Isnin, 28 Mac 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Di mana ketelusan Pas?

Posted:

Di mana ketelusan Pas?

Di mana ketelusan Pas?

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Para pemimpin NGO sekitar Pulau Pinang mengadakan perhimpunan mendesak penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan video seks melibatkan pemimpin pembangkang di Pulau Pinang, kelmarin.


KITA tidak harus melupakan bahawa dalam kamus politik Pas, ada dua tindakan mereka yang cukup sinonim dengan parti itu, pertamanya solat hajat dan kedua menggesa ditubuhkan suruhanjaya diraja apabila ada isu.

Tetapi sejak kebelakangan ini, Pas tidak lagi bersikap demikian termasuklah dalam isu terbaru berhubung rakaman video seks yang melibatkan seorang pemimpin pembangkang.

Pas bukan sahaja awal-awal lagi menganggap ia konspirasi politik malah menolak cadangan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes itu. Malahan Pas juga tidak kedengaran untuk mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk Allah berikutan isu terbaru yang timbul.

Ia berbeza dengan apa yang berlaku pada tahun 1998, apabila Pas beria-ia menganjurkan solat hajat di pusat tarbiyahnya di Taman Melewar dan mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan.

Entah mengapa kali ini, Pas tidak lagi bersikap telus, sebaliknya tindakan Pas dilihat lebih banyak meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya. Sebab itulah pemimpin Pas boleh mengeluarkan kenyataan bahawa penubuhan suruhanjaya diraja hanyalah mengarut selagi situasi sebenar tidak diketahui.

Apa yang anehnya, Pas sendiri sebelum ini begitu beria-ia benar bersetuju mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock kononnya atas alasan mencari kebenaran.

Namun kenapa dalam isu terbaru ini desakan penubuhan suruhanjaya tersebut dianggap 'mengarut'? Sedangkan kita masih ingat suatu ketika dulu apabila timbul isu, Pas bukan sahaja membuat desakan melalui kenyataan akhbar atau di dalam Dewan Rakyat malah mengadakan siri ceramah.

Namun kini segalanya sudah berubah. Ternyata ikatan setiakawan yang diwujudkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP seolah-olah 'mengunci langkah' Pas untuk menyatakan kebenaran.

Pas tidak mahu membuat tindakan yang dilihat akan menjejaskan hubungan dengan kedua-dua parti berkenaan yang sudah 'membuaikan' Pas dengan impian ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Pas tidak mahu peluang politik tersebut terjejas jika apa yang didakwa melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang menjadi kenyataan.

Justeru pemimpin-pemimpin Pas di peringkat pusat 'bersilat lidah' bagi menafikan sebarang usaha yang memungkinkan kebenaran boleh dicapai tetapi dilihat tidak akan menyebelahi mereka.

Semua ini sebenarnya merugikan politik Pas itu sendiri. Sudah pasti ramai yang akan melihat Pas bukan lagi memperjuangkan sesuatu perkara berlandaskan kepada kebenaran tetapi lebih kepada keuntungan politik.

Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sepatutnya Pas bertegas dalam soal melibatkan moral mana-mana pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Ramai tertanya-tanya bagaimana jika video seks itu dikaitkan dengan pemimpin kerajaan atau tepat lagi Barisan Nasional (BN), apakah Pas akan mendiamkan diri dan membantah sebarang usaha menubuhkan suruhanjaya diraja?

Sudah pastilah Pas tidak akan membantah sebaliknya akan berterusan bersama-sama dengan PKR dan DAP melakukan desakan kerana percaya ia akan menguntungkan politik pembangkang.

Ia sudah dibuktikan dalam beberapa kes sebelum ini termasuklah berhujah, Islam membenarkan kita mendedahkan peribadi seseorang demi mencari pemimpin yang baik tetapi apabila tercetus isu video seks terbaru ini, Pas seolah-olah menghapuskan sikap telusnya. Soal mencari kebenaran tidak diperkatakan sebaliknya di kalangan mereka menganggap ia taktik politik yang cukup menjijikkan.

Kita tidak faham kenapakah apabila timbul sahaja perkara berkaitan dengan pembangkang ia dianggap konspirasi, fitnah dan berniat jahat, sedangkan kalau sesuatu isu itu melibatkan kerajaan maka pembangkang akan menerimanya sebagai satu fakta biarpun ada antaranya hanyalah fitnah.

Berikutan sikap Pas yang dilihat semakin menenggelamkan sikap telusnya sebagai sebuah parti Islam itulah yang menyebabkan ada desakan supaya Pas menyatakan pendirian secara terus-terang dalam isu terbaru ini.

Mereka tidak mahu Pas yang melaungkan slogan-slogan Islam seolah-olah tidak mahu mencari sebuah kebenaran tidak kira sama ada ia memihak kepada politik pembangkang atau tidak.

Sebenarnya, berdasarkan kepada maklumat yang diterima di peringkat akar umbi Pas, mereka semakin tawar untuk menyokong langkah parti itu terus bekerjasama dengan PKR. Ia disebabkan dengan pelbagai kemelut yang berlaku melibatkan pemimpin-pemimpin parti berkenaan ia turut menjejaskan imej Pas.

Pas masih belum mahu melihat bagaimana tindakan mereka terlalu bersekongkol dengan PKR dan DAP telah memungkinkan parti itu tewas dalam empat pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini.

Dan kini Pas akan menerima padahnya lagi jika mereka terus tidak konsisten dalam isu-isu berkaitan menegakkan kebenaran.

Kalau benar Pas jujur, sudah pastilah parti itu tidak akan awal-awal lagi menganggap apa yang terjadi konspirasi sebaliknya akan berusaha menggesa supaya segala langkah dilakukan bagi membuktikan apa yang berlaku satu konspirasi atau kebenaran.

Pada masa ini, Pas mengambil jalan selamat dengan meminta polis menjalankan siasatan terperinci tetapi soalnya jika siasatan polis tidak menyebelahi pembangkang adakah Pas akan menerima keputusan berkenaan. Adakah ketika ini Pas akan menyebelahi PKR atau bersetuju dengan siasatan polis biarpun mereka tahu ia tidak akan menguntungkan pembangkang?

Justeru adalah wajar jika Pas berhenti daripada terus berdolak-dalih dalam isu terbaru ini. Keadilan dan kebenaran bukan hanya berhak dikuasai oleh pembangkang sahaja tetapi juga pihak-pihak lain di luar lingkungan parti itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Industri kreatif erat persahabatan

Posted:

Industri kreatif erat persahabatan

Industri kreatif erat persahabatan

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my


Muhammad Takari (kiri), Zainal Kling dan Abu Hassan Hasbullah di majlis Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia Siri II di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.


Jika membangkitkan isu hubungan Malaysia dan Indonesia, mungkin ada di antara kita berfikiran bahawa untuk apa dibicarakan sesuatu yang pada dasarnya tidak ada perbezaan. Kedua-dua negara ini masing- masing berbangsa dan berketurunan yang satu iaitu Melayu, bertutur pula dalam bahasa yang serupa sehingga berkongsi sebahagian adat dan budaya.

Tambah menguatkan lagi integrasi ini ialah atas kepercayaan agama suci Islam di samping mengasaskan sistem pendidikan pondok sebagai salah satu bentuk penyebaran Islam. Jadi di mana timbulnya perbezaan itu? Unsur persamaan yang disebutkan tadi sepatutnya tidak menjadi satu perkara utama yang menjadi punca perbalahan.

Sekiranya disoroti kembali sejarah pertembungan persefahaman ini dikatakan berlaku pada sekitar tahun 1980 an sehingga awal tahun 2000. Ianya berlarutan sehingga ke generasi alaf baru apabila perasaan kebenciaan itu cuba disebarkan oleh pihak yang tidakbertanggungjawab termasuk media massa.

Pemikiran tidak sihat itu telah mencetuskan suasana getir apabila beberapa kumpulan rakyat Indonesia melancarkan serangan terhadap Malaysia seperti ''Ganyang Malaysia" termasuk bertindak membakar bendera kita.

Namun, Malaysia tidak mudah melatah di atas perbuatan itu. Malah titik penyelesaian cuba dicari agar permasalahan hubungan antara negara berjiran ini tidak berlarutan.

Atas kepentingan itulah Forum Setiakawan Malaysia-Indonesia anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Utusan Malaysia dianjurkan pada Sabtu lalu.

Utusan Malaysia tampil menjadi peneraju dalam mencetuskan hubungan baik ini sehingga diakui Pensyarah Fakulti Sastera Universitas Sumatera Utara Medan, Dr. Muhammad Takari yang menjadi ahli panel forum itu.

Menurut beliau, media massa memainkan peranan penting dalam mendukung keserumpunan Malaysia dan Indonesia, justeru akhbar Utusan Malaysia menjadi peneraju dalam mengukuhkan perhubungan itu melalui penganjuran forum tersebut bagi membincangkan persamaan antara kedua-dua negara.

''Media massa Indonesia agak jarang mengambil langkah sebegini malah mereka memanipulasi beberapa isu antara dua negara,'' jelasnya.

Forum yang dianjurkan kali ini ingin mencari persepakatan untuk memamajukan masa depan daripada hubungan perbezaan itu kepada persamaan pada generasi kini. Ini kerana perbalahan antara isu bahasa, budaya, adat dan tradisi itu sudah menjadi klise dalam pemikiran generasi baru.

Dalam konteks itu, pembangunan industri seni antara kedua-dua negara boleh menjadi salah satu usaha penyatuan penting memandangkan genenarasi terkini lebih liberal serta relaktif yang berpandangan bahawa isu-isu sebelum ini adalah isu hipokrit.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Hasbullah, golongan muda lebih berfikiran terhadap langkah strategik bagi mengatasi permaslahan tersebut iaitu menerima budaya popular sebagai asas baru kepada hubungan kedua-dua ini.

Ia sekali gus memberi satu suara kepada golongan muda bahawa mereka boleh bercantum dalam sebuah industri yang menyebabkan mereka akan lupa bahawa pernah wujud perbezaan di atas isu-isu itu dalam kehidupan mereka.

''Budaya popular akan menjadi nilai baru kepada budaya tradisi yang telah dikongsi bersama yang sekarang ini menjadi punca perpecahan.

''Karektor Upin dan Upin serta ikon penyanyi Siti Nurhaliza yang kini diterima di Indonesia menjadi roh dan aset baru dalam memulihkan kembali hubungan kesetiakawanan ini," katanya yang turut menjadi ahli panel pada forum itu.

Berikutan itu, katanya, penggabungan budaya boleh diterjemahkan melalui industri kreatif sehingga mampu menubuhkan sebuah syarikat korporat yang bekerjasama antara dua negara. Elemen wayang kulit yang dicetak di sehelai baju T sekali gus dipasarkan di negara masing-masing boleh diambil sebagai contoh.

Elemen budaya popular ini tidak harus berkisar kepada pencetakan baju T sahaja atau pembuatan rantai kunci, reka bentuk fesyen kasut dan sebagainya, tetapi pembikinan filem juga boleh dihasilkan sekali gus diedarkan di kedua-dua negara.

Seniman negara, Senator Tan Sri Jins Shamsudin turut melontarkan idea yang sama pada forum itu. Malah, usaha merapatkan jurang persefahaman Malaysia dan Indonesia sudah dijayakan oleh pembuat-pembuat filem melalui penubuhan Persatuan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai).

Harapan Jins hanya satu iaitu filem-filem antara negara serumpun ini diteruskan kerana ia boleh menggambarkan sebagai satu bangsa dan satu keturunan agar sejarah terdahulu tidak dilupakan.

''Kita perlu membuat sejarah filem berhubung Malaysia dan Indonesia supaya anak-anak muda tahu perjalanan sejarah kedua-dua negara ini yang boleh dilihat sebagai hubungan adik-beradik sekali gus menggambarkan hubungan budaya, bangsa dan bahasa.

''Namun, di samping pembuat filem perlu ada pengedarnya kerana filem-filem kita tidak banyak ditayangkan di negara seberang, begitu juga sebaliknya," katanya.

Selain pembikinan perfileman, elemen sukan juga boleh menjadi faktor penyatuan kerana adanya nilai budaya popular. Lihat sahaja peminat bekas pemain kebangsaan, Safee Sali yang kini berhijrah ke sebuah kelab di Indonesia sekali gus beban perbezaan dapat dikurangkan.

Justeru, industri kreatif boleh memainkan peranannya apabila para intelektual mampu merangka rencana strategik bagi membolehkan pendidikan bidang indusri kreatif kedua-dua negara ini berlangsung dengan cemerlang.

Pelajar Indonesia boleh datang ke Malaysia untuk mempelajari budaya dan atmosfera di sini yang boleh digarapkan melalui filem, begitu juga pelajar kita yang akan ke sana atas tujuan yang sama.

Mengulas lanjut, Abu Hassan berkata, golongan baru akan terlibat secara total dan praktikal melalui penggabungan antara pelajar dan pelajar.

''Dalam hal ini kita boleh mengambil contoh bagaimana penulis JK Rowling dapat menyatakan seluruh dunia melalui bukunya Harry Porter, begitu juga wayang kulit di suatu ketika dahulu. Begitu juga perbalahan negara eropah sebelum tertubuhnya kuasa eropah yang akhirnya dapat bercantum melalui proses pembudayaan semula.

''Kejayaan silam itu tidak diteruskan akibat kealpaan di peringkat intelektual yang mana telah banyak membahaskan teks tetapi tidak membahaskan strategik hubungan antara kedua-dua negara secara praktikal," katanya.

Persoalannya di sini, bagaimana kita mahu mencari jalan terbaik untuk membina kerjasama antara kedua-dua negara ini yang boleh diambil alih peranannya oleh generasi baru kini. Ada harapan akan muncul melalui pembangunan industri kreatif itu yang boleh menyelesaikan perselisihan.

Buat masa ini, beberapa nama boleh menjadi penggerak budaya popular itu seperti Siti Nurhaliza mampu menjadi penghubung kepada keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia menerusi seni yang diperjuangkannya selama ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan