Rabu, 26 September 2012

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Jenayah: PDRM perlu lakukan lebih dari sekadar tunjuk statistik

Posted: 26 Sep 2012 12:59 AM PDT

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu melakukan lebih dari sekadar menunjukkan statistik dalam isu keselamatan awam, kata Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata, ini kerana pemerhatian umum mendapati masyarakat yang menyandarkan persepsi mereka kepada kehidupan seharian, masih ragu-ragu bahawa kes jenayah menurun seperti yang dilapor PDRM.

"Bagi tempoh dua tahun lalu, secara keseluruhan polis mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam menurunkan kadar jenayah, namun statistik yang diberi polis dan pihak berkuasa tidak cukup untuk meyakinkan masyarakat," katanya kepada Bernama, di sini.
Usaha memerangi jenayah di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sejak 2010 menunjukkan kadar jenayah di negara ini menurun kepada 11.1 peratus pada 2011 sementara jenayah jalanan pula berkurangan sebanyak 40 peratus.

Statistik PDRM juga mencatatkan untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, kes jenayah keganasan menurun kepada 12,294 kes berbanding 12,446 bagi tempoh sama tahun lepas, sementara jenayah harta benda pula berkurang daripada 9,287 kepada 9,252.

Usaha Malaysia mengurangkan jenayah mendapat pengiktirafan badan dunia termasuk World Justice Project yang meletakkan Malaysia sebagai negara kelas pertengahan atas ke-19 paling selamat di dunia dalam Rule of Law Index 2011 .

Indeks Keamanan Global (GPI) 2011 pula meletakkan Malaysia sebagai negara paling aman di rantau Asia Tenggara dan ke-19 paling selamat daripada 153 negara di dunia.
"Statistik dan laporan ini sememangnya menggalakkan hasil usaha yang dilakukan pihak berkuasa, namun ini sekadar permulaan dan komitmen jangka panjang diperlukan untuk memastikan keadaan ini berterusan," katanya.

Beliau berkata, selain memantapkan strategi membanteras dan mencegah jenayah, polis juga harus menumpukan kepada usaha meningkatkan hubungan dengan orang ramai menerusi komunikasi dan kerjasama dengan mereka.

Pembabitan setiap segmen masyarakat umum juga penting dalam usaha mengekang perbuatan jenayah pada peringkat akar umbi, kata Lee. - BERNAMA

Pegawai kolej swasta didakwa pecah amanah hampir RM500,000

Posted: 26 Sep 2012 12:53 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bahagian sumber manusia di sebuah kolej swasta hari ini mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pecah amanah membabitkan wang pembayaran gaji berjumlah RM495,000 tiga tahun lalu.

Nadiah Kamaruddin, 35, yang bekerja di syarikat Cosmopoint Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini melakukan kesalahan pertama hingga ketiga dengan cara memasukkan wang itu ke dua akaun Maybank dan satu akaun CIMB Bank miliknya antara 29 Mei 2009 dan 10 Februari 2012, berjumlah RM367,746.01.

Bagi dua lagi pertuduhan, ibu kepada empat anak termasuk seorang bayi berusia tujuh bulan itu didakwa melakukan kesalahan serupa membabitkan wang berjumlah RM127,263.78 dengan cara memasukkan wang itu ke akaun Ambank milik suaminya antara 31 Mei 2010 dan 30 Disember 2011.
Nadiah, yang kini digantung tugas, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Cosmopoint Sdn Bhd di Jalan Tiong Nam berdekatan (off) Jalan Raja Laut di sini dan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan, serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan yang memerlukan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali kerana tuduhan yang dihadapinya membabitkan jumlah wang yang besar.

Namun, peguam Mohamad Fozi Zain yang mewakili Nadiah memohon supaya wang jaminan dikurangkan kepada RM15,000 kerana jaminan yang ditawarkan itu adalah diluar kemampuan anak guamnya, dan suami tertuduh pula hanya bekerja di syarikat menjual kereta terpakai.

Hakim Che Mohamad Zulkifly Jusoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan terbabit dan menetapkan 29 Oktober untuk sebutan kes. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan