Rabu, 30 Mac 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Bengkel besi didakwa curi air diserbu Sains

Posted:

Bengkel besi didakwa curi air diserbu Sains

Bengkel besi didakwa curi air diserbu Sains


Dua kakitangan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) memotong sambungan haram yang dibuat oleh sebuah bengkel besi di Kampung Jiboi, Seremban, semalam.


SEREMBAN 29 Mac - Bahagian Penguat Kuasa Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) bertindak menyerbu sebuah bengkel besi di Kampung Jiboi di sini kerana dipercayai mencuri bekalan air.

Serbuan yang dilancarkan pukul 12 tengah hari itu dijalankan oleh Unit Penguatkuasaan Sains dan turut disertai beberapa pegawai Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pengurus Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Sains, Azlan Abdul Aziz menjelaskan, serbuan itu dilakukan di sebuah bengkel besi yang terletak di belakang sebuah rumah penduduk di kampung itu.

''Berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, kita mendapati premis itu membuat sambungan jenis 'T' secara haram menggunakan paip bersaiz 20 milimeter tanpa melalui meter.

''Hasil siasatan juga mendapati pemilik bengkel besi tersebut menggunakan air berkenaan untuk kegunaan harian premis terbabit," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Azlan turut menjelaskan, ketika serbuan dilakukan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an dipercayai pemilik bengkel dan beberapa pekerjanya berada di premis berkenaan.

''Berdasarkan intipan yang dilakukan oleh Sains selain hasil maklumat orang ramai, kita percaya aktiviti itu dilakukan sejak sebulan lalu sebelum berjaya dihidu oleh pihak kami," ujarnya.

Menurutnya, Sains telah bertindak dengan menyita batang paip yang digunakan untuk membuat sambungan haram tersebut bagi dijadikan bukti.

Jelasnya, SPAN mendapati pemilik bengkel berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (AIPA 2006).

Jelasnya, jika sabit kesalahan pemilik bengkel itu boleh dikenakan denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Melaka mula bina bangunan teknologi hijau

Posted:

Melaka mula bina bangunan teknologi hijau

Melaka mula bina bangunan teknologi hijau

MELAKA 29 Mac - Kerajaan negeri akan membina tiga bangunan berkonsepkan teknologi hijau selaras dengan hasrat untuk menjadikan negeri ini sebagai Melaka Maju Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, tiga bangunan bernilai RM3.5 juta akan dibangunkan di kawasan seluas 1.36 hektar di Gapam.

Menurutnya, bangunan yang akan dibina itu adalah bangunan hijau bernilai RM2 juta, pejabat kerajaan (RM500,000) dan restoran Green City (RM1 juta).

''Projek membina tiga bangunan teknologi hijau diputuskan pada Resolusi Melaka Maju Bandar Teknologi Hijau. Ia akan memulakan pembinaan dalam masa terdekat dan dijangka siap dalam tempoh satu tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Resolusi Seminar Melaka Maju Negeri Bandar Teknologi Hijau di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

Seminar selama dua hari itu berakhir hari ini dihadiri oleh semua ketua-ketua jabatan bagi merumuskan perancangan pelaksanaan penggunaan teknologi hijau menjelang 2020.

Mohd. Ali berkata, pembinaan bangunan hijau bernilai RM2 juta dibiayai oleh sebuah syarikat dari Taiwan yang akan membina bangunan tersebut menggunakan botol minuman.

Bagi pembinaan pejabat kerajaan dan restoran Green City pula katanya, kerajaan negeri akan mengadakan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dapat menyediakan teknologi panel solar.

''Sebagai langkah permulaan bangunan Kota Cemerlang di sini akan menjadi pelopor pertama menggunakan teknologi hijau apabila bumbung bangunan itu akan menggunakan panel solar," katanya.

Selain itu, ujarnya, lampu jalan di sekitar bandar raya ini akan mula menggunakan panel solar secara berperingkat-peringkat dalam usaha menuju ke arah penggunaan teknologi hijau.

Mengenai hasil resolusi tersebut, beliau berkata, kertas cadangan mengenai pelaksanaan penggunaan teknologi hijau dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Ujarnya, ia akan dibentangkan kepada kerajaan pusat dan rakyat bagi memastikan tempoh 10 tahun untuk menjadikan negeri ini sebagai bandar teknologi hijau menjadi kenyataan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kaunter farmasi pandu lalu

Posted:

Kaunter farmasi pandu lalu

Kaunter farmasi pandu lalu

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my


Mohamad Hasan menyampaikan ubat kepada seorang penunggang motosikal di kaunter farmasi pandu lalu di Jalan Rasah, Seremban, semalam.


SEREMBAN 29 Mac - Orang ramai khususnya pesakit yang menghidapi penyakit kronik tidak lagi perlu beratur dan bersesak untuk mengambil ubat di kaunter perubatan apabila sebuah farmasi pandu lalu berhampiran Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) diwujudkan di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kemudahan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri dalam usaha mempelbagai serta mempermudahkan perkhidmatan untuk masyarakat.

''Farmasi ini akan memudahkan lagi urusan orang ramai khususnya pesakit untuk mengambil ubat tanpa perlu beratur di kaunter ubat di klinik mahupun hospital sekitar negeri ini.

''Ia dilihat mampu menjimatkan masa dan kos pesakit terutamanya yang memerlukan serta diwajibkan mengambil bekalan ubat secara berterusan dan berkala," katanya selepas merasmikan kemudahan farmasi pandu lalu pertama di negeri ini di Jalan Rasah di sini hari ini.

Jelasnya, pesakit hanya perlu mendaftar selain menepati syarat dan kriteria ditetapkan bagi didaftarkan sebelum layak menggunakan kemudahan tersebut.

''Pesakit yang sudah berdaftar hanya perlu menelefon, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau melayari laman web yang disediakan untuk membuat temujanji bagi mengambil ubat di farmasi ini.

''Ini secara tidak langsung akan memudahkan orang ramai untuk menjalankan urusan mengambil ubat secara mudah, pantas dan efisien," ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, kemudahan tersebut akan memudahkan pesakit untuk mengambil ubat susulan mengikut kelapangan dan kesesuaian masa mereka.

''Perkhidmatan percuma ini merupakan pilihan bagi pesakit dalam memudahkan mereka tanpa perlu datang ke kaunter farmasi terutamanya pesakit yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.

''Bagaimanapun hanya pesakit yang patuh dan faham mengenai terapi serta pengambilan ubat mereka, pesakit yang stabil dan berdaftar dibenarkan untuk menggunakan perkhidmatan ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Zainudin menambah, wakil pesakit juga dibenarkan untuk mengambil ubat di farmasi berkenaan dengan syarat menunjukkan slip preskripsi atas kebenaran pesakit terbabit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan