Sabtu, 29 September 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Korban’ projek lebuh raya

Posted: 28 Sep 2012 03:31 PM PDT

SELAYANG: Orang ramai yang mendiami kawasan berhampiran projek pembinaan lebuh raya menghubungkan Bandar Baru Selayang ke Bukit Boyan dan Jalan Sungai Tua, di sini, mula bimbang dengan projek itu yang sudah 'mengorbankan' banyak tumbuhan hijau dan menarah sebahagian bukit di situ.

Berdasarkan maklumat yang tertera pada papan tanda, projek lebuh raya itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Selangor dengan melantik Jurumart Sdn Bhd sebagai kontraktor.


Bagaimanapun, projek yang bermula 15 Mac lalu dan dijangka siap pada 25 September tahun depan itu menyebabkan sebahagian bukit di Bandar Baru Selayang ditarah sehingga berlaku hakisan dan pergerakan tanah.

Lebih membimbangkan, kesan pergerakan tanah mula berlaku apabila sebatang pokok besar jatuh dan menghempap dua rumah di Jalan 2/20D menyebabkan kerosakan harta benda penduduk di situ.


Penduduk, Mazuwin Haniza Mohamed Sani, 42, berkata, kejadian itu berlaku pada 20 September lalu jam 4 petang apabila sebatang pokok jatuh ke halaman rumahnya dan menimpa kereta serta atap rumah.


"Biasanya setiap petang saya membiarkan anak bermain di halaman rumah. Alhamdulillah pada hari berkenaan, saya terlalu penat manakala anak pula tidur menyebabkan kami hanya berada dalam rumah.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat dan rumah bergegar seketika sebelum melihat sebatang pokok besar jatuh di halaman rumah," katanya.


Kejadian itu menyebabkan Mazuwin sekeluarga mengalami kerugian lebih RM100,000 akibat kerosakan pada tiga kenderaan, atap di hadapan rumah tertanggal dan kerosakan pada dinding rumah.

Sementara itu, Adun Taman Templer, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, terdapat aliran dan takungan air berlaku di kawasan tapak projek.


"Ini menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan boleh menyebabkan tanah runtuh berlaku di sini. Dalam hal ini, pihak berkuasa baik JKR mahupun MPS perlu memantau kontraktor secara berterusan bagi memastikan setiap projek besar yang dijalankan tidak mengancam keselamatan awam.


"Saya akan membawa perkara ini ke pihak atasan dan meminta JKR menghentikan projek terbabit sementara waktu dan mengarahkan kontraktor melakukan kerja pengukuhan tebing serta membina benteng berhampiran kawasan perumahan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/29


Diskaun 25 peratus cukai taksiran MPAJ

Posted: 28 Sep 2012 03:28 PM PDT

AMPANG: Pemilik pangsapuri kos rendah di Selangor akan menerima diskaun 25 peratus kadar cukai taksiran bermula 1 Oktober ini.

Bagaimanapun, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Hamid Hussain berkata, antara syarat yang perlu dipenuhi termasuk pemilik premis berkenaan tidak mempunyai tunggakan cukai taksiran.


"Pemilik mesti pemastautin atau mendiami pangsapuri berkenaan dan waris juga layak mendapat diskaun.

"Selain itu, hak milik strata mesti dikemukakan sebagai bukti dokumen pemilikan rumah untuk mendapat perakuan sah pemastautin daripada pihak berkuasa seperti Badan Pengurusan Bersama (JMB), Perbadanan Pengurusan (MC), Pesuruhjaya Bangunan (COB) atau Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ, di sini, semalam.


Abdul Hamid berkata, bagi pemilik yang sudah membayar cukai taksiran tahun ini sepenuhnya, pemberian diskaun itu dibawa ke penggal pertama tahun depan.


"Keistimewaan ini diberikan bagi mengurangkan beban hidup penduduk di kawasan perumahan kos rendah," katanya.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya menerima RM6.4 juta cukai taksiran tahunan daripada kadar biasa yang dikenakan kepada penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/29


Tiada ulasan:

Catat Ulasan