lain cuba menyelamatkan mereka dengan menghulurkan sebatang kayu tetapi gagal.

Khairul Anwar berkata, sebelum kejadian, Alif sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada teman wanitanya mengatakan dia mahu pergi tanpa menyatakan tempat dituju.


Menurutnya, SMS itu dihantar jam 8.54 pagi sebelum mereka bergerak ke tempat kejadian dari Kuala Lumpur.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Hulu Selangor, Noor Azhar Tajudin berkata, kedua-dua mayat mangsa ditemui pada jarak kira-kira 15 meter dari lokasi mangsa mandi.


Menurutnya, mayat pertama iaitu Alif ditemui jam 12.50 tengah hari dan Muhammad Syawal jam 2.05 petang di celah batu.


Mayat dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.


Bapa Muhammad Syawal yang juga anggota polis bertugas di Brickfields, Koperal Kamarolzaman Ismail, 44, ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik HKKB, berkata, dia bergegas ke HKKB selepas mendapat panggilan daripada isterinya, Laila A Hasan, 41, memaklumkan kejadian malang menimpa anaknya itu.


Katanya, anaknya kerap bercuti ke beberapa kawasan air terjun bersama keluarga setiap hujung minggu dan cuti umum.


"Saya sedih menerima dugaan Allah ini namun pasrah dengan suratan takdir.


"Arwah tidak menceritakan lokasi dituju dan hanya memberitahu ibunya, mahu berkonvoi menaiki motosikal ke Batang Kali," katanya.


Bapa kepada Alif, Amiruddin Hashim, berkata, keluarganya dihubungi rakan anaknya itu pagi semalam dan bergegas ke HKKB untuk mengetahui kejadian sebenar.


Katanya, kejadian malang menimpa anaknya cukup pilu dan bagaikan sukar diterima kerana berlaku terlalu pantas.


"Kami masih tidak percaya apa yang berlaku. Kebahagian keluarga hilang sekelip mata. Tidak sangka cuti anak bertukar mimpi buruk akhirnya.


"Arwah seorang anak bertanggungjawab, penyayang dan kelakar," katanya ditemani isterinya, Seripah Mat Kasim, 43, di sini semalam.


Turut menziarahi keluarga mangsa di sini adalah sepupu Seripah, isteri Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan iaitu Datin Rabiatul Adawiah Arshad.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26


Najib ziarah

Posted: 25 Sep 2012 03:36 PM PDT

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam, menziarahi Ketua Pemuda Umno Bahagian Kepong Datuk Norizan Ali yang dimasukkan ke Hospital Ampang selepas parah ditikam berdekatan rumahnya di Jalan Dagang 2/4 Taman Dagang, Ampang di sini.

Najib tiba di Hospital Ampang pada 6.50 petang dan berada 10 minit bersama Norizan, 41, di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu. — Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/26


Tiada ulasan:

Catat Ulasan