Kosmo Online |
- 41 NGO Kluang buat laporan polis
- Gangguan air kerana paip pecah
- Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia
| 41 NGO Kluang buat laporan polis Posted: 41 NGO Kluang buat laporan polis06/05/2012 7:12pm KLUANG — Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kluang yang mewakili 41 NGO hari ini membuat laporan polis terhadap penganjur dan peserta perhimpunan di Dataran Merdeka, di ibu negara, 28 April lepas. Gabungan NGO termasuk Persatuan Pemandu Teksi, Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Persatuan Kontraktor Melayu, Persatuan Peniaga Bumiputera dan Persatuan Pesara Kerajaan itu membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, kira-kira pukul 3.30 petang. Setiausaha gabungan berkenaan, Zolkefli Mohd. Noor berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan peserta perhimpunan itu yang merusuh, merosakkan harta benda awam, mencemarkan imej negara, menggugat keselamatan awam dan biadap kepada polis. "Majoriti rakyat negara ini mahu keamanan dan kestabilan negara dijaga supaya tidak menimbulkan situasi yang boleh menjejaskan kehidupan seharian peniaga dan orang awam," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Zolkefli berkata, gabungan berkenaan mendesak Peguam Negara dan polis segera mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab mencetuskan perhimpunan bertukar kepada ganas serta tindakan sewajarnya terhadap penuntut institusi pengajian tinggi yang terlibat dalam perhimpunan itu. Terdahulu, kira-kira 200 anggota gabungan itu berarak dari Masjid Jamek Kluang menuju ke IPD sambil membawa pelbagai sepanduk yang melambangkan bantahan terhadap penganjuran perhimpunan berkenaan. — BERNAMA |
| Gangguan air kerana paip pecah Posted: Gangguan air kerana paip pecah06/05/2012 7:05pm KUALA LUMPUR — Sebanyak 13 kawasan di sekitar Cheras mengalami gangguan bekalan air berikutan kejadian paip inlet yang membekalkan air ke kolam Pudu Hulu pecah. Pengarah Eksekutif Bahagian Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd., (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, syarikat itu telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan Kod Hijau di Syabas Kuala Lumpur pada pukul 11 malam tadi ekoran kejadian tersebut. Dalam satu kenyataan hari ini beliau berkata, kerja baikpulih paip pecah itu telahpun siap sepenuhnya pada pukul 2 pagi tadi dan bekalan air akan pulih secara berperingkat sehingga selewat-lewatnya Selasa malam (8 Mei). Kawasan yang terlibat ialah Kampung Cheras Baru, Jalan Kuari, Taman Midah, Taman Cheras, Taman Supreme, Taman Desa Aman, Taman Sri Bahtera, Taman Permata, Taman Rajawali, Taman Gemilang, Taman Mutiara Timur, Taman Bukit Ria dan Batu 5 Cheras. "Pihak Syabas telah meletakkan lapan buah lori dalam keadaan tunggu sedia ke kawasan yang memerlukan bekalan air pada bila-bila masa diperlukan," katanya. Abdul Halem menasihati pengguna agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan tersebut dan sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252. — BERNAMA |
| Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia Posted: Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia06/05/2012 6:47pm SHAH ALAM — Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB) iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan menganjurkan satu siri jelajah "Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia" ke seluruh Malaysia sepanjang bulan ini. Program yang dinaungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bertujuan menterjemahkan aspirasi beliau dalam membantu rakyat yang kurang berkemampuan. Ia juga bertujuan membantu anak-anak golongan kurang berkemampuan di luar bandar, pedalaman dan miskin bandar untuk menyambung dan melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi, menurut UiTM dalam kenyataan di sini hari ini. Sebelum ini program "Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia" fasa pertama telah dirasmikan oleh Perdana Menteri yang turut melepaskan konvoi kenderaan di Dewan Sri Budiman, UiTM di sini pada 8 Julai tahun lepas. Turut hadir pada perasmian itu ialah ikon Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia, penyanyi Datuk Siti Nurhaliza. Siri jelajah itu akan bermula pada 9 Mei ini di Negeri Sembilan, 10 Mei di Johor, 11 Mei di Wilayah Persekutuan, 12 Mei di Selangor, 13 Mei di Perak/Selangor, 16 Mei di Perak, 17 Mei di Pulau Pinang, 18 Mei di Perlis/Kedah, 19 Mei di Kedah, 21 Mei di Kelantan, 22 Mei di Terengganu, 23 Mei di Pahang, 24 Mei di Melaka dan 26 Mei di Sabah. Sebarang pertanyaan boleh hubungi Mohd. Aizuddin Mohd. Ghazali di talian 03-55442727 atau 013-3361666. — BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan