Selasa, 29 Mac 2011

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


Lebih 100 aktivis anjur demo anti-sisa radioaktif

Posted: 29 Mar 2011 07:02 PM PDT

Kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan simpang masuk ke bangunan parlimen bagi membantah pembinaan pusat pemprosesan tanah jarang (rare earth) yang paling besar di dunia di Gebeng, Kuantan.

NONEMereka bimbang kemungkinan penyebaran sisa radioaktif yang bakal dihasilkan selepas projek bernilai RM700 juta itu beroperasi.

Sebanyak empat buah bas membawa membawa aktivis yang membantah pusat penapisan yang sedang dibina oleh syarikat Australia, Lynas Corp.

Penunjuk perasaan ini tiba di persimpangan parlimen sekitar jam 9.20 pagi. Mereka kemudian mengadakan perbincangan dengan seorang pegawai polis.

NONEHasil perbincangan, seramai 10 orang dibenarkan masuk ke parlimen, manakala penyokong lain dibenarkan berbaris di sepanjang jalan tanpa menganggu lalulintas.

Mereka juga mengibarkan poster dan kain rentang yang berbunyi: "Stop Lynas", "Hentikan Lynas".

Kira-kira jam 9.40 pagi, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh keluar berbincang dengan seorang pegawai polis dan mendakwa kawasan tempat penyokong berkumpul adalah tidak selamat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mereka erpindah ke tempat yang lebih selamat iaitu di atas pembahagi jalan masuk menuju ke parlimen.

NONEPihak polis membenarkan mereka menukar lokasi tetapi dengan syarat beberapa kain rentang tidak diboleh dikibarnya.

Sebaliknya mereka hanya dibenarkan membawa sepanduk dan poster.
Antaranya berbunyi " Stop Lynas", "Selamatkan Kuantan" .

Penunjuk perasaan akur dengan arahan tersebut.

Beberapa minit kemudian, polis mengarahkan mereka pula supaya tidak lagi mengibarkan poster. Sekali lagi, aktivis berkenaan akur dengan larangan berkenaan.

NONEKumpulan itu berbaris sehingga jam 10 pagi.

Semua aktivis yang membantah pembinaan loji penapisan itu kemudiannya mula bersurai dan menuju ke hadapan pintu masuk tugu negara - tempat mula-mula mereka berkumpul.

Seramai lima anggota Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) yang diketuai oleh pesuruhjayanyanya, Mohamad Shaani dan perwakilan daripada Majlis Peguam turut hadir bagi memantau bantahan itu.

Kira-kira 40 anggota polis kelihatan mengawal dan memantau keadaan sekitar.

NONEPerhimpunan hari ini diadakan secara aman. Tiada insiden yang tidak diingini dilaporkan.

Pada 23 Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Maximus Ongkili berkata kerajaan memberi jaminan bahawa pembinaan loji pemprosesan logam radioaktif di Gebeng, itu adalah selamat dan tidak membahayakan kesihatan awam.

Katanya, sisa-sia yang akan dikeluarkan atau terhasil daripada pengilangan bahan mentah daripada loji Syarikat Lynas itu hanya mengandungi tahap bahan radioaktif yang rendah.

NONE"Berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sisa seperti ini ditakrifkan sebagai bukan sisa radioaktif tetapi merupakan sisa industri yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi," kata Ongkili.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Vanezis: Teoh mungkin alami kecederaan

Posted: 29 Mar 2011 08:18 AM PDT

Teoh Beng Hock mungkin mengalami beberapa kecederaan lebam sebelum jatuh sembilan tingkat dua tahun lepas, demikian suruhanjaya diraja yang menyiasat kematian setiausaha politik itu, diberitahu hari ini.

azlanPeguam Majlis Peguam Christopher Leong turut menyarankan kepada pakar patologi forensik profesor Dr Peter Vanezis yang Teoh mungkin
telah menerima "satu atau dua pukulan" pada bahagian dada sebelum jatuh.

Dr Vanezis berkata beliau tidak boleh mengetepikan kemungkinan boleh jadi berlaku satu atau dua pukulan yang boleh mengakibatkan kesan lebam ringan pada bahagian dada.

Bagaimanapun, kesan lebam pada dada, serta lebam di kawasan leher dan retak halus pada tengkorak, tidak cukup jelas untuk membuktikan Teoh telah dipukul, kata Dr Vanezis, yang berpendapatnya bahawa ia mungkin kecederaan yang dialami sebelum jatuh.

Teoh, setiausaha politik kepada ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ialah saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam penyiasatan berkaitan dengan dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan negeri.

Mayatnya ditemui di tingkat lima, selepas berada semalaman di tingkat 14 yang menempatkan pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

Dr Vanezis yang sebelum ini telah memberi keterangan dalam inkues kematian Teoh, menolak saranan bahawa Teoh telah dicekik dan membuat kesimpulan bahawa Teoh sedar sepenuhnya ketika jatuh.

SPRM menggunakan khidmat Vanezis sebagai seorang perunding bebas dan beliau menyokong teori pakar patologi kerajaan, Dr Khairul Azman Ibrahim and Dr Prashant Naresh Sambekar bahawa kematian Teoh ialah satu perbuatan membunuh diri. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa suruhanjaya siasatan hari ini diberitahu tengkorak mangsa retak mungkin akibat jatuh dari tempat tinggi serta tekanan berlebihan.

Dr Vanezis, yang turut menyiasat kematian Puteri Diana berkata kecederaan itu mungkin disebabkan tekanan permukaan rata.

Menurutnya, perkara sama juga boleh menyebabkan kecederaan pada tulang paha mangsa, bahagian bawah dan atas tubuhnya, termasuk kerosakan tisu di bahagian terbabit.

Menjawab soalan Christopher sama ada keretakan tengkorak Teoh adalah disebabkan pukulan objek tumpul, Dr Vanezis berkata tidak ada petunjuk mengenai perkara itu.

Dr Vanezis juga berkata beliau tidak setuju dengan teori ahli patologi Thailand Pornthip Rojanasunand bahawa kesan lebam pada leher mangsa adalah disebabkan oleh cekikan.

"Tidak ada keterangan bahawa leher Teoh telah ditekan, yang selari dengan kesan cekikan. Kesan lebam di leher adalah sebahagian daripada kecederaan keseluruhan akibat jatuh dari tempat tinggi," katanya.

Dr Vanezis, dan Pornthip, yang dilantik kerajaan negeri Selangor, meneliti laporan bedah siasat kedua mayat Teoh yang digali semula November lepas.

Ahli patologi Britian itu berkata tidak ada kesan jari di leher dan pendarahan di mata jika si mati dicekik.

Kepada soalan pegawai pengendali Amerjeet Singh, Dr Vanezis, saksi ke-27 berkata jika leher mangsa dicekik, tanda-tanda asphyxia akan kelihatan, namun ia tidak ada dalam kes ini.

Beliau juga memberitahu suruhanjaya bahawa keretakan tulang menunjukkan mangsa menggunakan kaki untuk mendarat apabila jatuh, dan ini menunjukkan si mati masih sedar ketika jatuh.

Kepada soalan pengerusi suruhanjaya Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen sama ada mangsa mungkin tergelincir daripada tingkap, Dr Vanezis berkata beliau dimaklumkan terdapat kesan tapak kasut pada cermin tingkap dan Teoh mungkin duduk seketika di situ sebelum terjun.

Merujuk kesan lebam di dada Teoh, Dr Vanezis berpendapat ia disebabkan oleh tekanan pakaian mangsa.

Beliau turut menyifatkan teori Leong bahawa seseorang memberikan bantuan pernafasan kepada Teoh sebagai 'amat mustahil'.

Selain Foong, anggota suruhanjaya itu terdiri daripada bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, ahli patologi forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Dekan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Professor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu pada 25 Jan lepas bagi menyiasat kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka dalam kes itu.

Prosiding disambung esok.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan