Sabtu, 2 Julai 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Bas terbalik di lereng bukit

Posted: 01 Jul 2011 12:19 PM PDT

KOTA TINGGI: "Saya sedang tidur apabila bas tiba-tiba terbalik dan dalam masa sama, semua penumpang menjerit. Ketika itu, pelbagai gambaran ngeri bermain di fikiran," kata Siti Maisura Ismail, 20, di sini, semalam.

Maisura yang juga seorang daripada 21 penumpang bas ekspres dari Kuala Terengganu, Terengganu menuju ke Terminal Pengangkutan Awam Larkin di sini, terselamat apabila kenderaan berkenaan terbalik di lereng bukit di Kilometer 47.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, Kota Tinggi, kira-kira jam 6.15 pagi.


Menurut pelajar semester lima, Politeknik Kuala Terengganu dalam bidang Teknologi Maklumat itu, dia mengalami calar di muka dan cedera di tangan kiri akibat kejadian.

"Rakan sekolej, Shazwani Salimin yang berusia 20 tahun tercampak keluar tetapi tidak cedera serius dan dia hanya tersedar selepas terbaring di dalam semak.


"Mangsa lain termasuk saya merangkak keluar dari bas sebelum dibantu orang ramai yang melalui jalan berkenaan," katanya.


Anuar Ibrahim, 24, dari Kuala Terengganu, berkata dia sedar bas itu hilang kawalan sebelum terbalik.

"Bagaimanapun, saya tidak mampu berbuat apa-apa sebaliknya hanya bertawakal kepada Allah.


"Saya keluar melalui tingkap belakang bas dipecahkan. Ketika itu, saya lihat ramai merangkak menaiki bukit dengan bantuan pengguna jalan raya lain," katanya yang dalam perjalanan ke Pasir Gudang bagi mencari pekerjaan.

Sementara itu, guru pengakap dari Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai Hamida, 30-an, berkata, dia mengetuai tujuh pelajar untuk melakukan kerja amal di Setiu, Terengganu selama dua minggu.


"Kami baru selesai menjalankan tugas berkenaan dan tidak sangka terbabit nahas ini. Dua anggota kami hanya mengalami calar," katanya.


Lapan penumpang bas berkenaan termasuk pemandunya yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) oleh orang ramai.


Semua berada dalam keadaan stabil kecuali pemandu bas yang patah bahu dan terpaksa ditahan di wad.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kes Sosilawati bermula Isnin

Posted: 01 Jul 2011 12:18 PM PDT

SHAH ALAM: Kisah tragis, rentetan peristiwa dan motif di sebalik peristiwa pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di sebuah ladang di Banting, tahun lalu bakal tersingkap apabila kes itu mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi, di sini, Isnin ini.

Sekurang-kurangnya 50 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes paling menggemparkan negara sejak pembunuhan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris yang mayatnya dikerat 18 bahagian pada 1993.

Ini kerana empat mangsa dalam kes ini bukan saja dibunuh dengan kejam, malah mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di beberapa anak sungai berhampiran tempat kejadian.

Pendakwaan akan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof dijangka akan memanggil dua pekerja ladang, K Sarawanan, 20, dan U Suresh, 27, yang sebelum ini mengaku melupuskan bahan bukti pembunuhan apabila membakar dan membuang abu mangsa.


Selain itu, pendakwaan pada peringkat awal kes dijangka menampilkan ahli keluarga mangsa termasuk anak sulung Sosilawati, Dekritawati Yuliana Buhari, 26, untuk memberi keterangan.


Selain Ishak, pendakwaan turut dibantu Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.

Manakala, semua tertuduh diwakili barisan peguam, Manjeet Singh, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.

Pada 30 Mac lalu, bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap empat tuduhan membunuh mangsa dalam pembunuhan kejam itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Perbuatan itu dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Anak sulung Sosilawati, Erni sebelum ini berkata, keluarganya menyerahkan kepada pihak berkuasa dan yakin hukuman setimpal akan dijatuhkan terhadap pembunuh ibu mereka.

"Kalau hukuman dunia tidak boleh menghukum mereka, saya percaya Allah akan memberi pembalasan di akhirat kelak," katanya.

Kes pembunuhan itu mendapat publisiti meluas apabila Sosilawati dilaporkan hilang sejak 30 Ogos tahun lalu selepas ke Banting atas urusan pembelian tanah dengan ditemani Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil.

Pada 21 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi satu semakan kehakiman mengubah hukuman penjara tujuh tahun terhadap Sarawanan dan Suresh kepada 20 tahun.

Hakim Datuk Mohtarudin Baki membuat keputusan itu selepas mendapati hukuman dijatuhkan Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting pada 15 Oktober tahun lalu tidak memadai dengan kesalahan melupuskan bahan bukti kes itu.

Kedua-duanya mengaku meletak mayat mangsa di atas longgokan kayu, dicurah petrol dan diesel sebelum dibakar antara jam 8.30 hingga 9.45 malam, 30 Ogos lalu.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di Mahkamah Tinggi 8 mendapati bangku tambahan mula diletakkan di galeri awam untuk menampung kehadiran pemberita dan orang awam yang ingin mengikuti perbicaraan ini.

Kes akan didengar di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Kronologi kes bunuh Sosilawati

30 Ogos 2010: Sosilawati bersama Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil dilaporkan hilang selepas ke Banting atas urusan jual beli tanah. Sosilawati kali terakhir dilihat membeli kerepek di Kampung Sungai Lang, Banting, pada jam 4 petang.

6 September 2010: BMW M5 milik Sosilawati ditemui di parkir Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW milik Ahmad Kamil pula dijumpai berdepan rumah teres berhampiran sebuah hotel di Subang Jaya.

12 September 2010: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin mengesahkan semua mereka dibunuh dengan kejam sebelum dibakar di sebuah ladang, manakala abunya dicampakkan ke sungai berhampiran.

13 Oktober 2010: Pathmanabhan bersama-sama Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan didakwa di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting atas tuduhan membunuh semua mangsa.

15 Oktober 2010: Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadap Sarawanan dan Suresh yang mengaku bersalah melupuskan bahan bukti pembunuhan itu.

18 Oktober 2010: Pathmanabhan gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam yang membatalkan namanya sebagai peguam berdaftar.
2 November 2010: Enam anak Sosilawati memfailkan tuntutan saman ganti rugi bernilai RM60 juta terhadap Pathmanabhan dan lima pekerja ladang yang didakwa terbabit dalam kes pembunuhan ibu mereka.

21 Februari 2011: Mahkamah Tinggi Shah Alam meminda hukuman tujuh tahun kepada 20 tahun penjara kepada Sarawanan dan Suresh kerana melupuskan bahan bukti pembunuhan itu.

3 Mei 2011: Tuntutan wang dan modal pelaburan saham amanah bernilai RM1.38 juta oleh Sosilawati terhadap dengan bekas suami, Nash di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam dihentikan berikutan kematian jutawan itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan