Harian Metro: Mutakhir |
| Kelantan fokus Piala FA, kata Bojan Posted: 07 May 2012 05:56 AM PDT KOTA BHARU: Kelantan tidak akan memberi tekanan kepada pemain menjelang perlawanan terakhir kumpulan H Piala AFC menentang Ayeyawady United dari Myanmar di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam esok kerana menumpu perhatian kepada perlawanan akhir Piala FA. Ketua jurulatihnya Bojan Hodak berkata ini adalah bagi memastikan pemain tidak berada dalam tekanan menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby pada 19 Mei ini.
Walaupun bagaimanapun, kami tetap berusaha memenangi perlawanan esok, katanya pada sidang media praperlawanan Piala AFC di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Jurulatih Ayeyawady United, Josef Herel.
Bojan berkata beberapa pemainnya cedera dan terlalu letih selepas mengharungi banyak perlawanan dalam saingan Liga Super. Sementara itu, Herel berkata pihaknya turut mengalami perkara yang sama apabila ramai pemainnya yang cedera dan keletihan berikutan jadual perlawanan yang padat di tempat sendiri. "Peluang kita untuk menang bermain di sini amat tipis walaupun pernah menewaskan Kelantan 3-1 di tempat sendiri baru-baru ini. "Kita juga mengalami masalah yang sama dengan Kelantan apabila tiga tonggak utama pasukan turut tercedera," katanya. - BERNAMA |
| Pemberian diskaun beli barangan kepada pelajar Posted: 07 May 2012 04:39 AM PDT SINTOK: Sebanyak 17 syarikat mengesahkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi memberi diskaun kepada pelajar yang menggunakan kad diskaun semasa membuat pembelian. Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya sedang membuat rundingan terakhir dengan syarikat berkenaan sebelum melancarkan kad diskaun tersebut bulan depan.
"Antara syarikat yang terlibat ialah cermin mata, kedai buku, alat tulis, makanan segera, pusat kecantikan dan klinik. Kita juga menjangkakan semasa pelancaran nanti, kita dapat menarik lebih 20 syarikat kerana kita juga sedang membuat perbincangan dengan syarikat pengangkutan seperti Maswing (untuk pelajar di Sabah dan Sarawak) dan juga syarikat minyak," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Universiti Utara Malaysia (UUM) 2012, Gerakan Pengguna Siswa peringkat negeri Kedah dan Menu Rakyat 1Malaysia di UUM di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata kad itu akan diberikan kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta, kolej komuniti dan institut pendidikan guru. "Sekarang ini kita mempunyai 1.4 juta pelajar di seluruh negara dan kita akan berikan kad diskaun tersebut secra berperingkat. Untuk permulaan kita akan utamakan kepada semua mahasiswa kecuali pelajar pascasiswazah," katanya. Beliau berkata pemberian kad itu mungkin diperluas kepada semua pelajar termasuk pascasiswazah kecuali pelajar antarabangsa pada masa akan datang. Beliau turut menyarankan kepada pelajar yang akan menerima kad tersebut supaya membuka akaun simpanan di Bank Rakyat kerana kad itu juga boleh dijadikan kad debit semasa membeli barang di kedai-kedai terpilih. "Kita bersama-sama dengan Bank Rakyat mengeluarkan kad tersebut dan diberikan secara percuma kepada pelajar. Kita anggap ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Rakyat dan juga CSR daripada syarkat-syarikat yang memberi diskaun terhadap produk mereka," katanya. Katanya pemberian kad diskaun pelajar jelas menunjukkan pihak kerajaan prihatin kepada golongan pelajar dan sentiasa memikirkan bagaimana cara hendak membantu pelajar kerana pelajar tidak mempunyai pekerjaan dan hanya bergantung kepada ibu bapa dan juga pinjaman pelajaran. "Ini juga merupakan satu inisiatif yang kita kira tidak memerlukan belanja yang besar kerana kerjasama yang diberikan antara pihak kerajaan dan swasta yang jika kerjasama diteruskan lagi, maka lebih banyak yang boleh kita lakukan," katanya. - BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Harian Metro: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan