Kosmo Online |
- Perisian cetak rompak RM5 juta dirampas
- Kaki pecah kereta R&R lebuh raya dicekup
- Skuad Piala Thomas berlatih di Guangzhou
| Perisian cetak rompak RM5 juta dirampas Posted: Perisian cetak rompak RM5 juta dirampas11/05/2012 5:49pm PETALING JAYA — Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Petaling Jaya merampas perisian komputer cetak rompak bernilai RM4.9 juta dalam serbuan ke atas 26 syarikat di Lembah Klang bagi tempoh Januari lepas hingga semalam. Ketuanya, Mohd Ruhani Bakar berkata, perisian cetak rompak yang dirampas termasuk Adobe Creative Suites, Adobe Illustrator, Acrobat Pro, Encore, Adobe Flash Professional, Adobe Media Encoder, Adobe Sound booth, Microsoft Windows dan Microsoft Office. Beliau berkata, serbuan terbaru dilakukan ke atas dua syarikat di Damansara di mana perisian tidak berlesen dan komputer bernilai RM361,500 dirampas daripada kedua-dua syarikat. "Serbuan ke atas sebuah syarikat di Damansara Intan dilakukan pada 4 Mei lepas manakala serbuan terbaru semalam ke atas sebuah syarikat di Saujana Damansara," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini. Mohd Ruhani berkata disebalik banyak serbuan dilakukan bahagian penguatkuasa bagi membanteras penggunaan perisian cetak rompak oleh syarikat korporat, penggunaannya masih berleluasa. Katanya syarikat dan lembaga pengarah syarikat yang didapati menggunakan perisian cetak rompak boleh didakwa mengikut Akta Hak Cipta yang memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 dan RM20,000 bagi setiap salinan perisian cetak rompak atau penjara lima tahun. — BERNAMA |
| Kaki pecah kereta R&R lebuh raya dicekup Posted: Kaki pecah kereta R&R lebuh raya dicekup11/05/2012 5:47pm IPOH — Polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes pecah kereta yang dilaporkan berlaku di sekitar kawasan Rehat & Rawat Tapah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Lembah Klang berikutan penahanan seorang lelaki, Rabu lalu. Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Som Sak Din Keliaw berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditangkap selepas pihak polis terserempak dengan suspek yang sedang memandu kereta mewah jenis BMW di kawasan terbabit dalam keadaan mencurigakan. "Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui beberapa alat yang dipercayai digunakan oleh lelaki itu untuk memecah kereta antaranya pemutar skru, tukul, pisau, batang besi selain beberapa keping kad pengenalan, kunci kereta dan wang tunai milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya, hasil siasatan juga mendapati kereta yang digunakan oleh lelaki terbabit merupakan kereta curi yang dilaporkan hilang di Kepong, Selangor pada 6 Mei lalu. Lelaki itu ditahan reman seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut, katanya. — BERNAMA |
| Skuad Piala Thomas berlatih di Guangzhou Posted: Skuad Piala Thomas berlatih di Guangzhou11/05/2012 5:46pm KUALA LUMPUR — Skuad Piala Thomas negara yang diketuai pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan berlepas ke Guangzhou, China, Ahad ini bagi melakukan persediaan akhir sebelum menghadapi kejohanan itu di Wuhan bermula 20 hingga 27 Mei ini. Ketua jurulatih acara perseorangan lelaki, Rashid Sidek berkata, skuad negara akan menjalankan latihan fasa akhir selama lima hari di wilayah Guangzhou mulai Isnin ini. Katanya, pemilihan Guangzhou disebabkan kemudahan latihan yang lengkap di sana manakala tidak mengetahui kemudahan yang disediakan oleh penganjur pada venue kejohanan di wilayah Wuhan. Rashid berkata, pemain dapat memberi tumpuan penuh kepada latihan di Guangzhou berbanding di Wuhan yang mempunyai gangguan daripada peminat dan kehadiran pasukan dari negara bertanding. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pembekal perkhidmatan telekomunikasi, Maxis Berhad, di sini, hari ini. — BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan