Kosmo Online |
- Wanita dera bayi sendiri sedang jalani hukuman
- Pemilik anjing boleh dikenakan tindakan - MPSJ
- Bersih: Peguam kanan mengaku tidak bersalah
| Wanita dera bayi sendiri sedang jalani hukuman Posted: Wanita dera bayi sendiri sedang jalani hukuman09/05/2012 7:22pm KUALA LUMPUR – Wanita yang mendera bayi perempuannya sendiri dalam klip video, yang kini tersebar secara meluas di media sosial, sedang menjalani hukuman penjara kerana perbuatannya itu. Menurut laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini, kes itu dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 29 Mei 2011 dan tangkapan terhadap wanita itu dibuat pada hari sama. Wanita itu kini menjalani hukuman penjara 18 bulan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Berikutan penyebaran video penderaan bayi itu, PDRM menerima hampir 300 aduan dan komen daripada orang ramai yang rata-rata bersimpati dan prihatin dengan nasib bayi itu. – BERNAMA |
| Pemilik anjing boleh dikenakan tindakan - MPSJ Posted: Pemilik anjing boleh dikenakan tindakan - MPSJ09/05/2012 7:21pm KUALA LUMPUR – Pemilik anjing jantan jenis pitbull yang menyerang seorang warga emas sehingga maut di Subang Jaya semalam boleh dikenakan tindakan walaupun anjing itu mempunyai lesen. Timbalan Pengarah Korporat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Azfarizal Abdul Rashid berkata, pemilik anjing perlu bertanggungjawab terhadap syarat-syarat yang ditetapkan oleh MPSJ dalam Undang-Undang Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing MPSJ 2012. "Antaranya, pemilik tidak boleh membiarkan anjing dilepaskan dan harus diikat dan dikawal oleh pemilik semasa di luar premis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, sekiranya didapati cuai, pemilik boleh dikenakan kompaun RM1,000 manakala anjing itu boleh dirampas. Azfarizal berkata, anjing itu kini diambil oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Selangor untuk siasatan lanjut. Semalam, seorang warga emas, Yip Sun Wah, 74, yang sedang berjogging mati selepas diserang seekor anjing jantan jenis pitbull peliharaan jirannya di Jalan 19/5E, SS19 Subang Jaya. – BERNAMA |
| Bersih: Peguam kanan mengaku tidak bersalah Posted: Bersih: Peguam kanan mengaku tidak bersalah09/05/2012 7:19pm KUALA LUMPUR – Peguam kanan Rajesh Kumar Gejinder Nath, 45, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan melanggar perintah Mahkamah Majistret yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April hingga 1 Mei lepas. Ahli Jawatankuasa Tatatertib Majlis Peguam Malaysia itu juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan di mana beliau bersama-sama dengan penyokong "Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil" (Bersih 3.0) hadir di perhimpunan yang dilarang dan mungkin boleh menyebabkan rusuhan ataupun pergaduhan di Dataran Merdeka pada 28 April. Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di dataran itu yang terletak di Jalan Raja kira-kira 3 petang pada 28 April. Untuk kesalahan pertama, Rajesh Kumar didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda, atau kedua-dua sekali. Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-dua sekali. Rajesh Kumar merupakan individu kedua dihadapkan ke mahkamah Jalan Duta di sini berhubung perhimpunan pada 28 April lepas. – BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan