Isnin, 7 Mei 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Dipenjara 22 tahun sebabkan kematian

Posted:

Dipenjara 22 tahun sebabkan kematian

Dipenjara 22 tahun sebabkan kematian

07/05/2012 7:05pm

SHAH ALAM - Seorang lelaki dipenjara 22 tahun setelah mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyebabkan kematian seorang juruelektrik dengan menikamnya dan menekan kepala mangsa ke dalam air paya sehingga mangsa tidak bergerak, dua tahun lepas.

Hakim Noor Azian Shaari memerintahkan S. Kumar, 33, menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 12 September 2010.

Kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham selepas Kumar gagal membayar RM500 yang dipinjam daripada isteri mangsa.

Dia bernasib baik terlepas daripada hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan bunuh selepas pihak pendakwaan menawarkan pertuduhan pilihan kepadanya iaitu menyebabkan kematian mangsa, M. Segar, 39.

Kumar yang juga seorang juruelektrik didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tanah paya berhampiran Apartmen Dahlia, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung dekat sini, kira-kira pukul 3.30 malam pada 3 Januari 2010.

Mayat mangsa ditemui bersebelahan sebatang pokok di tempat kejadian dalam keadaan tidak berbaju serta terdapat kesan tetakan dan tikaman di badannya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah mengajak anak saudaranya, M. Saravanan untuk mencari mangsa yang ketika itu sedang memancing seorang diri di tempat kejadian.

Semasa mangsa sedang mengemas peralatannya untuk pulang ke rumah pada kira-kira pukul 3.30 petang, tertuduh telah menyerang mangsa dengan parang dan menetaknya di bahagian muka, kepala dan badan. - BERNAMA

Abang maut, adik parah kemalangan

Posted:

Abang maut, adik parah kemalangan

Abang maut, adik parah kemalangan

07/05/2012 7:01pm

BESUT - Seorang penunggang motosikal maut manakala adiknya cedera parah dalam kemalangan ketika ingin ke pusat rekreasi Air Panas La di sini semalam.

Wan Osman Wan Muda, 33, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Wan Mohd. Sukri, 25, cedera parah dalam insiden pukul 3.45 petang yang berlaku berhampiran pondok polis Felda Tenang, Hulu Besut.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamaruddin Zakaria berkata, kejadian berlaku ketika hujan lebat menyebabkan motosikal ditunggangi Wan Osman hilang kawalan kerana jalan licin.

"Motosikal dinaiki dua beradik ini terbabas melanggar pasu bunga hiasan di kiri jalan menyebabkan kedua-duanya yang bekerja sebagai buruh dan berasal dari Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut tercampak ke atas jalan raya.

"Wan Osman meninggal dunia kerana kecederaan parah di bahagian kepala manakala adiknya patah tangan kiri dan cedera di muka dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - BERNAMA

24 rumah, surau dipukul ribut

Posted:

24 rumah, surau dipukul ribut

24 rumah, surau dipukul ribut

07/05/2012 5:00pm

ALOR SETAR - Sebanyak 24 buah rumah dan sebuah surau di Taman Wira, Mergong, dekat sini rosak kerana bahagian bumbung diterbangkan angin ribut awal pagi ini.

Seorang penduduk, Mahmudahbee Shamsudin, 56, berkata, dia dan suami, Ibrahim Yusof terbangun daripada tidur pada pukul 1.30 pagi apabila terdengar bunyi bising di luar rumah.

Katanya, dia mendapati bumbung rumah mereka di bahagian ruang tamu dan bilik solat diterbangkan angin kencang.

"Ruang dalam rumah ditimpa air hujan menyebabkan perabot dan beberapa peralatan elektrik basah serta rosak. Ini kejadian pertama berlaku di kawasan perumahan ini sejak lebih 30 tahun lalu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mahmudahbee menanggung kerugian disebabkan semua perlatan rosak tidak sempat dialihkan dan ribut terjadi cepat sangat.

Beliau berkata, mereka terpaksa melakukan baik pulih rumah dengan segera memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Seorang lagi penduduk, Saadah Sudin, 60, yang tinggal berseorangan dalam rumah ketika kejadian berlaku berkata, dia berada dalam ketakutan sehingga ribut dan hujan berhenti.

Katanya, dia tidak mampu memindahkan barang-barang di dalam rumahnya kerana tinggal seorang diri.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang melawat mangsa berkata, pihaknya telah meminta kontraktor membaiki bumbung rumah yang rosak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata berkata, kira-kira RM25,000 akan disalurkan oleh kerajaan persekutuan kepada mangsa untuk membaiki rumah mereka. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan