Selasa, 22 Mac 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Video seks: ABIM pandang berat fitnah liar, gesa guna hukum syariah

Posted: 22 Mar 2011 01:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mahu sebarang tuduhan ataupun dakwaan salah laku moral ke atas seseorang individu disalurkan menerusi prosedur perundangan sah termasuk hukum syariah jika ia membabitkan seorang Muslim.

Sehubungan itu, pertubuhan bukan kerajaan tersebut juga mahu pihak pendakwa dan pembela menyalurkan kes mereka untuk diadili serta dinilai menerusi prosedur perundangan syariah sepertimana yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Sunah.

"Dalam hal ini, ABIM memandang berat sebarang pertuduhan serta dakwaan liar berupa fitnah yang dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan seperti membawa para saksi yang mencukupi di samping ikrar daripada individu yang dituduh. 

"Tatacara perundangan syariah telah menetapkan prosidingnya yang tersendiri untuk memelihara bukan sahaja moral serta maruah individu yang dituduh, bahkan juga integriti pihak yang membuat tuduhan," kata presidennya Dr Muhamad Razak Idris dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini mengulas laporan pendedahan rakaman video seks didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.

Hari ini Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan polis berhubung rakaman video aksi seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara semalam.

Dalam laporan yang salinannya diedarkan kepada media itu, Anwar menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Laporan polis itu dibuat berikutan dakwaan satu kumpulan yang mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang wanita yang dikatakan pelacur di sebuah hotel di sini yang menawarkan perkhidmatan seks.

Justeru kata Muhamad Razak, kegagalan memenuhi prasyarat yang ditetapkan akan meletakkan pihak terlibat dalam hukuman jenayah Qazaf yang turut menafikan hak si tertuduh sebagai saksi pada masa-masa akan datang. 

"Hal ini selari dengan salah satu prinsip utama Maqasid Syariah iaitu untuk menjamin serta melindungi maruah dan serta kehormatan seseorang individu di samping memelihara keharmonian hubungan antara manusia," kata beliau Muhamad Razak.

Malah tegas beliau, dalam konteks perundangan negara yang unik, seseorang tidak sahaja berhak menuntut untuk dibicarakan dan membela dirinya menerusi lunas perundangan sivil yang sah. 

"Bahkan sebagai seorang Muslim juga, beliau berhak untuk dibicarakan serta menafikan sebarang dakwaan yang dikemukakan ke atasnya dalam prosiding perbicaraan Mahkamah Syariah sepertimana yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru, ABIM menggesa agar semua pihak menghormati segala ketetapan syariah yang telah digariskan oleh Syariah untuk kebaikan bersama," katanya.

Beliau juga berkata, ABIM juga meminta sebarang perbincangan dan perbicaraan kes hanya dilakukan oleh autoriti-autoriti yang berkenaan menerusi perundangan yang telah ditetapkan, di samping mengelak untuk membicarakannya secara meluas tanpa dilandasi sebarang etika.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

BN tidak akan semberono buat janji cari populariti, kata Najib

Posted: 22 Mar 2011 12:53 AM PDT

PUTRAJAYA, 22 Mac — Datuk Seri Najib Razak berkata apabila kerajaan mengaku untuk melaksanakan sesuatu, ia akan menunaikannya dengan menggunakan segala ikhtiar dan kudrat yang ada.

Malah, kata Perdana Menteri, sebelum berjanji lagi, kerajaan akan memastikan apa yang dinyatakan itu bersifat realistik, dalam kemampuan kerajaan yang wajar, bertanggungjawab dan mengambil kira semua aspek kesejahteraan rakyat serta kepentingan jangka panjang.

"Segala-galanya berlandaskan falsafah induk Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya semasa berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sini hari ini.

Dipetik Bernama, Najib berkata perbezaan antara parti yang bertanggungjawab dan yang tidak bertanggungjawab boleh dilihat melalui janji yang dibuat kepada rakyat setiap kali menjelang pilihan raya.

Beliau berkata parti yang bertanggungjawab tidak akan semberono mengaku untuk berbuat apa-apapun yang tampak hanya bermanfaat dalam jangka pendek tetapi akan  mendatangkan bencana kepada negara serta kesengsaraan kepada rakyat bukan sahaja dalam jangka panjang malah dalam masa terdekat pun boleh dirasa kesan buruknya.

"Pucuk pangkalnya, parti yang bertanggungjawab lebih rela tidak popular untuk jangka pendek daripada membangkrapkan negara dalam jangka panjang.

"Pastinya lagi, parti yang bertanggungjawab tidak sekali-kali akan membenarkan maruah negara dikompromi atau dipertaruhkan. Pendek kata, kerajaan ini tidak sanggup menyaksikan apa yang telah dibina dengan bertatih dan jerih payah selama ini lebur musnah begitu sahaja," katanya.

Beliau berkata dokumen-dokumen janji pelbagai corak "sama ada biru laut, hijau gelap, putih dan terkini jingga yang disogokkan oleh pedagang-pedagang impian" semuanya itu  tampaknya dihasil dan dikarang bersandar kepada keseronokan sementara sehingga kadang-kalanya membuatkan segelintir terpegun dan terpedaya kononnya "ada tempayan emas di kaki pelangi".

Najib berkata kerajaan tidak mahu melihat negara terpaksa bergantung kepada ehsan institusi kewangan antarabangsa seperti nasib yang menimpa sesetengah negara menadah tangan meminta-minta pada satu masa nanti, hanya kerana ingin menjadi parti populis untuk seketika.

 

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen