Selasa, 22 Mac 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Elak 'lembu besar'

Posted: 21 Mar 2011 09:21 PM PDT

ALOR SETAR: "Saya ternampak seekor 'lembu besar' berwarna hitam melintas secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal," kata Rashidi Ahmad, pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.

Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.


Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang maut di tempat kejadian.

Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.

Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan 11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.


Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin, 54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.


Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak 'lembu besar' hitam itu, van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.

"Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana tersepit," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela, Langgar, dekat sini, semalam.

Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.


Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari arah Pendang.

Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.

"Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian R&R Bukit Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya duduk di meja lain.


"Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai termasuk ayah," katanya.


Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik ternampak 'lembu hitam' melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu sebaik berada di bahu jalan.


Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.


"Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam dan awal pagi.


"Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mohon maaf sebelum ajal

Posted: 21 Mar 2011 12:55 PM PDT

GUA MUSANG: "Saya tidak sangka, dia (Allahyarham Hasmah Idrus, 28) bersama adiknya, sanggup menunggu kepulangan kami dua beranak daripada melawat sepupunya yang sakit di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, semata-mata untuk memohon maaf.

"Cuma ketika itu, tingkah laku dua beradik yang periang itu bertukar menjadi pendiam ketika bersalaman dan tidak sangka ia pertemuan terakhir," kata Robiah Mat Daud, 50, ibu kepada Hasmah Idrus dan adiknya Siti Aminah, 22, yang maut dalam kemalangan jalan raya, awal pagi semalam.


Perjalanan Hasmah yang juga pegawai bank RHB Kuala Lumpur bersama adik dan sepupunya selepas selesai menghadiri majlis kenduri kahwin di rumah keluarga mereka bertukar tragedi memilukan apabila tiga daripada mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini.

Kemalangan kira-kira jam 12.45 tengah malam itu membabitkan sebuah Perodua Kelisa dinaiki empat sepupu terbabit dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda menyebabkan dua daripada sepupu itu meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi di Hospital Kuala Krai (HKK).


Hasmah dan seorang lagi sepupunya, Shaibah Che Danial, 24, meninggal dunia di tempat kejadian dan adiknya, Siti Aminah disahkan meninggal di HKK.


Adik Shaibah, Syaikhah, 23, yang cedera parah kemudian dihantar ke HKK untuk rawatan lanjut dan dua lagi yang turut cedera termasuk pemandu kenderaan pacuan empat roda bersama seorang penumpangnya berusia dalam 40-an, dirawat di hospital sama.

Kejadian itu berlaku ketika kereta dinaiki empat sepupu itu dalam perjalanan dari Kampung Pasir Era, Kuala Krai ke Kuala Lumpur sebelum bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki pasangan suami isteri dari arah bertentangan.


Dua mangsa tercampak keluar dari kereta Perodua Kelisa yang berpusing di tengah jalan ketika kemalangan berlaku, manakala Hasmah yang juga pemandu kereta berkenaan tersepit di tempat duduk dan terpaksa mendapat bantuan anggota bomba untuk mengeluarkan mayatnya.

Robiah berkata, empat sepupu itu pulang ke kampung berkenaan enam hari lalu untuk menghadiri majlis kenduri menyambut menantu abang sulung Hasmah, Abdul Wahid, 30, pada Sabtu lalu di Kampung Pasir Era, Kuala Krai.


Katanya, semua sepupu terbabit bertolak lewat kira-kira jam 10 malam kelmarin untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana menunggu kepulangannya daripada melawat seorang anak saudara yang sakit di HUSM, Kubang Kerian bersama Abdul Wahid.


"Sebaik kami tiba di rumah, arwah terus bersalam dengan memohon maaf untuk pulang ke Kuala Lumpur dan tidak sangka kesungguhannya bersalaman menjadi detik terakhir saya bersama dua beradik berkenaan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen