Harian Metro: Mutakhir |
Kumpulan bertopeng rompak kapal minyak di Perairan Tanjung Piai Posted: 23 Sep 2012 04:38 AM PDT JOHOR BAHRU: Sekumpulan lapan lelaki bertopeng, yang bersenjatakan parang dan sepucuk pistol, merompak sebuah kapal minyak di Perairan Tanjung Piai di sini pada 10.30 malam, semalam. Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10.45 malam. "Bertindak atas maklumat, kita telah mengarahkan sebuah bot yang sedang beroperasi di kawasan itu agar ke lokasi kejadian. "Setelah bot APMM merapati kapal tersebut, perompak terbabit berjaya melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketika kejadian, MT Bintang yang didaftarkan di Ulaanbaatar, Mongolia, membawa muatan minyak jenis Marine Fuel Oil sebanyak 7,000 metrik tan. Adon juga berkata pihaknya percaya kumpulan itu cuba mencuri minyak kapal seperti kejadian rompakan ke atas MT Scorpio pada 13 Sept lepas berikutan modus operandi yang sama. Beliau berkata APMM kini giat memburu kumpulan itu dan meminta mereka yang mempunyai maklumat menghubungi agensi tersebut. MT Scorpio, yang didaftar di Tarawa, Kiribati, telah dirompak di perairan sama oleh sekumpulan enam lelaki bertopeng yang kemudian memindahkan muatan minyak kapal itu ke sebuah kapal lain, MT Sea Jade. Ketika APMM tiba di lokasi kejadian, kapten MT Sea Jade dan 12 kru kapal itu masih lagi memindahkan minyak tersebut, namun suspek berjaya melarikan diri. - Bernama Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/23 |
Dua unit rumah pangsa di Lorong Syed Putra Kiri hangus terbakar Posted: 23 Sep 2012 04:37 AM PDT KUALA LUMPUR: Dua unit di bangunan rumah pangsa empat tingkat di Lorong Syed Putra Kiri di Taman Seputeh, di sini hangus terbakar dalam kejadian kira-kira 3 petang tadi. Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Hang Tuah Zuhari Shafie berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran di tingkat tiga itu, yang menempatkan 4 unit rumah pangsa. Ketika kejadian, katanya penghuni di kedua-dua unit yang bersebelahan itu tiada di kediaman mereka kerana bekerja. "Kami terima panggilan pada 3.21 petang sebelum jentera pertama tiba 13 minit kemudian. Api dapat dikawal sepenuhnya 15 minit selepas itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, seorang penghuni di tingkat dua, Maimunah Ahmad Aziz, 52, berkata ketika kejadian, beliau dan suaminya sedang menonton televisyen sebelum terdengar bunyi letupan dari atas rumahnya. "Selepas itu, jiran semua menjerit suruh turun...saya nampak asap tebal dari atas rumah saya," katanya. - Bernama Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/23 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan