Jumaat, 25 Mac 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Polis periksa lokasi kejadian rakaman video seks

Posted: 25 Mar 2011 02:48 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap rakaman video aksi seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang mendapat petunjuk awal apabila bilik sebuah hotel di ibu negara yang dikatakan menjadi lokasi rakaman video itu diperiksa.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ghazali Md Amin, berkata siasatan di tempat kejadian itu dijalankan bersama unit forensik PDRM selepas memperoleh maklumat.

"Dua individu ditahan semalam bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis... kita turut memperoleh beberapa bahan bukti daripada mereka. "Salah seorang daripada individu yang terbabit mendedahkan tempat di mana rakaman perlakuan seks itu berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bersama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, disoal siasat selama lima jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mereka turut menyerahkan video aksi seks seorang lelaki dengan seorang wanita serta seutas jam tangan Omega.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis sedang mengenal pasti identiti individu yang kelihatan dalam rakaman video aksi seks terbabit.
Beliau berkata, siasatan kes itu masuk hari ketiga hari ini dan pasukan khas menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana rakaman video itu boleh wujud.

"Kita sendiri hendak tahu apa yang telah berlaku dan banyak isu lagi, justeru hentikan semua spekulasi dan beri peluang kepada pasukan polis untuk jalankan siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Peringatan Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Ismail berkata, beliau percaya maklumat dan fakta baru akan diperoleh dalam masa terdekat hasil penyiasatan yang dijalankan.

"Siasatan mungkin berkembang terus dari fakta-fakta yang kita akan jumpa nanti," katanya.

Ketika ditanya sebab trio yang mendedahkan video tersebut tidak ditahan, beliau menjawab, "Atas kesalahan apa? Kalau sampai masa sudah cukup bukti dan sudah disahkan kesalahan mereka, barulah kita akan bertindak ikut undang-undang.

"Semalam kita panggil dua daripada mereka untuk diambil kenyataan. Kalau tahan mereka tetapi tidak cukup bukti, esok orang gelakkan polis nanti," katanya. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Teoh muram dan resah ketika percakapan dirakam

Posted: 25 Mar 2011 02:17 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya yang menyiasat kematian TeohBeng Hock diberitahu hari ini bahawa setiausaha politik kepada seorang anggota EXCO kerajaan Selangor itu kelihatan muram dan banyak mengeluh ketika pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mula merakam percakapannya pada 16 Julai 2009.

Penolong Kanan Penguasa SPRM Selangor, Mohd Nadzri Ibrahim, berkata Teoh adalah saksi siasatan penyalahgunaan wang peruntukan membabitkan kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang juga anggota exco berkenaan.

Mohd Nadzri, yang bertanggungjawab untuk merakam percakapan Teoh, berkata mendiang dilihat resah dan banyak mengeluh ketika rakaman itu dijalankan hampir dua jam bermula 1.30 pagi. "Sesekali terdengar beliau menarik nafas panjang," katanya. Ketika disoal pegawai pengendali yang membantu suruhanjaya siasatan itu, Awang Armadajaya Awang Mahmud, sama ada Teoh berasa tertekan dengan keadaan itu, Mohd Nadzri berkata: "Apabila melihat keadaan Teoh yang agak resah dan muram, saya bertanyakan sama ada dia boleh atau tidak memberi kenyataan, tetapi beliau meminta saya meneruskannya."

Mohd Nadzri, saksi ke-24 siasatan oleh suruhanjaya itu, berkata pada pertengahan rakaman percakapan dilakukan, beliau ada bertanyakan sama ada Teoh ingin berehat sebentar sebelum menyambung kembali rakaman percakapan itu tetapi tidak memberitahunya supaya pulang ke rumah.

"Teoh hanya berkata kepada saya, "Ok, tak apa kita boleh teruskan dan kita habiskan malam ini juga," kata Mohd Nadzri.

Beliau berkata, ketika penghujung proses rakaman itu, Teoh dilihat kurang mengeluh tetapi lebih banyak menguap.
Ketika disoal Pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen sekiranya Teoh penat adakah dia akan dibenarkan pulang ke rumah dan menyambung kembali rakaman itu keesokan hari, Mohd Nadzri berkata: "Saya akan merujuk kepada pegawai penyiasat Mohd Anuar Ismail terlebih dahulu."

Ketika ditanya oleh Foong adakah soal siasat digunakan ketika merakam percakapan, Mohd Nadzri berkata:" Ya,kebiasaannya soal siasat dilakukan semasa proses rakaman dijalankan."

Foong mempertikaikan cara layanan Mohd Nadzri yang tidak profesional ketika menjemput Teoh masuk ke biliknya untuk merakam percakapan kerana Mohd Nadzri berkata, beliau hanya melaung sambil menggamit tangan untuk memanggil Teoh.

Foong: "Kenapa kamu tidak datang dekat kepada Teoh untuk menjemput dia masuk ke dalam bilik kamu? Adakah disebabkan kamu adalah seorang pegawai maka kamu panggil dia dengan suara yang kuat untuk bagi dia rasa takut?

Mohd Nadzri: "Bukan itu tujuan saya". Ketika disoal oleh Awang Armadajaya sama ada beliau pernah meninggikan suara kepada Teoh ketika rakaman percakapan dibuat?

Mohd Nadzri berkata: "Ada, hanya sekali sahaja sebab saya lihat Teoh menandatangani di tempat yang tidak sepatutnya bagi pihak Ean dan saya tanya kenapa dia tandatangan pada cop yang ada nama Ean".

Beliau berkata, Teoh turut melihat pada paparan skrin komputer mengenai maklumat yang beliau (Mohd Nadzri) masukkan ke dalam borang merakam percakapan saksi yang terdapat dalam komputer untuk membolehkan Teoh membuat pembetulan jika terdapat kesilapan mengenai maklumat berkenaan.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T Selventhiranathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 Januari lalu, yang antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh, selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Prosiding disambung Isnin ini. - BERNAMA


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan